Saturday, April 20, 2019

5 strategi lapang sebelum menjelang 1 Ramadhan

Teks: Masayu Ahmad

Ramadhan kali ini mahu bertenang-tenang, mahu lebih lapang. Berikut 6 strategi yang boleh kita ubah menjelang Ramadhan tahun ini.

1. Persediaan awal sebelum menjelang Ramadhan dan Syawal. Segala persiapan untuk anak anak disediakan lebih awal. Kita tidak pancit dan letih di siang hari semata mata mahu menyiapkan kelengkapan dan persiapan. Selesaikan semua sekali sebelum atau sebulan lebih awal. Ramadhan dan Syawal kita lebih bersedia dan tidak lagi kelam kabut sehingga malam raya. Maksudnya kita lebih merai bulan bulan penuh keberkatan.


2. Kosongkan dan lapangkan. Fizikal dan mental. Jika ada perkara yang menyebabkan kehidupan kelam kabut, buang masa. Mula susun dan sisihkan. Susun perkara yang hanya beri manfaat. Manakala aktiviti yang menyebabkan pencuri masa dan leka kita boleh asingkan dan lupus terus.
Contohnya keluar dari semua kumpulan yang banyak menyumbang kepada aktiviti buang masa, sembang kosong dan perlumbaan trend.


3. Sisihkan kumpulan 'perlumbaan trend'. Apa maksud 'perlumbaan trend'? Ada sesetengah orang mereka perlu ada ganjaran meterial untuk menjadikan diri sebagai tumpuan. Ada pula yang menjadikan objektif utama mendapatkan sesuatu sebagai ganjaran sosial. Orang lain ada aku juga ada, maka aku sudah setanding dan berada dalam kelompok yang betul.

Perlumbaan trend ini sudah menjadi satu penyakit dan kegilaan. Ia seperti barah makan diri. Contoh perlumbaan trend ketara adalah mahu menonjolkan atau membuktikan bawah aku boleh, aku mampu, aku sangat luar biasa. Dengan menyatakan dengan jelas di media sosial aku kini sudah capai maka aku adalah orang yang sukses di mata masyarakat.

Perlumbaan ini juga menyebabkan ada kelompok yang tidak mampu capai dan mereka merasakan terpinggir dan inilah salah satu punca tekanan gaya hidup.

4. Buktikan bahawa kita tidak terpengaruh dengan apa apa. Kelompok ini adalah tidak kisah, tidak mengapa dan hidup dengan tenang dan gembira tanpa perlu membuktikan apa apa. Inilah kemahiran gaya hidup tanpa perlu kita bersaing dengan siapa siapa. Jika kita mahu capai kita buat dengan seronok, jika kita mahu kurangkan kita boleh buat hala tujuan baru tanpa perlu canang. Fokus untuk rai diri sendiri dan orang orang yang rapat sahaja.

5. Buang barang, sisih dan kosongkan.

Berapa lama kita sudah jadi hamba barang? Banyak barang kita kumpul dan tidak guna, beli kerana orang lain beli. Beli dan kumpul, beli dan kumpul. Sampai satu ketika penuh rumah dengan barang tetapi tidak digunakan dan dimanfaatkan. Mulai hari ini buang barang yang sudah melebihi 10 tahun ke atas. Sedekah dan berikan kepada mereka yang benar benar mahu guna.

Jika tidak perlu jangan beli. Kalian akan rasa lebih lapang, rumah lebih mudah kemas dan juga ruang santai lebih luas. Cubalah!










Wednesday, March 13, 2019

Tulis dan terbit ebook edisi 1





Minimalist kehidupan.


Ada banyak ruang yang perlu kita kosongkan agar lebih banyak perkara yang tidak perlu kita sisihkan. Saya penggemar konsep ini. Ketika berpindah dari Selangor balik ke Kelantan 10 tahun sudah. Buntang biji mata melihat mana datangnya barang begitu banyak. Sedangkan saya usahakan untuk menyisih dan membuang segera.
Selalu kata en.suami pada anak anak.
“Pandai pandailah jaga jangan sampai ibu nampak dan buang.”
Peringatan ini apabila nampak sahaja mainan yang bersepah memang saya terus buang. Anak anak juga sudah faham.
Ketika kita semua dikhabarkan anak pertama segala yang elok yang cantik yang mahal kita mahu. Sedangkan banyak yang tidak perlu. Itulah anehnya manusia, semua mahu baru yang terbaik dan banyak.
Usia anak 1 hingga 6 bulan tak banyak guna pun sebenarnya. Hasil keterujaan inilah kita membuta tuli kumpul dan banyakkan.
Lihat semula perbezaan anak pertama, kedua dan nikmat ringkas makin memudahkan kerja.
Lagi ramai anak lagi kosong barang yang kita mahu bawa. Sekarang ini saya lebih bahagian berjalan lenggang kangkung Mak Limah tanpa perlu bawa apa apa.
Lihatlah ketika anak pertama segala barang kita mahu bawa bersama.
Rupanya kita banyak simpan perkara yang tidak perlu, kita bawa bersama sehingga membebankan.
Saya penggemar bilik kosong, meja kosong. Sebuah buku bacaan, buku nota dan pen.
Kami pengamal tidak ada gajet dan juga tidak ada banyak barang. Anak anak juga sudah biasa. Hanya buku dan buku sahaja. Bersepah dengan buku tidak mengapa.
Walaupun kadangkala ada rengekan mereka bahawa kawan kawan semua ada telefon pintar. Saya diamkan sahaja.
“Ibu kenapa kami tidak boleh, sedangkan ibu boleh?”
“Ibu pun tidak mahu, tetapi sekarang ibu perlukan semua ini untuk kerja kerja ibu. Guna untuk perkara yang bermanfaat sahaja.
Fokus kepada perkara perlu bukan mahu.
Jika orang lain perlu, tidak semestinya kita perlu. Fokus apa yang kita perlu bukan mahu. Sebulan sebelum puasa tahun lepas. Saya Berjaya kosongkan 1 bilik. 20 plastik besar berjaya saya sisihkan. Datang seorang kakak yang mengutip buah kelapa. Kebetulan lorinya kosong. Saya serahkan pada beliau semua sekali.
Beliau duduk dan berdoa masa itu juga. Rupanya semua barang yang dia mahu ada dalam 10 plastik tersebut, termasuklah 2 buaian masih elok. Juga pakaian kanak kanak usia bayi hingga remaja.
Itulah tidak perlu pada kita ia sangat berguna pada orang lain. Selagi kosong, maka saya akan gembira dengan ruang lapang tanpa barang.

Cerminan kehidupan

Saya teringin mahu tulis kisah hidup. Saya pernah jumpa pakar psikiatri dan hampir bunuh diri.
-Puan N-
Kawan saya terlantar di hospital kerana tertekan dan alami masalah mental.
-Puan R-
Ini adalah mesej semalam dan hari ini masih banyak mesej bernada yang sama. Tekanan.

Cerminan kehidupan.

Tekanan bukan lagi perkara main main, ia cerminan ujian sebenar meningkah usia. Semakin kronik. Mungkin beberapa jalan keluar perlu kita mulai dari sekarang.

1. Realistik dan belajar terima hakikat.
Terima hakikat ada perkara kita tidak boleh buat, kemampuan ada batasnya. Jangan lagi dibanding prestasi kita dengan orang lain. Terima dan nikmati kehidupan kita seadanya.

2. Berhenti mengikut ‘trend’.

Salah satu penyakit tekanan apabila keadaan membanding banding kejayaan sebagai satu perkara yang tidak mampu diterima sesetengah orang.
Melihat orang lain sukses kita rasa kurang yakin dan rasa jauh di belakang.
Ada baiknya kita mulai tinggalkan media sosial ini. Cuba dahulu sehari, jika boleh setahun.
Saya pernah setahun tidak bersiaran semasa hamilkan Amni. Berehat sahaja tanpa perlu berhubung dengan sesiapa. Ia terapi paling baik.

3. Berkongsi dan berinteraksi dengan orang yang dipercayai.
Saya pun tidak tahu mengapa kalian mahu berkongsi kesakitan kalian, saya bukan kaunselor. Mohon jangan dikongsikan lagi masalah kalian. Kalau mahu belajar menulis saya terbuka. Aduhai kasihanilah saya.
Pilih orang yang terbaik dan rapat dengan kalian untuk berkongsi. Insya-Allah semoga dibukakan jalan jalan ketenangan.

4. Mulai menulis sebuah jurnal atau catatan dalam buku nota. Ia satu terapi yang baik.
Tulis sahaja dan pantulkan ia dalam penulisan positif. Kesannya sangat baik.

5. Gaya hidup sihat.
Ada banyak kumpulan sokongan kini yang boleh kita sertai antaranya kumpulan penulis, grup sokongan eat clean, grup berlari, grup kurus dan sihat, grup daki gunung.
Cari dan jejak. Keluarkan peluh dan keluarkan segala toksin dalam badan.

6. Keluarkan semua hiburan dalam rumah.
Salah satu punya yang sangat sangat berleluasa sekarang ini terlampau banyak hiburan. Bunyi bunyian yang menyakitkan telinga.
Gangguan hiburan di sana sini. Ia tidak mententeramkan jiwa malah semakin celaru dan keliru.

7. Jika ada 20 impian yang tidak munasabah, keluarkan jadikan ia 5 sahaja impian yang realistik.

Jangan lagi lihat perbandingan impian di media sosial yang membuat jiwa kita kacau bilau contoh pendapatan 20 juta sebulan, rumah 20 biji dalam masa setahun.
Inilah salah satu penyebab membuat ukuran kejayaan berdasarkan material. Akhirnya kita rebah kerana terlalu lelah.
Hidup memang tidak mudah, tetapi tidak pula kita mengaku kalah. Berehat dan berundurlah jika kalian sudah merasa sakit.

Tuesday, February 12, 2019

Didik Anak Berdasarkan Surah Luqman





Lagi kita marah anak, anak akan semakin degil.
Amarah membuatkan kita letih, emosi letih.
Anak tidak akan ikut apa yang kita cakap, anak akan ikut apa yang kita buat!
-Ustaz Mohamad Mohsin a.k.a Che Mat-

200 kali ulangan baru manusia dengar.
-Dr.Fadzilah Kamsah.

Tamparan demi tamparan. Mahu menangis pun ya, mahu sentap juga ya. Sangat sentap. Kadangkala sebagai ibu kita cuba menerangkan, lama kelamaan apabila anak sudah lali, nasihat kita sudah berbunyi bebelan.
Kita tidak tahu cara tetapi kita mahu tetap sampaikan. Adakah betul begini?
Kita bukan diuji kerana kita pandai, tetapi kita diuji sejauh mana kita bergantung pada sabar dan solat. Kebergantungan kita bukan kepada makhluk tetapi pada PENCIPTA makhluk.
Begitu halnya soal mendidik anak. Ada cara dan teknik yang boleh kita gunakan berdasarkan surah Luqman.

GUNA NADA TEGAS BUKAN MARAH

Cara paling berkesan adalah memberi arahan secara tegas bukan marah. Ulangan ketegasan tanpa perlu bercampur dengan emosi. Apabila marah kita akan penat dan anak akan semakin degil.
Ulangan banyak kali, cuba buat sehingga berapa kali, 20, 30, 40 mungkin ke 200 baru berkesan.
Sabar dan sabar. Sabar dan praktik.
Selepas 3 hari 2 malam berkampung, perubahan paling nyata adalah pada Aiman. Aiman paling menggugat sabar saya sebagai ibu. Namun saya cuba dan cari juga kaedah yang boleh kembalikan semula sifat sebenar Aiman.
Selepas akhir sesi Aimanlah berlari dan datang memeluk. 5 hingga 10 minit jugalah kami sama sama menangis. Saya menangis kerana rindukan sifat dan wajah sebenar anak ini. Sebagai ibu Aiman banyak menguji sabar. Tetapi mesti ada jalan untuk pulihkan semula.
Sangat benar, 6 anak, 6 karektor warna yang perlu kita terima dan belajar untuk corakkan semula. Sesi pertama dahulu pada bulan Disember dia sangat teruja. Kali ini perubahannya sangat sangat membahagiakan.
Tidak ada lagi setiap kali dia mahu marahkan saya dijelirnya di pintu pagar sekolah. Haha urut dada dengan Aiman.
Itu berlaku apabila kehendaknya tidak dapat dipenuhi. Bukan salah Aiman, salah sayalah yang sangat daif dalam mendidik anak anak. Ibu terima segala kelemahan dan kesalahan. Semoga perubahan ini akan kekal hingga akhir hayat. Doa ibu, emak, ummi tidak akan putus buat anak anak.
Aiman yang baru. Dahulu rajin, sekarang bertambah rajin.
Sudah boleh berkongsi, menjaga adik dan bertoleransi.
Setiap kali suruhan Aiman akan iyakan sahaja lalu buat.  Hakim dan Arif sangat mudah bagi saya sebagai ibu. Untuk Aiman Allah datangkan satu karektor unik yang perlu saya belajar lagi untuk urus dan lenturkan.
Teks: Masayu Ahmad

Thursday, January 3, 2019

10 Langkah Mudah Bina Kedai Online


Harga: RM20

SMS: Yes


Alhamdulillah, selesai membaca eBook 10 Langkah Mudah Bina Kedai Online ini dan mendapat input yang berguna. Ketika memulakan bisnes online, niat hanya sekadar mahu test market sahaja. Jadi, tiada perancangan yang khusus untuk menyimpan maklumat pelanggan yang membeli, maklumat aliran tunai atau stok barang, apatah lagi tabungan khas setiap keuntungan.

      Di dalam eBook ini, penjelasan yang diberikan mudah untuk difahami. Antaranya mengenai panduan asas untuk memulakan bisnes tanpa modal, menggunakan kemahiran yang ada sebagai perkhidmatan kepada pelanggan dan bagaimana cara untuk tidak memulakan bisnes dengan berhutang.

       Langkah demi langkah (melalui kaedah 5W 1H) sebelum memasuki pasaran juga di terangkan. Ini untuk memastikan bahawa kita tahu produk, kaedah pemasaran dan prospek yang betul agar tiada lambakan stok. Amat merugikan jika kita mempunyai produk tetapi tiada pelanggan yang mahu membeli.

    Memahami bahawa modal bukan faktor utama, pelbagai cara yang boleh kita gunakan untuk mendapat modal tanpa berhutang. Tidak perlu pening kepala untuk membayar hutang, sedangkan kita mampu membuat tabungan khas melalui komisyen droship, bonus (jika masih bekerja) atau bekerja sambilan. Melalui eBook ini juga, saya memahami kelemahan biasa usahawan baru di dalam bisnes yang pertama.

     Ringkasnya, di dalam eBook ini, panduan yang diberikan sesuai bagi mereka yang mempunyai bisnes atau baru mula berbisnes. Tidak kira sama ada secara konvensional (offline) atau online, mengetahui kaedah yang betul untuk pemasaran dapat mengelakkan kesilapan yang berulang. Insya Allah, apabila kita berusaha, berdoa dan bertawakkal, tiada yang mustahil.

http://munirah-yusoff.blogspot.com/2015/10/ulasan-ebook-10-langkah-mudah-bina.html