Thursday, March 30, 2017

Kerinduan pada yang tiada

Teks: Masayu Ahmad

Redup pagi. Angin sejuk menyapa, bugar sekali. Lafaz syukur atas segala nikmat hingga ke hari ini.  Setiap kali tiba hujung minggu kesibukan rutin mula mereda. Setiap petang Khamis cuba mencuri masa mengambil masa rehat. Hari cuti Jumaat dan Sabtu adalah hari keluarga kerana pada masa inilah semua anak anak berada di rumah.
Jumaat mengambil kesempatan bersama en.suami ke pasar pagi. Kiranya hari menikmati hujung minggu bersama. Rutin ini beberapa tahun sudah adalah rutin arwah emak mertua. Setiap pagi Jumaat bersama raga akan ke pasar pagi. Kini ia sudah berubah, saya pula seolah mengambil alih tugas.
Cuti begini ada yang mengambil kesempatan untuk menjenguk orang tua yang jauh. Jauh di mata terkenang-kenang memori. Ketika hijrah pulang ke kampung enam tahun lalu, kami mengambil peluang menjaga dua orang tua. Kini, seakan akan terkenang memori ketika mereka masih ada. Tentang rutin dan masakan. Sudah tentu masakan adalah antara perkara paling melekat dalam ingatan. Sup tulang dan tempoyak patin menu kesukaan arwah bapa mertua, manakala kerabu perut dan sayur lemak adalah kegemaran arwah mertua.
Ada sahabat yang meminta pandangan bagaimana kita orang yang jauh ini menyantuni orang tua. Selain doa yang tidak putus. Tentu ada lagi perkara yang kita mahu buat, tetapi ada keterbatasan masa dan kesempatan. Apabila ada orang menjaga ayah dan ibu di kampung lalu bagaimana pula kita mahu menambah khidmat. Ini sekadar pandangan dan pengalamana. Saya, mujurnya mempunyai ipar dan biras yang baik-baik
Apabila balik mereka berbondong-bondong membawa buah tangan. Selalunya kerana kita faham emak yang sudah semakin uzur. Tidak lagi boleh memasak, seperti selalu sebab kita mahu mereka masak. Tetapi sekiranya uzur benar kitalah yang memulai.
Apabila jarang balik, sangat mahu merasai masakan ibu, emak dan sebagainya. Akan tetapi sekiranya keterbatasan kudrat emak atau nenek. Maka tidak perlu lagi memberitahu mahu makan itu dan itu, rindu masakan itu dan ini. Cukup sekadar menyatakan mahu pulang. Semoleknya jangan beritahu teringin makan.
 Kita boleh bawa masakan yang sudah siap dan makan beramai-raaai. Boleh nyatakan ibu, mak mahu makan apa. Kita yang membeli barang-barang basah dan gotong royong, bukan masak kegemaran sendiri sebaliknya tanya apa mak, ayah, tok abah, tok ayah mahu makan. Sudah petik kegembiraan awal untuk dirai.
Berterima kasih kepada kakak, adik, ipar yang menjaga orang tua. Bagaimana? Sesekali balik buat gotong royong membersikan rumah. Sesekali balik peluk dan ucap terima kasih. Ini juga satu sokongan emosi dan kasih sayang. Menambah rasa utuh kekeluargaan.
Selalu memberikan sokongan kewangan setiap bulan tanpa perlu ditanya-tanya. Beri secara konsisten. Waima ibu bapa sudah kaya raya, menghulurkan setiap kali balik, menjadikan ia ingatan tulus. Sebaiknya sebelum turun bersihkan rumah, tempat tidur. Sebabnya ia juga satu lagi sokongan emosi dan perasaan. Bertamu dengan kasih sayang untuk memudahkan. Memudahkan urusan adalah satu lagi meninggalkan kesan pada isi rumah yang ditinggalkan. Jadilah tetamu yang penuh sentuhan ihsan. Bukan sekadar balik dan melepaskan bebanan.

Dengar dan berbicara dengan orang tua. Mereka sangat mahu berkongsi dan bercerita kenangan silam. Ia terapi. Walaunya kisahnya diulang-ulang, Kita juga akan berada di tempat yang sama satu hari nanti jika umur panjang.
Kita juga kelak bakal tua dan menikmati hari hari penghujung usia. Berikan sentuhan emosi yang terkesan. Penuhi rasa empati, tidak lagi berkongsi kisah sedih, penat, kecewa, tetapi penuhkan rasa sayang dengan pelukan dan sentuhan. Baki hari tua adalah masa yang perlu diisi dengan sokongan adik beradik, ipar duai dengan berlumba lumba memberi khidmat.


Wednesday, March 29, 2017

Asas asuhan bermula di rumah


Wah sedapnya bau.
Berlari lari ke dapur..
Saya letih ibu.
Ibu boleh masakkan untuk kami.
Itu sahaja ayat yang keluar apabila anak anak baru sampai ke rumah. Giliran pertama Arissa jam 1.45. Giliran kedua Hakim jam 3.30. Rombongan ketiga adalah Arif dan Aiman akan sampai jam 5.30 petang. Jemaah tetap yang sentiasa berada di sekitar ibu 24 jam setiap hari Ammar dan Amni, akan membunyikan siren lapar, mahu makan, mahu perhatian tidak kira masa.
Sebagaimana mereka keluar rumah awal pagi dengan tenaga dan emosi yang positif atau sebaliknya. Apa hidangan pagi? Sama ada mereka diransang dengan pelukan dan hidangan pagi yang penuh harmoni. Atau suasana kelam kabut kerana semuanya mahu cepat.
Ibu kerja skolah saya belum siap. Tangisan pagi akan bermuala. Atau anak anak yang lebih manja. Arissa salah sorang , bangun pagi memang penuh drama. Perlu dilayan kehendak satu persatu. Buku sekolah perlu dipantau jadual, pakaian perlu disediakan rambut disikat, sehinggalah memastikan kasut sudah dipakai. Berbeza tiga anak sebelumnya sangat berdikari tanpa perlu saya pantau satu persatu. Mereka bolehmenguruskan segalanya sendiri. Hanya tunggu dipintu dan sudah sedia ke sekolah.
Drama selepas balik sekolah lebih mudah. Mereka sudah kepenatan dan mahu rehat sahaja. Menikmati miuman kemudian makan, bersambung tidur sebentar . Pada waktu petang akan dilepaskan untuk bermain sepuas puasnya.
Jauh berbeza jika dibandingkan kita ketika usia mereka. Apabila pulang ke rumah, makan dan keluar bermain sehingga petang. Anak anak generasi kini  bermain di sekitar rumah dan tidak bebas keluar tanpa pengawasan.
Ingatan kita semasa usia mereka adalah hidangan mak yang sedap, bermain hingga puas dan damainnya kasih sayang kluarga.Tidak ada sebarang gajet, permainan interaktif yang melalaikan, hiburan yang dipertontonkan mlalui televisyen mahupun internet. Masa berubah, dan tingkahlaku manusia juga terbentuk oleh desakanekonomi juga pengaruh sekitar yang begitu mencengkam. Perubahan milikan material juga salah satu budaya yang menyebabkan masing masing berlumba lumba. Nilai nila murni semakin mengikis. Jadi, segalanya kembali kepada asas asuhan di rumah. Mendidik dan membesarkan anak anak tidak mudah di zaman bebas gajet
 Masa dan perubahan mungkin berlaku, namun kita boleh meninggalkan momen yang sama buat anak anak. Mereka bukan robot, tetapi generasi yang mendepani cabaran maha hebat yang bakal kita tinggalkan. Sesuatu masih boleh  diperbetulkan dari awal. Kitalah suri, ibu, mama, umi yang kukal menangani cabaran ini dengan panduan agama dan asuhan nilai nilai kesederhanaan. Agar anak anak gmbira di rumah dan masih boleh mengekalkan santunan kasih sayang ini shingga mereka bergelar ibu bapa pula.
Kerja kerja surirumah sebenarnya sangat menyeronokkan. Masakan tidak, sktiap hari kita bangkit dan bersemangat untuk melakukan yang terbaik untuk ahli ahli syurga. Waima akan ada kekurangan di sana sini. Bermula sebelum subuh hinggalah mula merebahkan badan di tilam empuk. Setiap hari kita bangkit lagi untuk berjuang. Sesekali apabila sudah terlalu penat dan keletihan, berehatlah seketika. Lari tinggalkan rutin sehari dalam sminggu juga ok.
Ini akan memberi tenaga baru dalam diri. Waima kita hanya surirumah, juga memerlukan suntikan semangat, keceriaan, motivasi dan juga hala tuju yang jelas.
Kita mahu masakan yang terbaik dan sedap. Mahu menyediakan ruang rumah yang kemas dan teratur. Mahu anak anak dapat belajar dan fokus di sekolah. Mahu anak anak mampun menjadi anak anak yang soleh.
Itu semua bukan satu kerja yang mudah. Selain diri sendiri perlu melengkapi dengan ilmu yang secukupnya. Peranan suami juga sangat penting sebagai sahabat, rakan seperjuangan dalam melayari rumah tangga.

Surirumah tradisional vs suri moden



Teks: Masayu Ahmad
Ibu bila ibu mahu masak sarapan pagi? Sudah lama kami tidak bawa bekal. Minta Arif pada suatu petang. Begitulah selalunya apabila mereka mula teringat ingat akan masakan pagi ibu. Ketika rajin dan ruang masa di puncak berpagi menyediakan bekal anak anak sekolah. Jika tidak, hanya berbekalkan roti untuk alas pagi.
Datang pula Aiman mengadu untuk bawa bekal lebih banyak.
Ibu, ibu letak nasi banyak sikit ya.
Kenapa?
Kawan kawan mahu beli, berapa harga?
RM2 sebungkus sudahlah.
Tak apalah Aiman makan sahajalah dengan Ikhwan.
Tetapi ramai makan sama. Saya tak kenyang.
Makan ramai ramai kan seronok. Balik sekolah nanti makan sampai kenyang.
Apabila berbual dengan Aiman terus melintas kenangan saya ketika usia mereka. Tak apalah Aiman tak perlu menjual dahulu. Berkongsi dan belajar memberi. Makan berjemaah lebih menyeronokkan. Apa yang kita makan dan kawan dapat rasa bukan sahaja belajar berkongsi malah lebih mengeratkan persahabatan.
Ternyata apabila jadual mula rancak berselang pula mahu masak pagi. Idea paling bernas adalah membuat senarai menu. Nasi berlauk untuk hari Ahad, nasi lemak hari Isnin, nasi ayam goreng kicap hari Selasa dan hari hari seterusnya. Ibu selalu berharap untuk konsisten memasak pagi. Namun kadangkala gagal juga. Moga masakan ini meninggalkan manis buat kalian. Masakan ini mengingatkan kelak sedapnya masakan ibu tak ada siapa boleh lawan. Semua orang pun mengatakan masakan ibu mereka adalah terbaik. Moga  kelak apabila ibu sudah tidak ada inilah salah satu kenangan yang ditinggalkan
Ketika di sekolah rendah tugas rutin letak karipap arwah nenek di kantin sekolah. Usai balik sekolah, singgah lagi ke kantin kemudian jika ada baki makan bersama kawan kawan sambil berjalan kaki.
 Aroma pagi wangi dari dapur seawal jam lima pagi antara memori paling melekat sehingga kini. Arwah mek (panggilan ibu di Kelantan) sudah pun siap panaskan lauk. Bungkus dengan kertas yang dilapik dengan alas plastik. Kadangkala nasi berlauk, bihun goreng atau nasi goreng. Sungguh sedap makan di bawah pokok bersama rakan rakan yang membawa bekal.
Ketika menginjak ke sekolah menengah Mek mengusahakan kedai makan sebelah rumah. Maka apabila jam empat atau lima pagi macam macam bau. Ayam goreng, nasi lemak, nasi berlauk juga nasi kerabu. Dalam kesejukan dinihari aroma semerbak sudah mampu membuatkan mata tidak lagi mengantuk. Ia jam semulajadi. Ketika seusia anak-anak sarapan pagi agak mewah dengan menu nasi untuk sarapan pagi. Deretan kuih muih, malah ketika itu harga kuih cukup murah. RM1 dapat lima atau enam biji. Besar dan sedap pula. Semuanya adalah hasil usaha suri yang membuat kuih dan letak kuih di kedai kedai. Kedai kami antara yang popular kerana mempunyai menu nasi dan juga banyak pilihan kuih.
Saya pula sudah biasa membantu mek di kedai. Sebelum ke sekolah membungkus nasi dan melayan pelanggan awal pagi. Juga membawa beberapa bungkus pesanan rakan rakan sekolah.  Biasanya berjumlah RM5, memang sangat lumayan. Jual dapat upah dapat bekal juga dapat.
            Tidak ada beza surirumah moden mahupun tradisional, ceruk dapur adalah salah satu kebahagian yang boleh dicipta. Masakan biasa tetap enak apabila dijamah anak-anak. Masakan biasa yang dimasak dengan sentuhan kasih sayang membangkitkan rasa luar biasa. Sayang yang berpanjangan sehinggalah apabila hayat dikandung tanah ia melakar memori dalam kotak fikiran anak-anak. Tinggalkan sentuhan kasih sayang jadilah surirumah moden yang masih mengekalkan sentuhan tradisi.

KIta bukan super mak!

Kita bukan super mak!
Teks; Masayu Ahmad
pn.masayu@gmail.com
www.masayuahmad.com

Penat ibu, saya penat.
Saya pandang wajah Arif penuh kasihan. Yalah penat. Jadi orang dewasa juga penat.
“Arif kena gembira. Masa nilah Arif mahu gembira.”
“Saya mahu jadi bayi ibu macam Amni. Lapar minta susu.”
Oh anakku masih jauh perjalanan kamu. Ibu suka dulu masa kecil. Bermain sahaja. Seronok dengan kawan kawan.
“Ibu cerita Tok Ayah bawa balik udang banyak dan segar, ibu rebus dan bawa satu periuk makan bersama kawan kawan.” Sampuk Aiman.
Pengulangan cerita masa lalu salah satu isyarat kita sedang menuju masa untuk berpindah alam. Kenangan menjadikan kita gembira.
Awal pagi dan petang adalah antara ruang masa untuk bercerita dengan anak-anak. Rutin pagi, ia antara kemuncak jam enam pagi sehingga jam tujuh. Saya kira ia adalah antara waktu puncak urusan mak mak di seluruh Malaysia mungkin juga seluruh dunia.
Permulaan hari kita berlumba lumba bersiap. Menyiapkan diri, suami, anak anak. Pada mak yang kekal bergelar surirumah apabila semua sudah beransur pergi. Boleh bernafas lega seketika sebelum sesi tengahari dan petang pula beransur datang.


Anak kini rutinnya tidak lagi sama dengan kita ketika usia kecil. Pulang dari sekolah terus campak beg. Pergi kelas mengaji, waktu petang bermain sampai penat. Pulang ke rumah selepas penat bermain atau sebelum azan berkumandang.
Anak-anak kini bermula awal pagi, bersambung pula kelas petang. Pulang sebentar bersambung lagi kelas quran malam hari. Pulang ke rumah selesaikan pula kerja sekolah, apabila ada masa lebih buat pula latih tubi pelajaran.
Kadangkala belum sempat siap sudah kedengaran dengkuran halus. Bukan sekadar anak anak, ibu juga penat. Mengurus rumah tangga, anak anak. Berselang masa mengusahakan sesuatu untuk keluarga. Bekerja dan mengusahakan lebih dua perkara itu lumrah biasa di zaman ini. Ada yang masih bekerja dan hujung minggu atau malam hari bersambung berjualan pula secara online.
Bukan sekadar itu si ayah juga sama, mengusahakan yang terbaik untuk keluarga. Waima ayah jarang bersuara dan tenang sahaja namun amanah yang dipikul bukanlah sedikit. Kita semua penat dan raih kepenatan itu dengan mengatakan ini adalah tanggungjawab, kerana peranan kita semua di sini dibawa bersama amanah.
Saling melengkapi
Berbincang kami dalam kumpulan mak mak yang bergelar surirumah. Berkongsi Puan bernama S, katanya dia meninggalkan sebentar anak anak untuk urusan kerja di luar rumah.
Apabila pulang seolah-olah bukan sahaja anak anak yang menjadikan rumah huru hara tetapi seperti suami juga menambah suasana yang ada. Menambah cerita pula seorang rakan, apabila suami ke luar kawasan beliau sendirian menjaga anak anak. Ketika melakukan satu urusan kerja anak anak pula ditinggalkan bersama ayah. Si ayah berkongsi bahawa penatnya menjaga anak-anak.
Pengalaman sendiri, apabila suami ada kerja di luar,saya perlu meningkatkan kapasiti tenaga. Ia tidak mudah melakukan seorang diri. Kerana indahnya alam rumah tangga adalah satu pasukan yang saling melengkapi. Bukan kerana kita hebat untuk bergelar super mak, tetapi ia tidak wujud pun dalam dunia realiti.
Wujud hanyalah toleransi suami isteri dan kerja berpasukan bersama anak anak. Walau banyakpun kita mendengar pandangan dan nasihat. Ia sangat berbeza keadaan realiti sebenar.
Mengurus seorang anak tidak sama dengan dua anak, sudah tentu mempunyai tiga anak kita boleh belajar dengan emak yang mempunyai lima atau enam orang anak.
Kita ibu muda boleh pula belajar dengan mak dan mertua. Melalui pemerhatian dan juga mendengar kisah kisah kejayaan ibu ibu idola. Kita bukan sekadar ingin menjadi idola buat anak anak, tetapi menjejaki ibu yang melahirkan anak anak yang sudah berjaya.

Friday, March 10, 2017

Kita hidup tumpang menumpang

Ketika perjalanan pulang terserempak di hentian rehat stesen minyak, seorang ibu muda mahu pulang ke kampung halaman. Bekerja sebagai jururawat desa nun jauh di pedalaman Gua Musang Kelantan. Jadi saya memberi izin agar beliau tumpang bersama, kerana arah haluan kebetulan sama. Saban minggu begitulah rutinnya pulang pada hujung minggu.

Sempat kami berkongsi kisah kehidupan. Beliau sebagai jururawat desa hanya seorang diri bertugas. Jadi seorang ibu tua mengajak menumpang bermalam sebagai teman. Jadi itulah rutinya saban minggu. Siang bertugas sebagai jururawat desa, malam menemani seorang ibu tua. Hujung  minggu pulang ke pangkuan keluarga. Beliau meronta kadangkala sedih kerana jauh dari keluarga.
Setiap kesusahan ada kesenangan hujungnya. Sabarlah mungkin ada peluang kelak untuk lebih dekat dengan keluarga. Berhenti kerja bukan jalannya. Mungkin tanggungjawabnya sekarang ini sangat penting untuk penduduk pedalaman. Tanggungjawab kepada masyarakat.

Sempat juga beliau bercerita jatuh ke sungai besar semasa bertugas. Sempat disambar rakan setugas. Kerana tergelincir ketika mahu naik ke sampan. Beliau jatuh dan naik semula ke permukaan kerana memakai jaket keselamatan. Itu adalah antara cabaran paling melekat dalam fikirannya. Sehingga kini beliau masih bertahan dan banyak iktibar dalam tuntutan tugas yang dilalui.

Peranan kita setiap hari bukan sekadar untuk diri sendiri. Kita saling tumpang menumpang untuk melengkapi. Sepanjang perjalanan banyak yang kami kongsikan. Walaupun perjalanan sebenarnya sekitar satu jam ia membawa lebih kepada dua jam kerana trafik pada puncak hujung minggu. Ramai yang berada di pedalaman pulang ke bandar. Walaupun sebentar dan kami hanya berkenalan tidak lebih dua jam. Namun perkongsian dan kisah menjadikan satu lagi ikhtibar yang mematangkan. Tidak kira siapa kita kini, surirumah, pekerja awam, swasta, usahawan mempunyai sisi kehidupan yang perlu kita raih kesyukuran. Moganya kita sekalian wanita bersedia dengan apa sahaja cabaran mendatang. Pada masa yang sama kekal utuh menyemai kasih sayang.