Wednesday, March 29, 2017

KIta bukan super mak!

Kita bukan super mak!
Teks; Masayu Ahmad
pn.masayu@gmail.com
www.masayuahmad.com

Penat ibu, saya penat.
Saya pandang wajah Arif penuh kasihan. Yalah penat. Jadi orang dewasa juga penat.
“Arif kena gembira. Masa nilah Arif mahu gembira.”
“Saya mahu jadi bayi ibu macam Amni. Lapar minta susu.”
Oh anakku masih jauh perjalanan kamu. Ibu suka dulu masa kecil. Bermain sahaja. Seronok dengan kawan kawan.
“Ibu cerita Tok Ayah bawa balik udang banyak dan segar, ibu rebus dan bawa satu periuk makan bersama kawan kawan.” Sampuk Aiman.
Pengulangan cerita masa lalu salah satu isyarat kita sedang menuju masa untuk berpindah alam. Kenangan menjadikan kita gembira.
Awal pagi dan petang adalah antara ruang masa untuk bercerita dengan anak-anak. Rutin pagi, ia antara kemuncak jam enam pagi sehingga jam tujuh. Saya kira ia adalah antara waktu puncak urusan mak mak di seluruh Malaysia mungkin juga seluruh dunia.
Permulaan hari kita berlumba lumba bersiap. Menyiapkan diri, suami, anak anak. Pada mak yang kekal bergelar surirumah apabila semua sudah beransur pergi. Boleh bernafas lega seketika sebelum sesi tengahari dan petang pula beransur datang.


Anak kini rutinnya tidak lagi sama dengan kita ketika usia kecil. Pulang dari sekolah terus campak beg. Pergi kelas mengaji, waktu petang bermain sampai penat. Pulang ke rumah selepas penat bermain atau sebelum azan berkumandang.
Anak-anak kini bermula awal pagi, bersambung pula kelas petang. Pulang sebentar bersambung lagi kelas quran malam hari. Pulang ke rumah selesaikan pula kerja sekolah, apabila ada masa lebih buat pula latih tubi pelajaran.
Kadangkala belum sempat siap sudah kedengaran dengkuran halus. Bukan sekadar anak anak, ibu juga penat. Mengurus rumah tangga, anak anak. Berselang masa mengusahakan sesuatu untuk keluarga. Bekerja dan mengusahakan lebih dua perkara itu lumrah biasa di zaman ini. Ada yang masih bekerja dan hujung minggu atau malam hari bersambung berjualan pula secara online.
Bukan sekadar itu si ayah juga sama, mengusahakan yang terbaik untuk keluarga. Waima ayah jarang bersuara dan tenang sahaja namun amanah yang dipikul bukanlah sedikit. Kita semua penat dan raih kepenatan itu dengan mengatakan ini adalah tanggungjawab, kerana peranan kita semua di sini dibawa bersama amanah.
Saling melengkapi
Berbincang kami dalam kumpulan mak mak yang bergelar surirumah. Berkongsi Puan bernama S, katanya dia meninggalkan sebentar anak anak untuk urusan kerja di luar rumah.
Apabila pulang seolah-olah bukan sahaja anak anak yang menjadikan rumah huru hara tetapi seperti suami juga menambah suasana yang ada. Menambah cerita pula seorang rakan, apabila suami ke luar kawasan beliau sendirian menjaga anak anak. Ketika melakukan satu urusan kerja anak anak pula ditinggalkan bersama ayah. Si ayah berkongsi bahawa penatnya menjaga anak-anak.
Pengalaman sendiri, apabila suami ada kerja di luar,saya perlu meningkatkan kapasiti tenaga. Ia tidak mudah melakukan seorang diri. Kerana indahnya alam rumah tangga adalah satu pasukan yang saling melengkapi. Bukan kerana kita hebat untuk bergelar super mak, tetapi ia tidak wujud pun dalam dunia realiti.
Wujud hanyalah toleransi suami isteri dan kerja berpasukan bersama anak anak. Walau banyakpun kita mendengar pandangan dan nasihat. Ia sangat berbeza keadaan realiti sebenar.
Mengurus seorang anak tidak sama dengan dua anak, sudah tentu mempunyai tiga anak kita boleh belajar dengan emak yang mempunyai lima atau enam orang anak.
Kita ibu muda boleh pula belajar dengan mak dan mertua. Melalui pemerhatian dan juga mendengar kisah kisah kejayaan ibu ibu idola. Kita bukan sekadar ingin menjadi idola buat anak anak, tetapi menjejaki ibu yang melahirkan anak anak yang sudah berjaya.

No comments:

Post a Comment