Thursday, May 26, 2016

Yeay Mama Sudah Resign

Yeay, Mama Sudah Resign!

‘Kita mempunyai matlamat yang tersendiri dan matlamat yang cukup kuat mengapa kita mahu berhijrah. Kita berhijrah daripada makan gaji kepada hijrah bekerja sendiri. Malah konsepnya lebih luas kerana kita meletakkan kepada pergantungan Allah s.w.t pada tingkat paling tinggi.’Ini adalah antara bait-bait yang menyentuh hati saya dalam ebook ‘Yeay, Mama Sudah Resign!’ ini.

Menghimpunkan pengalaman ibu-ibu yang mengambil keputusan untuk ‘resign’ dan menumpukan perhatian kepada urusan rumahtangga dan menjaga anak-anak, ebook ini adalah bahan bacaan yang bermanfaat buat ibu-ibu berkerjaya di luar sana yang mempunyai matlamat yang sama tetapi masih mencari inspirasi  bagaimana mahu melakukannya.

Selain kisah inspirasi ibu-ibu ini, terdapat juga 1 bab yang berkisar tentang soal jawab yang banyak menjadi kerisauan ibu-ibu yang mahu meninggalkan kerjaya dan menumpukan perhatian kepada urusan rumahtangga. Antaranya adalah bagaimana untuk bermula dan membuat persediaan yang sesuai? Bagaimana mahu mengimbangi masa dan menguruskan anak-anak? Apakah cabaran-cabaran pada tahun awal berhenti kerja? Persoalan ini dijawab dengan baik berdasarkan himpunan pengalaman ibu-ibu yang lain dan inshaaAllah boleh mengurangkan kegusaran sekiranya anda mempunyai niat mahu berhenti kerja tetapi masih tercari-cari arah dan tujuan seterusnya apabila berhenti kerja.

Bab yang terakhir merupakan perkongsian pengalaman secara temuramah dengan 10 ibu yang menjadi usahawan yang membuat bisnes dari rumah. Antara yang sangat bermanfaat bagi saya dalam bab ini adalah tentang jawapan seorang usahawan tentang apa nasihat bagi surirumah yang bercita-cita mahu bekerja/bisnes dari rumah.

“Disiplin dan pembahagian masa amat penting. Walaupun bekerja dari rumah, etikanya dan disiplinnya adalah sama seperti kita bekerja pejabat, hanya sedikit fleksibel. Setiap suri yang bekerja dari rumah perlu mempunyai “workstation‟ atau ruang kecil yang diperuntukkan khas untuk urusan pejabat agar minda terarah dengan lebih baik.  Buat jadual harian bagi membahagikan masa suri untuk keluarga, diri dan bisnes. Urus emosi sebaiknya dan berhati-hati agar tidak terbawa-bawa emosi semasa berurusan dengan pelanggan, pekerja dan keluarga. ….. “

Yang paling saya suka adalah ayatnya yang terakhir “Set target-target kecil harian agar suri boleh melihat progress‟ bisnes/kerja anda setiap hari. Bergembiralah dengan setiap pencapaian, walaupun kecil ianya akan memberikan semangat untuk teruskan. “

Apa yang ditulis dalam ebook ini memang sangat relevan terutamanya kepada ibu-ibu yang masih dalam proses membuat keputusan hendak resign, ibu-ibu yang sedang membuat persiapan hendak resign, bahkan ibu-ibu yang baru sahaja resign. Jangan merasa diri berseorangan, kerana ramai ibu-ibu di luar sana yang melalui pengalaman yang hampir sama dengan anda. Belajar melalui pengalaman mereka inshaaAllah jika anda mahu melalui jalan yang sama, persiapan anda secara mental dan fizikal akan lebih teratur berbanding meletakkan jawatan begitu sahaja. 

Ulasan: http://norarfah-suut.blogspot.my/2016/05/yeay-mama-sudah-resign.html?spref=fb

Dapatkan di sini www.akademibekerjadirumah.com/shop