Thursday, December 29, 2016

Surirumah tradisional vs moden

Surirumah tradisional vs moden
Teks: Masayu Ahmad
www.masayuahmad.com
Apa yang difahamkan dengan suri rumah tradisional. Wanita tradisional secara amnya mempunyai peranan asas dalam pembentukan keluarga. Melakukan tugas asas seperti memasak, menyediakan makanan, mengemas rumah, mengasuh anak-anak, menguruskan pakaian. Jika dahulu mereka menggunakan kudrat sendiri tanpa bantuan peralatan moden. Membasuh menggunakan tangan, mengasuh anak-anak sehingga mereka besar dan mula bersekolah. Menyediakan sarapan pagi, tengahari, dan malam.
Belum ada lagi istilah pembantu rumah, peralatan moden seperti mesin basuh, peti sejuk yang memudahkan kerja-kerja rumah. Mereka melakukannya sendiri, manakala suami tugas khusus adalah mencari rezeki. Agihan tugas yang jelas isteri mengurus rumah tangga, manakala suami adalah sumber utama ekonomi keluarga.
Berbeza dengan wanita moden hari ini sejajar dengan perkembangan literasi yang cukup pesat. Wanita turut sama bekerja untuk menampung ekonomi keluarga dan juga mereka kini mempunyai kelayakan pendidikan yang semakin baik.
Sejajar dengan itu, sudah ada pembantu rumah, pusat asuhan, pusat pendidikan awal kanak-kanak, ia adalah saluran untuk membantu peranan ibu dalam menguruskan rumah tangga. Peredaran masa dan trend moden banyak memberi perubahan kepada peranan ibu.
Seorang isteri. Masih berusaha untuk menjadi isteri terbaik untuk suami. Cacat cela dan kekurangan diri perlu lagi diperhalusi dan dibuang mana-mana yang kurang sesuai. Mampu menjadi pendengar setia, pendamping yang mesra, juga bijak dalam aturan urusan keluarga.
Apa seronoknya jadi wanita
Gali dan cari minat untuk keseronokan diri. Sekiranya minat adalah memasak, walaupun tidak sehebat chef tetapi sangat berpuas hati apabila anak-anak dan suami berselera menikmati. Ia sudah tentu boleh menjadi satu terapi atau aset paling berharga yang ada pada seorang isteri.
Menjadi pakar masak di dapur. Boleh menyediakan apa sahaja jenis masakan untuk suami dan anak-anak. Apa gunanya dapur moden, cantik dan bergaya jika ia hanya pameran semata. Apa guna koleksi pinggan mangkuk yang mahal berjenama jika hanya simpanan sahaja.
            Mulai sekarang tanam azam untuk menyediakan masakan hebat kepada suami. Dari masakan tradisional hinggalah barat, dari kuih muih hinggalah kek moden yang enak.
Sangat mudah wanita di zaman siber menggunakan teknologi untuk meningkatkan kualiti sebagai isteri.
Mulianya seorang isteri, ibu dan bergelar wanita. Berpindah tangan daripada keluarga dan kemudian beralih kepada seorang lelaki digelar suami. Suami yang dikenali sangat asing dan kini hidup sebumbung dan tidur sekatil.Maruah dan kehormatan diserahkan. Mungkin hanya  satu-satunya teman hidup, atau mungkin bertambah dan mempunyai teman, dua, atau tiga madu. Ini juga dikira pengorbanan. Perngorbanan untuk berkongsi kasih.
Isteri moden hari ini, perlu keluar dari rumah mencari rezeki. Menambah dan membantu suami untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Wanita moden hari ini perlu mendapatkan pendidikan yang tertinggi.
Bakal isteri kini sangat pasti akan ditanya belajar setinggi mana, bekerja apa dan berapa pendapatan. Betapa ia sudah menjadi budaya. Namun bagi wanita yang bijak  sudah menyusun strategi perlu menggali sebanyak mana peluang, untuk dia kembali berada di rumah dan mampu mengurus rumah tangga dengan lebih baik. Sangat bertuah bagi wanita yang diberi peluang ‘menjadi suri sepenuh masa’. Memang indah namun ia juga adalah cabaran untuk mengurus rumah tangga dengan penuh berhemah.
Kesenangan dan kebahagiaan adalah rahsia dalam hubungan keluarga. Seupaya mungkin seorang isteri perlu menyimpan segala kesusahan. Ia adalah gabungan dan resipi untuk bersama suami. Susah dan senang bersama. Menjaga aib suami adalah tanggungjawab, menjaga harta adalah amanah yang perlu digalas sempurna.
Perngorbanan yang tiada tara
Isteri selalu mendahulu suami dan anak-anak lebih dari dirinya. Menyediakan masakan yang sedap dan enak untuk santapan keluarga. Citarasa suami dan anak-anak didahulukan. Berusaha yang terbaik untuk menguruskan rumah tangga. Bangkit seawal pagi, usai solat menyegerakan urusan menyediakan sarapan, persediaan sekolah anak-anak, dan juga kelengkapan suami.
Rutin bermula sebelum subuh hinggalah lewat malam. Tidak mengenal erti penat, segalanya perlu dikerjakan dengan ikhlas. Korbankan masa, tenaga untuk melihat segalanya dilakukan dengan terurus.


No comments:

Post a Comment