Tuesday, February 21, 2017

Inspirasi Bkrja Di Rumah

Assalammualaikum Kak Mas, 


Saya tak pernah terfikir untuk berhenti kerja makan gaji dalam masa sesingkat ini. Saya berhenti kerja pun secara mengejut. Cuma bagi 2 minggu notis dekat majikan. Disebabkan keadaan kesihatan anak saya yang kurang baik sejak kebelakangan ini, saya dan suami fikir ini saja jalan yang terbaik untuk kami. Saya ingin menjaga anak saya sendiri di rumah. 

Tanpa persediaan yang rapi dari segi mental & fizikal memang sesuatu yang mencabar untuk saya. Tambahan pulak, masih ada hutang yang saya perlu lunaskan setiap bulan. Dalam keadaan drastik berhenti tanpa apapun persiapan yang saya buat, memang rasa takut dan bimbang tu sentiasa ada. Walaupun saya ada "business part time" tapi saya jadi kurang yakin sebab hasil keuntungan daripada perniagaan itu  tak banyak mana. Mungkin kerana saya juga kurang serius semasa menjalankan perniagaan ini secara sambilan dulu. Bebekalkan duit simpanan yang ada, saya nekad dengan keputusan saya. Bagi saya, anak lagi penting dari segala yang saya ada di dunia ini. Duit boleh cari, tetapi anak tak mungkin ada galang ganti.

Sana sini saya "google" nak cari inspirasi dari pengalaman ibu-ibu yang pernah berhenti kerja makan gaji. Ada. Tapi tak banyak. Saya perlukan lebih lagi. Saya mahukan motivasi dan inspirasi dari mereka yang pernah lalui apa yang saya terpaksa lalui sekarang ni. Kata orang, hanya orang yang dah pernah lalui sahaja yang akan faham perasaan kita. Saya diperkenalkan dengan e-book ni oleh Puan Amalina Rohaizad. Dari beliau jugakla saya kenal Puan Masayu Ahmad, penulis buku ini. Saya rasa e-book ni sebagai pertolongan Allah SWT kepada saya. Saat saya dihantui rasa takut, gusar dan bimbang, e-book ni ibarat "ubat" untuk mengubati kegusaran hati saya.

Review e-book Inspirasi Bekerja Dari Rumah 

Selepas saya membaca e-book ni, saya boleh kembali bertenang dari rasa takut dan risau. Saya jadi lebih bersemangat dan positif untuk bekerja sendiri. e-book ni sarat dengan perkongsian pengalaman ibu-ibu yang memilih untuk bekerja dari rumah. Bagaimana mereka bermula, apa persediaan yang mereka buat, dari mana mereka mengumpul modal, bagaimana mereka mengembangkan perniagaan mereka sehingga dikenali ramai. Mereka jugak turut berkongsi apakah ujian dan cabaran yang terpaksa mereka lalui sepanjang bekerja di rumah. 

Setiap dari mereka ada ujian dan halangan yang terpaksa mereka lalui. Tapi yang paling penting, saya kagum dengan semangat mereka. Walaupun ada yang pernah jatuh dan gagal berkali-kali, mereka tetap bangkit melawan cabaran. Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup mereka.  Dalam.e-book ni juga ada dikongsikan bagaimana mereka membahagikan masa antara pekerjaan dan hal ehwal rumah tangga. Bagaimana mereka mengurus masa dengan baik. Setelah tamat membaca e-book ni, saya dapat simpulkan bahawa semua orang mampu menjana pendapatan dari rumah. Bukan soal modal atau kemahiran yang perlu ada sebelum memulakan sesuatu kerja, tetapi semangat dan usaha yang harus jadi fokus utama.e-book ini benar-benar membuka mata saya bahawa wanita yang bekerja dari rumah juga mampu meraih pendapatan lumayan. Berada di rumah, bukan saja kita dapat melihat anak membesar di hadapan mata, tapi kita juga boleh membantu meningkatkan lagi pendapatan keluarga. 

Saya sangat tertarik tentang perkongsian Puan Mazlina Omar yang merupakan usahawan tuisyen. Beliau ada berkongsi tentang program infak yang beliau jalankan dengan suami dalam membantu anak-anak mengikuti kelas spoken English dengan kadar yuran yang sangat rendah. Program itu sudah pasti  menjadi "saham akhirat" yang tinggi pahalanya buat mereka berdua. Dari perkongsian ini juga buat saya terfikir bahawa berada di rumah bukan bermakna kita tidak boleh menyumbang "sesuatu" kepada masyarakat yang boleh menjadi saham pahala kita di akhirat kelak. Kalau kita tak mampu sedekahkan harta, kita masih mampu memperoleh pahala dengan berkongsi kemahiran dan ilmu yang kita ada dengan orang lain.

e-book inspirasi bekerja dari rumah bukanlah sekadar kisah tentang pengalaman ibu-ibu ini dalam menjana duit dari rumah, tapi turut dikongsikan ketekunan dan usaha mereka  membantu dan memudahkan urusan orang lain dengan kemahiran dan perniagaan yang mereka ada. Saya kagum dengan idea kreatif mereka dalam memilih perniagaan atau perkhidmatan yang mereka ingin jalankan. e-book ni sangat memberi inspirasi kepada mereka yang perlukan suntikan semangat untuk memulakan kerja dari rumah seperti saya. Pengalaman orang lain dapat membuka mata kita untuk lebih yakin dan sentiasa berfikiran positif untuk memulakan langkah pertama. Kalau mereka boleh, kita pun boleh! Kita tidak perlu takut untuk gagal tetapi kita harus takut jika kita tidak pernah berusaha untuk mencuba. Perkongsian ibu-ibu dalam e-book ini juga mengetengahkan tentang konsep rezeki Allah swt itu sangat luas. Tidak kiralah di mana kita memilih untuk bekerja. asalkan kita yakin dengan apa kita buat, sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan Allah SWT dan sesama manusia, in Sha Allah rezeki itu sentiasa ada. Yakinlah!

Review e-book Yeay Mama sudah 'Resign'! 

e-book  "Mama sudah Resign" mempunyai pelbagai cerita pengalaman ibu-ibu yang memilih untuk 'resign' dan bekerja dari rumah. Mereka bercerita tentang perasaan dan masalah yang mereka hadapi sepanjang bekerja di pejabat dan perkara yang membuatkan mereka nekad mengambil keputusan untuk berhenti. Boleh dikatakan apa yang mereka kongsi dan alami sepanjang bekerja makan gaji banyak persamaan dengan apa yang saya rasa sekarang ini. Antara faktor ibu-ibu ini berhenti kerja makan gaji adalah kerana  kekangan masa, tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dan suami, dan naluri seorang ibu yang ingin sentiasa merasa ingin dekat dengan anaknya. e-book ini lebih kepada penekanan tentang emosi dan naluri seorang ibu yang ingin berada dekat dengan keluarga tetapi terpaksa keluar mencari rezeki di luar. Akhirnya mereka memilih untuk "resign" walaupun kebanyakan daripada mereka memiliki kerjaya tetap dengan gaji lumayan. 

Mereka juga turut berkongsi tentang pengalaman mereka dalam membuat persediaan sebelum berhenti kerja termasuklah persediaan dari segi kewangan dan perancangan lain selepas mereka "resign" kelak. Ada juga yang telah menjalankan perniagaan secara sambilan sebelum berhenti kerja. Apa yang penting bila memilih untuk berhenti kerja, kita harus bijak dalam "merancang". Para ibu juga perlukan persediaan yang rapi dari segi emosi dan mental. Bagaimana untuk menghadapi tekanan dan pandangan negatif orang sekeliling apabila memilih untuk berhenti kerja. Tidak semua orang termasuklah keluarga yang boleh menerima secara positif bila kita memilih untuk bekerja sendiri. Mereka masih berangapan yang bekerja sendiri tiada jaminan dari segi kerjaya berbanding mereka yang makan gaji. Kita harus bijak dalam menangani isu ini dengan tenang. 

Dalam e-book ini juga ada disediakan satu bahagian Q&A (soal & jawab). Semua persoalan yang ada di minda  saya tentang berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri ada dalam bahagiaan ini. Apa persediaan yang saya perlu buat, apakah cabaran yang bakal saya hadapi, bagaimana saya harus menguruskan masa dengan baik, bagaimana untuk mempromosikan perniagaan saya agar dikenali ramai dan pelbagai lagi tips dan panduan yang sangat bermanfaat untuk saya sebelum memulakan perniagaan dari rumah ini.

Perkongsian ibu-ibu yang pernah bekerja dan kemudian berhenti terasa dekat dengan saya. Kata-kata nasihat dan tips yang mereka berikan buatkan saya semakin yakin dengan keputusan yang saya buat. Saya rasa sangat bermotivasi selepas membaca penglaman ibu-ibu dalam e-book ini. Saya berazam untuk mengikuti jejak langkah mereka suatu hari nanti. 

Terima kasih Puan Masayu kerena munulis e-book hebat ini. Perkongsian pengalaman ibu-ibu ini sangat membantu saya dalam memulakan langkah untuk bekerja dari rumah di samping memberi sepenuh tumpuan kepada anak kesayangan saya. Semoga Allah SWT merahmati segala usaha Puan untuk membantu kami dalam mendapatkan inspirasi untuk bekerja sendiri. 


Yang Ikhlas,

Nor Fahimah Mohd Mahayuddin 

No comments:

Post a Comment