Teks: Masayu Ahmad
Ibu bila ibu mahu masak
sarapan pagi? Sudah lama kami tidak bawa bekal. Minta Arif pada suatu petang.
Begitulah selalunya apabila mereka mula teringat ingat akan masakan pagi ibu.
Ketika rajin dan ruang masa di puncak berpagi menyediakan bekal anak anak
sekolah. Jika tidak, hanya berbekalkan roti untuk alas pagi.
Datang pula Aiman
mengadu untuk bawa bekal lebih banyak.
Ibu, ibu letak nasi
banyak sikit ya.
Kenapa?
Kawan kawan mahu beli,
berapa harga?
RM2 sebungkus sudahlah.
Tak apalah Aiman makan
sahajalah dengan Ikhwan.
Tetapi ramai makan
sama. Saya tak kenyang.
Makan ramai ramai kan
seronok. Balik sekolah nanti makan sampai kenyang.
Apabila berbual dengan
Aiman terus melintas kenangan saya ketika usia mereka. Tak apalah Aiman tak
perlu menjual dahulu. Berkongsi dan belajar memberi. Makan berjemaah lebih
menyeronokkan. Apa yang kita makan dan kawan dapat rasa bukan sahaja belajar
berkongsi malah lebih mengeratkan persahabatan.
Ternyata apabila jadual
mula rancak berselang pula mahu masak pagi. Idea paling bernas adalah membuat
senarai menu. Nasi berlauk untuk hari Ahad, nasi lemak hari Isnin, nasi ayam
goreng kicap hari Selasa dan hari hari seterusnya. Ibu selalu berharap untuk
konsisten memasak pagi. Namun kadangkala gagal juga. Moga masakan ini
meninggalkan manis buat kalian. Masakan ini mengingatkan kelak sedapnya masakan
ibu tak ada siapa boleh lawan. Semua orang pun mengatakan masakan ibu mereka
adalah terbaik. Moga kelak apabila ibu
sudah tidak ada inilah salah satu kenangan yang ditinggalkan
Ketika di sekolah
rendah tugas rutin letak karipap arwah nenek di kantin sekolah. Usai balik
sekolah, singgah lagi ke kantin kemudian jika ada baki makan bersama kawan
kawan sambil berjalan kaki.
Aroma pagi wangi dari dapur seawal jam lima
pagi antara memori paling melekat sehingga kini. Arwah mek (panggilan ibu di
Kelantan) sudah pun siap panaskan lauk. Bungkus dengan kertas yang dilapik
dengan alas plastik. Kadangkala nasi berlauk, bihun goreng atau nasi goreng.
Sungguh sedap makan di bawah pokok bersama rakan rakan yang membawa bekal.
Ketika menginjak ke
sekolah menengah Mek mengusahakan kedai makan sebelah rumah. Maka apabila jam
empat atau lima pagi macam macam bau. Ayam goreng, nasi lemak, nasi berlauk
juga nasi kerabu. Dalam kesejukan dinihari aroma semerbak sudah mampu membuatkan
mata tidak lagi mengantuk. Ia jam semulajadi. Ketika seusia anak-anak sarapan
pagi agak mewah dengan menu nasi untuk sarapan pagi. Deretan kuih muih, malah
ketika itu harga kuih cukup murah. RM1 dapat lima atau enam biji. Besar dan
sedap pula. Semuanya adalah hasil usaha suri yang membuat kuih dan letak kuih
di kedai kedai. Kedai kami antara yang popular kerana mempunyai menu nasi dan
juga banyak pilihan kuih.
Saya pula sudah biasa
membantu mek di kedai. Sebelum ke sekolah membungkus nasi dan melayan pelanggan
awal pagi. Juga membawa beberapa bungkus pesanan rakan rakan sekolah. Biasanya berjumlah RM5, memang sangat
lumayan. Jual dapat upah dapat bekal juga dapat.
Tidak ada beza surirumah moden mahupun tradisional, ceruk
dapur adalah salah satu kebahagian yang boleh dicipta. Masakan biasa tetap enak
apabila dijamah anak-anak. Masakan biasa yang dimasak dengan sentuhan kasih sayang
membangkitkan rasa luar biasa. Sayang yang berpanjangan sehinggalah apabila
hayat dikandung tanah ia melakar memori dalam kotak fikiran anak-anak.
Tinggalkan sentuhan kasih sayang jadilah surirumah moden yang masih mengekalkan
sentuhan tradisi.
No comments:
Post a Comment