Tuesday, June 20, 2017

Surirumah pencen bergaya-1758


Teks: Masayu Ahmad

Sejak beberapa bulan ini begitu banyak berita tentang kematian di kalangan sahabat wanita. Kebanyakan disebabkan kanser. Beberapa tahun dahulu saya pernah mempunyai seorang rakan kenalan penulis. Beliau sering berhubung melalui laman sosial. Pada penghujung hayat beliau berkongsi bahawa disahkan kanser. Ternyata ia satu perjuangan baru. Dan berakhir dengan kematian.
Beberapa bulan lepas saya dihubungi lagi seorang sahabat menceritakan beliau juga disahkan kanser. Kemudian deretan kematian demi kematian kerana kanser.
Kita tidak tahu di mana pengakhiran dan bila, namun persediaan itu perlu. Bagi pesakit kanser sudah tentu mereka berpeluang awal kerana sudah diberi isyarat akan dijemput pulang.
Apa persediaan kita? Dalam menguruskan kerjaya, rumah tangga, anak-anak dan juga bisnes tidak dapat tidak kita kadangkala sangat sibuk. Sibuk sehingga terlupa semuanya akan ada pengakhiran.
Bertuahlah pada mereka yang sentiasa bersiap sedia dalam keadaaan mahu menemui Tuhan. Siap sedia iaitu melepaskan apa yang diburu dengan tenang. Iaitu tidak lagi berlumba lumba mencari harta dan kesibukan. Tetapi keseimbangan dunia dan akhirat.
Pada suri yang sepenuh masa, tidak ada hutang, mempunyai simpanan hari tua sudah tentunya kehidupan lebih teratur. Usai anak anak membesar masanya seimbangkan dengan hari hari dengan lebih bermakna.
Pencen muda juga salah satu pilihan gaya hidup, iaitu kita mempunyai sasaran yang jelas bila mahu berhenti bekerja. Atau juga pencen dalam hal segala kesibukan yang memenatkan. Fokus kepada kehidupan atau persediaan menghadapi kematian.
Ia bukan semata mata kita zuhud menolak kebendaan dan keduniaan, tetapi saya satu cara kita menyusun matlamat dengan jelas dan realistik. Jadi kia tidak terawang awang dengan hanya mengikuti sahaja kesudahan cerita sendiri dengan kematian tiba tiba.
Kerana kematian tidak mengira usia dan waktu. Ada seorang kenalan yang dulu sangat sibuk pergi kerja subuh hari pulang dengan keadaan letih, menempuhi kesesakan jalanraya dan padat dengan hidup yang melemaskan. Kemudian beliau berdoa agar dipermudahkan untuk hidup dengan dunia kebajikan dan sederhana. Beliau kini digelar ‘posmen’ menyampaikan sedekah rakan rakan kepada asnaf yang tinggal diceruk kampung. Bukan sekadar itu kehidupan yang sederhana, dikelilingan sahabat sahabat sealiran dan suasana kebajikan setiap hari yang mendamaikan. Tidak ada lagi hiruk pikuk kenderaan, kesempitan masa dan suasana terkejar kejar.
Kita bukan sekadar bermatlamat belajar sehingga universiti, kemudian bekerja, berkahwin, mempunyai anak, membesarkan empayar bisnes. Tetapi boleh tetapkan satu lagi matlamat baru mahu kesudahan yang baik menemui Tuhan dalam keadaan bersedia. Tentunya pencen muda dengan membuat persiapan di sini dan juga untuk di sana. Persiapan dalam bentuk kewangan, pelaburan, kehidupan berkeluarga dan juga kebajikan. Semoga lebih ramai para suri sedar akan matlamat untuk diri sendiri bukan sekadar meraih dan mencari rezeki setiap hari. Tetapi mencari satu posisi di mana kita apabila usia sudah menginjak 30 an, 40 an, 50 an dan 60 an. Sebagaimana kata arwah mertua usian 70 an adalah masa kecemasan yang diberikan Tuhan. Moga kita sentiasa bersedia dan berada dalam kasih sayang Allah sentiasa. Lahir ke dunia dan sentiasa bersedia dijemput Maha Esa dalam bila bila masa sahaja.


Friday, June 9, 2017

Kita hidup tumpang menumpang 1757


Teks dan foto: Masayu Ahmad
pn.masayu@gmail.com
www.masayuahmad.com

 “Untunglah sebab anak ramai boleh bergilir gilir jaga.”
Titipan bermakna dari bapa saudara yang bongsu yang kami panggil Pok Su. Barangkali apabila melihat kami adik beradik bergilir pulang menjaya ayah yang kini sudah terbaring sakit.
“Pak cik perlu sabar dan redha, pelincir pada tulang punggung sudah kering.”
“Sudah sampai masa saya ni doktor.”  Balas ayah.
Saya yang mendengar berada di belakang laju mengalir air jernih dalam hati. Sampai masa maksud ayah maksudnya sudah tidak banyak masa yang ada. Bukannya mendoakan Allah menyegerakan kematian. Tetapi mendoakan kebaikan agar Allah memberikan semangat luar biasa buat ayah agar dapat berjuang istiqamah redha dengan kesakitan dan kesukaran di hujung usia.
Setiap kali menatap wajah tua ayah, hati luluh. Namun kuatkan semangat agar dapat menjaga sebaiknya.
“Ibu kita mahu pergi rumah Tok Ayah hari ini ya.” Bait bait yang keluar mulut Ammar apabila melihat rutin saban minggu. Kalau sudah sibuk mengangkut barangan ke kereta. Ammar siap siaga berpakaian dan sangat seronok.
Saban waktu ketika menyediakan hidangan tengahari, saya suka hidangkan di dalam talam. Makanan kesukaan seperti ikan masak asam, sayur lemak putih, sambal mempelam dengan isi ikan rebus. Itu adalah antara menu kesukaan. Kadangkala bertanya dahulu mahu makan apa.
“Kalau mahu hidang, tengok cara Mek buat. Masak dan sediakan yang terbaik buat suami.” Itu pesanan yang selalu dititipkan. Jadi saya tidak pernah lupa ia sudah melekat. Nasihat demi nasihat diberikan.
Sambil menemani makan akan keluar cerita cerita lama. Tugas hanya dengar. Kerana memori itulah yang memberikan nafas kerinduan pada yang tiada.
Sebagai anak cepat atau lambat bukan soalnya, tetapi kesihatan dan pengakhiran yang baik adalah tujuan dan matlamat. Saya sangat pasti saya akan rindu suasana ini. Ayah pada usia mudanya kuat bekerja dan sangat garang.
Namun masih terserlah kasih sayang. Ketika saya usia kecil belum sekolah apabila petang, saya suka tidur di lengan. Kadangkala mendapat upah dua puluh sen tugasan mencabut uban.
Saya bersama kakak selalu ingat pesanan, jangan ke tepi sungai jangan bermain air pantai. Tetapi kami nakal kanak kanak, sesekali terlepas juga ke tepi pantai. Bermain ombak dengan gembira. Perlu balik sebelum petang atau sebelum azan, kalau tidak tahulah kami nanti.
Suatu hari seronok kami berkubang bermain air baruh depan rumah. Sakan mandi manda dengan kawan kawan. Tetapi ia sampai juga kepada ayah. Apalagi saya segera lari dan bersembunyi di sebalik almari. Kakak sempat dimarahi ayah. Saya apabila penat bersembunyi dan kemudian keluar dan pura pura tidur. Saya selamat, tetapi kami tetap diberi amaran dan pesanan.
Masa jauh berlalu saya bersama kakak kini bergilir menjaga dan mengurus ayah bersama adik lelaki. Adik beradik yang jauh juga selalu pulang memberikan sokongan.
Kita hidup tumpang menumpang sebagaimana waktu kecil kita dikasihi dan apabila tiba masa kita pula yang mengasuh dan mengasihi. Itulah putaran kehidupan dan anak anak juga nanti tentunya akan melihat dan memandang setiap sisi rutin mereka sejak kecil. Harapannya buat semua anak anak dan juga doa kita sebagai ibu, agar terus istiqamah dengan kebaikan. Semoga ia menjadi tauladan yang baik sampai bila bila.



Tuesday, June 6, 2017

Kisah kasih sayang

Kisah kasih sayang- 1756

Teks: Masayu Ahmad

“Ibu berikan abang motivasi.” Setiap kali putus asa begitulah ayat Hakim.
“Abang hebat, telah berusaha jauh. Jadi apabila penat rehatlah kemudian sambung lagi berjuang. Jangan pernah ada putus asa dalam usaha. Kejayaan sebenar adalah apabila kita boleh bangkit setiap hari melawan rasa malas dan keluar segera dari zon selesa.”
Sebagai ibu kata kata semangat yang tidak pernah putus dilafazkan.
Ada banyak peningkatan dan perubahan sejak akhir akhir ini. Sama ada dalam pelajaran dan juga tingkahlaku. Abang sudah mahu memasuki alam remaja, jadi masanya belajar mengurus diri dan berdikari. Sambil mengurus pakaian kotor saya menemani anakanda yang sulung hakim belajar membasuh pakaian.
Cubaannya sudah beberapa kali. Jadi Alhamdulillah sudah boleh membasuh dan menyidai pakaian. Mengurus sendiri pakaian tanpa perlu disuruh.

Apabila melihat anak di depan mata dulunya kecil kini semakin membesar, masya Allah rupanya sungguh pantas masa berlalu. Anakanda semakin membesar dan tidak lama lagi mungkin akan berhijrah dan mengembara menimba ilmu.
Sebagai ibu tentunya sedikit gusar namun sentiasa tawakkal dan doa yang tidak putus buat anak anak. Anak sulung tentunya adalah model dan contoh buat adik adik.
Jangan sesekali mengambil hak orang lain. Jangan berhutang waima sepuluh sen. Jangan tunjukkan kesusahan pada orang lain. Jangan meminta minta. Belajar untuk urus masalah sendiri.
Pesanan demi pesanan. Setiap hari dan apabila ada luang masa.
“Sudah lama abang tidak nampak ibu sibuk dengan telefon.” Tegur Hakim pada suatu hari.
Itulah kejayaan besar buat saya, apabila berjaya menyusun jadual kesibukan. Tidak mahu kesibukan dan menampakkan gajet ada di tangan apabila berada di sekitar anak anak. Azam sejak awal tahun baru 2017 berdikit dikit saya usir kesibukan bersama gajet. Memandangkan urusan saya juga banyak juga memerlukan online secara terus menerus. Awal pagi saya mengubah semula rutin penggunaan sebelum anak anak bangun. Apabil selesai mereka sudah bangun dan boleh fokus sepenuhnya kepada anak anak.
Memandangkan Amni dan Ammar masih kecil dan anak anak sekolah seperti Arissa, Aiman, Arif dan Aiman. Mereka memerlukan saya hampir setiap waktu.
 Urusan sekolah pagi dan petang, usai sampai di rumah mereka mencari cari di dapur. Itulah keredaan paling nyata kesibukan apabila mereka dapat menikmati air tangan. Menu pagi, usai balik sekolah dan selepas mengaji al quran pada waktu malam.
Masa makan adalah paling istimewa kerana semua dapat berkumpul dan menikmati hidangan. Apabil seorang lambat turun makan, selalunya saya akan pastikan semua ada baru makan.
“Bukan selalu kalian akan dapat makan bersama sama. Apabila besar kelak kalian sukar untuk berjumpa dan makan bersama setiap hari. Jadi masa inilah masa yang paling akan kalian ingat apabila dewasa kelak.” nasihat suami pada anak anak.
“Lihat ayah sekarang bukan setiap hari dapat berjumpa adik beradik dan makan bersama.”
Kebersamaan dan bersatu adik beradik adalah satu usaha menerapakan nilai nilai moral sejak dari kecil. Bergaduh dan menangis itulah biasa, namun luar biasa apabila bergaduh dan berpecah apabila dewasa kelak. Kasih sayang tidak pernah akan padam selagi mana ia disiram berterusan sehingga akhir ayat. Bukan saya semata, tentunya kalian juga ibu ibu yang mengharapkan tautan kasih sayang anak anak sehingga ke hujung nyawa.



Sunday, June 4, 2017

Belajar melalui pemerhatian

Belajar melalui pemerhatian-1755
Teks: Masayu Ahmad
wwww.masayuahmad.com

Saya memang tidak sempat berkhidmat untuk arwah mek, hanya sempat memandikan, mengafankan dan menemani hingga jenazah ke liang lahad. Tekad lepas kematian, kami suami isteri mahu pulang ke kampung halaman.
Lima tahun selepas pulang berhijrah, kami sepenuhnya menjaga arwah ma.
Arwah seorang penghidap buah pinggang kronik selama 11 tahun.
Tiga kali seminggu perlu rawatan dialisis. Dari jam 9 pagi pulang jam 3 petang. Keesokannya akan rebah dan demam. Namun kekuatan dan semangatnya itulah membuatkan beliau umur panjang.
"Sampai bilo keno cuci (rawatan dialysis) ni ma."
"Sampai habis nyawa."
Ayat ini saya ingat dan selalu bermain di kotak fikiran. Ma tidak makan ikan. Lauknya hanya ikan bilis, telur. daging. Jika mahu masak ayam perlu dimasukkan asam jawa.
Kegemarannya kerabu perut dan gulai daging yang dimasukkan terung. Nasi kerabu daging bakar paling disukai.
Setiap pagi saya bertanya dahulu.
"Ma nok makan apa hari ini?
Itulah rutin.
Dua tahun kebelakangan terakhir kesihatan semakin kurang konsisten. Ma tidak lagi memasak.
Juga pasar pagi setiap Jumaat sejak tiga tahun sudah tidak lagi menjadi rutin ma.
Jam 3 pagi. Ma ke bilik air sebelum rebah dia sempat menyebut Allah, Allah, Allah,
Saya sempat sambut dan ma rebah di pangkuan. Peluh menitik di dahi, ma sudah kebiruan.
Khidmat akhir saya memandikan dan mengafankan ma bersama kakak ipar dan biras yang lain. Ciuman di pipi ma, kain putih menutup wajah ma yang tersenyum manis sebagai ucapan selamat tinggal. Saya bangga telekuang sulam hadiah hari raya tahun sudah membalut tubuh ma sebelum dikafankan sepenuhnya. Itulah kenangan terpahat kerana setiap kalia Aidilfitri saya akan menghadiahkan telekung solat sulam Keranda diusung keluar dan air mata ini tidak menahan dari terus mengalir. Ma sudah pergi meninggalkan kami.
Terima kasih ma, kerana memberi peluang untuk saya berkhidmat.
Ma, mertua idola tidak ada galang ganti. Kuat semangat dan tidak pernah berputus asa.
Banyak yang saya belajar melalui arwah ma, seorang isteri tradisional teladan. Ia sangat berbeza dengan saya pernah bekerjaya dan hidup berkeluarga di bandar.
Jangan membazir dan memasak dari hati. Selalu apabila saya tersalah, beliau tidak menegur terus tetapi saya perhati dan perlu cepat faham. Apabila sesuatu yang mengembirakan beliau terus memuji. Masakan ini si anu yang buat, yang ini si anu yang siapkan.
Orang tua caranya berkias dan kita perlu cepat belajar dan faham. Sudah tentu juga dalam soal menguruskan rumahtangga. Saya tidak boleh bermalas malas sebagaimana ketika hanya berada dalam lingkungan saya suami dan anak anak sahaja. Perlu cepat serap cara orang lama.
Soal masakan juga, saya tidak boleh lagi ambil mudah. Mertua resipinya lain, bapa mertua pula suka akan masakan yang masam seperti kerabu, sup tulang dan patin masak tempoyak. Anak anak suka masakan beliau ayam masak pedas.
“Mok buat sedap, ibu buat tak sedap/” Begitulah anak anak apabila mengadu dan makan bertambah tambah. Anak anak belajar menikmati hidangan kasih sayang. Ia hamper setiap hari ketika ma sihat. Namun beberapa tahun terakhir sahaja saya tidak benarkan beliau memasak. Banyak masakannya saya belajar, cara penyediaan asas. Orang tua walaupun menu adalah sama namun kesedapannya berbeza. Kerana memasak dengan zikir, keikhlasan dan kasih sayang. Saya sangat perasan apabila saya kepenatan, masakan tidak akan sedap.



Saturday, May 27, 2017

Meniti usia senja


Meniti usia senja-1754
Teks: Masayu Ahmad

www.masayuahmad.com

Ketika awal membina rumah tangga, kita selalu membayangkan semua mahu sempurna dan selesa. Mahu rumah besar, lapang untuk anak-anak bermain, dapur besar untuk memasak dan banyak lagi. Ia semua bicara atas kehendak kita.

Iktibar dari pengalaman
Saya ingin menyorot kembali seorang warga emas, yang mahu menjual banglonya yang besar, mempunyai lima bilik, ada dua rumah berasiangan satu dapur basah dan satu lagi kediaman bilik, parkir yang luas dan halaman yang luas.
Masuk ke dalam rumahnya tersergam cantik. Tetapi itu semua tinggal kenangan. Anak-anak semua sudah berjaya dan sukses, masing-masing sudah mempunyai kediaman sendiri. Kini, tinggallah warga emas itu bersama isteri baru. Isteri muda itu adalah seorang yatim.

Banglo itu mahu dijual atas dasar, mudah jika sekiranya dia sudah tiada lagi. Apabila dijual kelak banglo tersebut, dia dan isteri akan berpindah di rumah yang lebih kecil hanya tiga bilik dan kediaman yang lebih sederhana. Ia lebih sesuai kediman ketika di hujung usia.
Kita, ketika muda-mua begini mahu yang besar dan wang yang banyak sahaja. Ketika saya singgah di sebuah kedai buku, saya mencapai sebuah buku bertajuk urus harta sebelum kematian. Banyak perkara yang dikongsi dan ia sangat bersesuaian untuk dibaca dan difahami. Sangat penting untuk urus sebaik mungkin, agar tidak ada pergaduahan kelak. Si mati sudah dikuburkan, harta pula yang menjadi perbalahan.


Kehidupan di kala senja. Apabila usia, sudah merangkak ke asar, kemudian magrib dan isyak, tidak dapat tidak perlu menghitung apa  bekalan yang akan dibawa kelak. Kita selalu sahaja sibuk dengan aktiviti mencari wang, wang,wang, tetapi keseimbangan hal-hal lain juga perlu diambil kira.
Kehidupan yang sederhana mungkin lebih bermakna. Saya suka melihat ayahanda dan arwah emak, pagi dan petang bergendong motosikal ke masjid. Sebelum subuh bunyi motor dan ia menjadi peneman halwa telinga sehingga tidak lagi kedengaran enjin motor. Usai pulang masjid, selalunya bersarapan bersama. Jika tidak mereka akan singgah di kedai makan mok cik mek di tepi sungai, dan kemudiannya menghabiskan masa di pesisir pantai. Aduhai memang rapat mereka berdua. Berbonceng motor ke sana ke mari.

Saya suka suanana pagi begitu, dan sudah tentu sekali ayahanda. Saya suka, ayah seorang yang setia, tidak lagi emak selain arwah. Memang setia. Cerita ini terakam dalam memori tatkala ayahanda bercerita.
Apa yang paling penting, ayahanda berdoa ketika berada di depan kaabah.
"Tunggu aku kiah (rokiah) di pintu syurga," saya membayangkan berjujuran air mata ayahanda ketika mendoakan demikan. Apatah lagi ketika berkongsi cerita, terlihat jelas sorok rindu akan arwah isteri tercinta.

Betapa beruntungnya arwah kerana ayah begitu sayang dan sentiasa rindu akan masa lalu. Betapa untungnya juga kerana dia lah satu dan terakhir. Untungnya arwah, pemergiaan juga atas redha seorang suami dan segala-galanya dilepaskan baik oleh ayahanda.

Aduhai, saya sebagai anak masih berusaha menutup kekurangan yang ada. Berusaha membantu mengisi kekosongan dan kesunyian ayahanad sebaik mungkin, walaupun kadangkala saya akur ada keterbatasan waktu dan kudrat, tetapi kepada Allah jua saya bermohon dan berhajat.
Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, angkatlah darjatku, berikan aku rezeki yang halal lagi berkat, berilah aku petunjuk, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku.

Thursday, May 25, 2017

Kasih sayang adalah kekuatan

Kasih sayang adalah kekuatan 1753

Teks dan foto: Masayu Ahmad
Menjelang petang, saya bertanyakan ayah sudah sedia untuk mandi, jadi beliau mengiyakan.  Saya panaskan air rebusan serai wangi untuk mandian. Kemudian campur dengan air biasa. Usai kain basahan dihulurkan ayah merasa rasa air.  Sebagaimana biasa saya mahu menjirus air, namun ayah dengan kudrat yang bersisa masih mahu membuat sendiri. Selesai mandi tempat baring dikemaskan bertukar kain. Kemudiannya telur yang sudah siap direbus, kupas kemudian sedikit kicap.
Bersuap sehingga selesai, suku milo panas. Itulah hidangan malam yang diminta. Tidak mahu yang lain.
“Ayah malam ini saya balik, nanti esok kakak datang.” Sambil itu tangan rapat memohon maaf. Peluk cium.
Berkali kali memesan pada adik jangan sesekali tinggal ayah. Tidur di sebelah ayah. Sepanjang memandu pulang air mata tidak henti jatuh bagai hujan. Emosi agak cedera.
“Ibu, ibu kenapa ibu menangis? Kenapa ibu sedih?” Tanya Ammar bertalu talu. Saya hanya mendiamkan diri. Meneruskan perjalanan.  Perlu kembali ke rumah kerana di sana juga ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Namun fikiran masih tidak henti dari memikirkan keadaan ayah.
Semacam satu perasaan tidak boleh terima bahawa ayah semakin uzur. Sakitnya yang datang membuatkan hati dipagut pilu. Sakitnya, sakitnya ya Allah.
Ayah menahan diri namun sesekali kedengaran. Saya hanya mengurut dan tidak tahu apa yang boleh mengendurkan rasa sakit. Puas dipujuk.
“Kalau tak boleh tahan marilah kita ke hospital.” Pujuk saya berulangkali.
Namun sebagaimana biasa, menolak.  Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesembuhan buat ayah. Dipermudahkan segala urusan. Ramadhan kali ini ternyata berbeza sebelumnya. Jadual kembali bertukar 360 darjah. Bukan lagi tentang hidangan dan menu berbuka. Bukan lagi tentang gemerlapan Syawal. Namun tentang tautan kasih sayang. Terima kasih ayah dan mek memberikan tauladan yang baik. Kami akan menjaga sebaik baiknya sehingga hujung nyawa dan walaupun sudah beralih alam. Insya Allah.
Ammar dan Amni duduk di sebelah tilam tok ayah. Seakan watak yang sama ketika kecil. Ayah dan mek menyantuni cek (datuk). Menjaga dan mengurus pada hari hari tua. Menjaga dan menyantuni dengan belas ehsan dan kasih sayang.
Moganya Ammar dan Amni juga dapat mengingati momen ini. Kasih sayang adalah kekuatan ia bertalir arus dan sambung menyambung. Kasih sayang membawa rasa bahagia.
Sisi kehidupan yang tentunya kita tahu setiap yang ada akan berakhir. Seumpama dalam satu perjalanan yang jauh kita memerlukan stamina untuk sampai ke garis hujung.
Refleksi kehidupan juga begitu. Kita tidak boleh mengandaikan semuanya akan berlaku dengan mudah. Setiap yang datang kita anggap tidak ada masalah. Kita sendiri perlu bersedia dan muhasabah. Bersedia untuk meningkatkan kapasiti keyakinan dan kekuatan.
Yakin bahawa kita mampu melepasi halangan. Kuat dan tabah hati apabila berdepan cabaran tak terduga. Pilih untuk bertenang dan pantul semula segala masalah.
Pilih untuk membahagiakan. Berserah pada Allah agar diberi semangat luar biasa.
Semoga setiap hari adalah peluang memberi khidmat tanpa balas.
Peluang meraih syukur. Peluang berkasih sayangg.
Apa yang datang adalah peluang meningkatkan kematangan.
Ampuni kami ya Allah. Kasihani ibu bapa kami. Permudahkanlah urusan ibu bapa kami.
Kasihanilah mereka sebagaimana sewaktu kami kecil. Berikan pengakhiran yang baik kepada ke duanya ya Allah. Rahmati, kasihanilah, ibu bapa kami. Jadikan kami anak anak yang bermanfaat.
Jadikan kami anak anak yang ehsan.

Alhamdulillah.













Saturday, May 20, 2017

Ibu terbaik

Siapa ibu terbaik buat anak anak 1752
Teks: Masayu Ahmad
wwww.masayuahmad.com

Kita bayangkan anak anak. Usai turun dari rumah, letak beg dan mula sesi belajar waktu pagi
Anak anak kecil ditinggalkan di taska atau pengasuh seawal jam tujuh pagi.
Adakah? Mereka pergi dengan keadaan perut kosong. Anak kecil sudah diberi makan dan mandi. Atau masih berpakaian semalam dan masih masam. Emosi mereka dipeluk mesra.
Kita, mak mak selalu membayangkan seperti iklan di tv. Bangun pagi penuh ceria, sediakan sarapan. Turun dengan gembira. Tidak ada suara suparno. Tidak ada leteren. Tidak ada seperti mahu naik minyak.
Usai pagi anak anak mahu mak yang tenang tanpa emosi. Usai pagi bangkit dengan gembira.
Pertengahan persekolahan ibu dipanggil ke pejabat kerana Arif tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya akur anak anak terlalu penat dan berterima kasih kerana pentadbir mengambil berat. Pantauan memastikan anak anak cukup rehat dan bersedia untuk berada dalam sesi ilmu. Usai pulang sekolah Arif memaklumkan ustazah memberitahu, beliau lakukan kerana sayang bukannya mahu menghukum.
Semasa sesi berjurai jurai air mata anakanda Arif.
“Orang paling kanan saya cikgu kalau di rumah. Terima kasih kerana mengambil berat akan anakanda saya. Allah sahaja yang mampu membalas.”
Zaman anak anak kita serba sebi mencabar. Mahu atau tidak perlu bersedia dan tambahkan kekuatan. Kalau hari Khamis, bergelimpangan lah usai balik sekolah. Semua terbaring lelap keletihan. Kita dahulu balik sekolah, usai mengaji, bermainlah sampai petang.
Arwah mek (ibu) boleh dikategorikan seorang pendiam dan penyabar. Masakan sudah tentu sekali terpahat dalam kenangan. Acapkali saya terfikir bolehkah saya menjadi ibu penyabar, sebagaimana arwah.
Memori terpahat, masa kecil-kecil dahulu saya sering mengikut arwah ke surau atau panggilan Kelantan balai sah. Teringat akan sentuhan kasih sayang, apabila mek membetulkan telekung saya. Agar kemas dan tidak terkeluar rambut. Biasanya sebelum beberapa minit azan berkumandang kami beriringan ke surau. Saya masih terbayang suasana senja, beriringan berjalan menuju ke masjid. Jelas tergambar di layar fikiran.
Juga setiap kali mendapat keputusan peperiksaan, mek orang pertama saya terpa, mengucup dan apa yang pasti air matanya akan jatuh kerana gembira. Juga ketika menelefon memberitahu berita mendapat menyambung pelajaran di universiti, suara sebak sudah kedengaran di corong telefon.
Apabila setiap kali saya bersalin, tidak putus nasihat begitu dan begini. Saya sangat rindukan arwah, hanya doa sahaja agar sampai ke sana, mudah-mudahan.

Setiap kali ada majlis di sekolah sememangnya saya selalu mendapat tugasan mengoreng bihun. Selalunya habis dan tidak cukup. Dan itulah resipi air tangan yang sentiasa dirindui.
Ketika menginjak dewasa, apabila malas membuat kerja rumah, anak perempuan seperti saya selalu kena bebel. Pandai atau tidak perlu pandai urus dan buat kerja rumah.

Apapun saya teringat kuih muih kegemaran seperti bingka ubi, ketupat sotong, pengat ubi, nasi kerabu dan pelbagai kuih muih menjelang puasa. Semuanya dibuat sendiri tanpa perlu dibeli.
Kasih sayang, resipi air tangan, ilmu rumahtangga, adalah selalu diberikan secara langsung dan tidak. Tetapi itu semua tetap tersimpan kemas dalam ingatan saya. Sambutan hari ibu atau tidak, saya tetap terus berdoa akan rahmat kasih sayang Allah sentiasa mengiringi ke dua ibu bapa dan dua mertua.




Rindu masih basah

Ramadhan kali ini 1751
Teks: Masayu Ahmad

Tidak ada beza Ramadhan kali ini kerana rindu masih basah kepada yang tiada. Ketika menulis artikel ini ayahanda berada dalam keadaan kurang sihat. Usai jam 8 pagi selepas anak anak berbondong keluar rumah menadah ilmu, barulah saya berkesempatan melihat skrin telefon. Rupanya mesej dari kakak memaklumkan berada di wad kecemasan.
Usai menghantar si bongsu kepada pengasuh laju saya ke hospital mencari di wad sebagaimana biasa. Mesej masih tidak berjawab. Apabila yakin tiada di wad terus pulang ke rumah. Apabila sampai segera bermohon kemaafan buat kakak yang selalu ada bersama ayah. Walaupun kami mempunyai jadual giliran namun kakak banyak mengalah dan berkorban. Terima kasih Mok Ni kerana selalu mengalah. Moga Allah memberikan limpahan rahmat berterusan.
Lihat terbaring ayahanda dikasihi semakin hari ditelan keuzuran. Panas air mata namun saya perlu segera bangkit tidak mahu susah hati. Menemankan mandi kemudian menyiapkan ayahanda agar berehat. Ternyata kesihatannya agak merudum kebelakangan ini. Jadual kerja semuanya saya ubah semula. Tidak mahu kesibukan semasa menjadi penghalang untuk menjaga sepenuh hati.  Kasih ibu bawa ke syurga kasih ayah tiada galang ganti.
Sebagaimana kematian arwah mek (ibu) itulah keputusan hijrah paling tepat kerana saya mahu pulang dan berkhidmat. Ramadhan kali ini juga kali kedua tidak ada wajah kesayangan bapa dan ibu mertua. Semoga roh semua kesayangan kami dicucuri rahmat.
Ramadhan kali ini juga mengingatkan momen setahun lepas, tiga hari sebelum berpuasa saya melahirkan anak ke enam.
Sepanjang setahun hamilkan Amni saya fokus untuk berehat dan bertenang. Tiga hari sebelum 1 Ramadhan bersamaan 3.6.2016 Amni lahir. Maka bersambunglah berehat sepanjang bulan puasa.

Cukup 6 kelahiran saya dapat merasakan momentum agak tersasar. Kemudian perlahan saya mula atus dan susun semula jadual harian. Kali ini respon kepada keadaan fleksibel agar saya mampu menangani apa sahaja urusan dengan baik.

Ada perkara saya boleh pejam mata saya pejam mata. Ada perkara saya boleh urus saya lakukan satu persatu. Ya, kita adalah apa yang kita fikirkan. Kadangkala ada banyak perkara yang mahu dicapai serentak tetapi perlu akur dengan keadaaan. Fokus perkara yang berada dalam kawalan, sementara perkara yang lain berdikit dikit ubahsuai dengan kemampuan.
Suasana tahun ini sangat berbeza namun kehadiran Ramadhan tetap meninggalkan kesan. Apakan tidak biasanya dapat bergilir dengan kakak pulang ke rumah ayah untuk memasak dan berbuka bersama.

Kita terkenang-kenang pada yang tidak ada. Namun pada kalian dan saya sendiri jika masih ada orang tua pastinya menggunakan masa yang ada untuk berkhidmat.

Berpantang sendiri
Berpantang kali ke enam  sangat jauh berbeza, tidak ada yang tolong masakkan lauk pantang, rebus air teresak untuk mandian pantang. Hanya ada suami yang sepenuhnya membantu dan mengurus saya dan anak-anak.

Alhamdulillah juga si kecil sangat mudah dijaga. Dua malam pertama selepas kelahiran kami dipisahkan wad, jadi saya guna kesempatan tersebut untuk berehat sahaja. Malam ke tiga baru tidur bersama bayi. Ajaibnya kan perasaan, dahulu si kecil ini dibawa di dalam perut. Sekarang ditenung dipandang sudah ada di sisi.


Amni, bermaksud ketenangan dan kesejahteraan. Moga solehah berbakti kepada orang tua, agama dan bangsa. Amni sangat mudah diurus dan saya sangat senang memandangkan tidak rumit. Kadangkala teringat juga dahulu berpantang arwah mek berpagi merebus air mandian, kemudian nasi ikan bakar berulamkan kunyit muda dan lada hitam.

Al-Fatihah.

Tidak salah mengenang kenangan, moga roh arwah mek, mertua dan bapa mertua sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan beriman. Semoga kami diberi kekuatan luar biasa untuk menjaga dan memberi khidmat buat ayahanda dengan penuh kasih sayang

Alhamdulillah, Ramadhan merapatkan ukhwah dan kasih sayang. 

Sunday, May 14, 2017

Arwah mek dalam kenangan

Lambaian kenangan Ramadhan
1750
Teks: Masayu Ahmad


Pejam celik pejam celik Ramadhan kembali, ianya mengembalikan nostalgia bersama arwah mek (panggilan emak di Kelantan). Tahun 2009 saya berkesempatan membuat sedikit majlis makan-makan semasa bulan syawal. Pada masa itulah kali terakhir arwah berkunjung sebelum balik seminggu kemudian meninggalkan kami. Kunjungan itu adalah terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Betapa sekejap sahaja masa berlalu. Al-Fatihah. Ramadhan kali ini pasti akan terasa. Saya akan sentiasa ingatkan arwah dan hujung doa setiap kali memohon keampunan Nya untuk arwah dan agar rohnya dicucuri rahmat.

Setiap kenangan melekat kukuh dalam memori. Saya rindukan akan zaman kanak-kanak dan remaja, seringkali mengikut arwah ke masjid untuk solat tarawih. Rindunya suasana tersebut. Kadangkala perbincangan juga menghala soal rumahtangga dan hal-hal lain.

Teringat saya ketika melalui satu sesi ujian menulis dan membaca tulisan jawi. Saya mendapat markah penuh. Ketika ustaz bertanya siapa yang mengajar. Saya dengan penuh bangga menyatakan, 

“Saya belajar dari emak.”

Betapa ia melekat dalam hati apabila saya suka membelek tulisan jawi dan mendapat tunjuk ajar arwah.

Ingatan juga apabila lama tidak bertemu, kami akan berborak panjang ketika tidur dan sama-sama melagukan zikir munajat.

Sampai ke hari ini setiap kali melagukan zikir ini, kadang-kadang saya merasakan saya melagukan bersamanya. Kadang-kadang rasa panas di hujung anak mata. Air mata mengalir tanpa saya sedar.

Jika pulang ke rumah di kampung akan kedengaran suara arwah mengajar anak-anak kecil mengaji al-quran. Suara-suara kecil yang mengalun ayat-ayat suci.

Kini ia kosong, sunyi tiada lagi lontaran suara melagukan ayat-ayat dan surah-surah. Sepi dan sunyi. Itulah barangkali saya melihatkan kelainan ayah yang nampak berbeza. Lebih diam daripada biasa. Saya dapat merasakan kesunyiannya dan mestinya merindui arwah melebihi saya.

Saat memandikannya, mengafankan arwah, saya cuba menahan agar air mata tidak gugur. Mengiringi jenazah dan menunggu hingga timbusan tanah terakhir. 

Masakannya, nasihatnya, leterannya adalah masih ranum di ingatan saya.
2010 adalah tahun hijrah balik ke Kelantan. Walaupun mek sudah tidak ada saya memberi tumpuan untuk punyai lebih masa bersama ayah, dan dua mertua. Ramadhan kali ini adalah tahun ke 2 tanpa ayah dan ibu mertua. Keduanya juga sudah dijemput Illahi.
Menu rindu.
Tahun ke 7 puasa tanpa arwah mek. Tahun ke 2 puasa tanpa arwah bonda mertua.
Dua figura wanita tradisi meninggalkan momen paling mendalam. Masakan tidak sejak lahir makan masakan mek, disuap mek, diasuh mek. Membesar sekeliling kasih sayang mek.
Kesibukan mek di dapur banyak ternampak nampak pada layar minda. Makan nasi berlauk, sup ayam kampung, kuih muih itu semua seakan akan baru semalam. Mek bangun awal menyediakan kuih muih jualan. Menemani mek berjualan butir nangka, bubur yang ditambah pulut. Berpagi membantu mek di kedai makan. Usai di dewasa mek selalu datang apabila bersalin anak pertama. Berpantang dijaga mek anak ke dua dan ke tiga.
Sehinggalah tidak lagi kedengaran suara mek sejak 7 tahun yang lalu.
Ya Allah kasihanilah arwah, ampuni arwah, permudahkan urusan arwah di sana. Rehatlah arwah mek di syurga mu Ya Allah.
Al fatihah buat Rakiah Daud.
Saya akan sentiasa bermohon kepada-Nya, agar arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga kita semua dipanjangkan usia untuk terus berbakti kepada kedua orang tua.



Wednesday, May 10, 2017

Lambaian Ramadhan

1749
Persiapan awal agar lebih tenang

Teks: Masayu Ahmad

Kita berada di awal ambang bulan Ramadhan, tentunya antara bulan bulan sibuk untuk para suri. Sibuk dengan jadual masak untuk bulan puasa. Sibuk juga persiapan lebih awal untuk kedatangan Syawal.
Bukan sebab sibuk mahu beraya awal tetapi persediaan sangat penting terutama bagi mak mak yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
Kalau seminggu raya baru mahu cari persiapan maka memang penat dan terkapai kapai di penghujung hari. Merancang lebih awal memudahkan dan lebih bertenang tenang dalam sepanjang Ramadhan.
Selalunya kami di sini gembira menyambut Ramadhan, rumah dibersihkan dan dihias cantik. Jika boleh siap siaga dengan pakaian ibadah yang lebih selesa. Tentu sekali ia hanya sebulan sepanjang tahun. Kemeriahan kami di sini tidak dinafikan.
Bagi saya mak yang memiliki anak anak yang ramai berganda ganda persediaan emosi dan fizikal. Layanan pada anak anak yang tidak berpuasa tentunya tidak sama layanan anak anak yang berpuasa.
Emosi perlu kekal bertenaga, anak anak kecil usia Ammar dan Amni tidak akan mengerti apa apa kerana tentunya berpuasa bukan syarat buat mereka. Makan, minum masih diteruskan. Arissa usia tujuh tahun saya kira paling mencabar. Kerana waktu persekolahan biasa usia balik sekolah sangat letih. Suka menangis dan merengek rengek apabila sudah berada di depan rumah. Letih, lapar dan cuaca panas. Hakim, Arif dan Aiman tidak ada masalah kerana sudah biasa berpuasa sebulan. Cuma kali ini mereka juga perlu tingkatkan ketahanan kerana cuaca sekarang agak panas.
Berbalik kepada persediaan awal. Saya masih teringat ketika mempunyai tiga terawal anak. Memang berderet setiap tahun. Masih muda jadi selalunya tidak pandai lagi mengurus dan merancang.
Ada satu ketika ketika Hakim, Arif dan Aiman dalam lingkungan usia 5 tahun ke bawah. 2 minggu sebelum raya kami mencari kelengkapan. Jadi bawa semua sekali. Aduhai aduhai memang kelam kabut dibuatnya. Seorang lari sana seorang lari sini, seorang lagi di dalam troli. Ketika baru mula membelek dan memilih, seorang sudah lapar susu, seorang sudah berak. Jadi uruskan lagi. Baru mula semula jelajah, ada pula yang menangis kelaparan. Sudahnya sudah separuh hari satu helai pun belum dapat.
Hari yang lain kami merancang lebih awal, semua anak anak dan en.suami berada di dalam kereta, hanya saya keluar dan memilih dengan pantas. Usai selesai, suami membawa anak anak masuk dan mencuba pakaian serentak. Jadi ia berjaya. Balik rumah badan sudah keletihan untuk memasak. Masak yang ringkas sahaja.
Begitu pula tahun berikutnya. Kami mengambil cuti khusus untuk membeli pada hari bukan cuti umum atau cuti hujung minggu. Bawa contoh pakaian untuk ukuran. Ia lebih jimat masa dan tenaga.
Tahun tahun seterusnya ternyata ia lebih mudah dengan merancang, membeli, memilih dan menjelajah. Jadi semua persiapan awal sebulan dan boleh bertenang tenang menikmati Ramadhan. Emak kita dulu dulu sangat mudah, pakaian raya hanya sepasang atau dua pasang sahaja. Kalau kini dengan tema warna dan juga berpasang pasang untuk seorang anak, sungguh menjadikan ia lebih kompleks.

Pilih dan rancang. Saya teringatkan seorang teman berkongsi bahawa persiapan untuk raya memang banyak tetapi baju baju itulah akan digunakan sepanjang tahun. Alang alang membeli beli pada harga murah dan jadikan ia sebagai rutin pada tempoh yang sama setiap tahun. Pilihan yang paling jimat adalah beli ketika jualan akhir tahun dan simpan siap siap. Ia bukan sebab kita sakan mahu beraya tetapi kita sakan menyusun masa dengan lebih berkualiti. Bertenang tenang ketika bulan Ramadhan adalah lebih baik berbanding bersesak sesak dalam keletihan.

Thursday, May 4, 2017

Lensa memori

Teks: Masayu Ahmad

Bunyi deringan telefon, bunyi loceng tamat sesi persekolahan, bunyi siren asrama panggilan sarapan pagi, tengahari, petang dan malam. Masa lalu sangat indah. Indah kerana kita tidak ada tanggungjawab. Merai setiap hari dengan ilmu dan dunia bersama kawan-kawan. Indah bercerita, berkongsi suka duka ketika usia masih mendaki alam persekeolahan.
"Saya suka jadi dewasa, nanti ada duit banyak."
"Tak payah jadi dewasa cepat sangat, nanti Aiman rindu mahu jadi kanak-kanak semula." Nasihat ibu.
Aiman sekarang menikmati hari-hari gembira. Apabila pulang bercerita tentang Ikhwan. Tengahari berkongsi makan bersama teman rapat.
"Saya jimat ibu, tengahari Ikhwan bagi saya nasi. Kami makan sama-sama. Lepas tu dapat air susu percuma."
Itulah cerita Aiman setiap kali pulang dari sekolah.
"Ibu, nanti Ikhwan ajak pergi memancing tepi parit."
"Bahaya, ajak Ikhwan datang ke rumah main bola sama-sama."
"Tak boleh ibu, sebab dia perlu melintas jalan besar.
Saya tahu seronoknya Aiman mempunyai teman bernama rakan karib.
"Ibu tadi Aiman lambat, saya perlu cari dia merata. Ada dalam kelas bersembang dengan Ikhwan." Lapor Arif.

Begitu hari-hari Aiman, setiap kali masa pulang hilang berdesup usai solat berjemaah zuhur. Menghilang bersama Ikhwan sekitar sekolah. Selalunya menemani Ikhwan bersalin pakaian untuk sesi taekwondo.
Ibu menjelajah jauh cerita tentang hari sekolah. Usai pulang sekolah berbondong dengan rakan rakan. Balik berjalan kaki. Singgah kedai pertama beli keropok lekor dan air sirap. Sirap merah dalam jabir plastik. Cukup wang dua puluh sen.
Sesekali masuk semak atau hutan kecil kutip buah cenerai. Memang hitam hujung poket baju. Kami cari berjemaah bersama kawan-kawan ibu Hasni, Sayani. Inilah kawan sekolah ibu.
Kadangkala usai mengambil wang jualan di kantin sekolah, ada berbaki karipap. Kami makan sama-sama dalam perjalanan pulang.
Kadangkala usai sampai waktu kami berpecah, kami duduk-duduk dahulu sambil menghabiskan keropok lekor dan sirap. Kadangkala sebungkus 'sekut kapal terbang' bewarna merah, 20 sen sahaja penuh kelongsong pembalut surat khabar.
Itulah lensa kenangan. Ia menyapa tatkala melihat Aiman membesar. Jangan cepat sangat besar rai setiap keriangan bersama teman-teman seperjuangan.
Berbaki beberapa minggu sahaja lagi bulan Ramadhan akan berkunjung tiba. Ini kali ke dua Ramadhan tanpa ayah dan ibu mertua.
Semenjak kehilangan mertua Disember 2015, masa saya rasakan begitu pantas mengejar. Ketika itu hamil 2 bulan. Usai selamat pengebumian, saya ambil masa untuk bertenang dan berehat. Satu bilik barang arwah saya kemas dan saya letak satu sudut. Masih lagi di dalam bungkusan. Kemudian selepas habis berpantang barulah ada tenaga menyelesaikan lagi. Kemas semula bilik arwah ma. 
Ramadhan kali ini menyambung memori lama. Berpuasa dan sama sama meriah ketika saat berbuka. Usai dinihari mertua bangun untuk memasak sahur. Biasanya membuat giliran. Hari ini saya memasak esoknya beliau.
Kadangkala ketika memasak saya seakan terbayang seseorang sedang berada di tikar sembahyang merenung. Sekilas terpandang tidak ada orang. Barangkali kebiasaan dulu dan kemudiannya seperti hadir menemani.
Kenangan lalu tidak dapat kita ulang. Ia akan berlalu dan melayar di fikiran. Manisnya kerana merai kenangan dengan kesyukuran. Bersyukur kerana ada ruang masa untuk bersama anak anak. Bersyukur kerana sempat berkhidmat pada tersayang. Namun ia akan berlalu pergi, usia kita akan terus bergerak ke hadapan.
Mungkin hari ini kita ada anak anak untuk didakap erat, orang tua untuk disantuni. Esok hari kita tidak akan tahu apa yang bakal berlalu. Doa dan pandang ke hadapan agar kita mampu melakar kasih saying dan menebar memori yang baik untuk orang orang tersayang.

Salam kasih saying. Belum terlambat untuk memahat memori kebaikan.