Friday, March 10, 2017

Kita hidup tumpang menumpang

Ketika perjalanan pulang terserempak di hentian rehat stesen minyak, seorang ibu muda mahu pulang ke kampung halaman. Bekerja sebagai jururawat desa nun jauh di pedalaman Gua Musang Kelantan. Jadi saya memberi izin agar beliau tumpang bersama, kerana arah haluan kebetulan sama. Saban minggu begitulah rutinnya pulang pada hujung minggu.

Sempat kami berkongsi kisah kehidupan. Beliau sebagai jururawat desa hanya seorang diri bertugas. Jadi seorang ibu tua mengajak menumpang bermalam sebagai teman. Jadi itulah rutinya saban minggu. Siang bertugas sebagai jururawat desa, malam menemani seorang ibu tua. Hujung  minggu pulang ke pangkuan keluarga. Beliau meronta kadangkala sedih kerana jauh dari keluarga.
Setiap kesusahan ada kesenangan hujungnya. Sabarlah mungkin ada peluang kelak untuk lebih dekat dengan keluarga. Berhenti kerja bukan jalannya. Mungkin tanggungjawabnya sekarang ini sangat penting untuk penduduk pedalaman. Tanggungjawab kepada masyarakat.

Sempat juga beliau bercerita jatuh ke sungai besar semasa bertugas. Sempat disambar rakan setugas. Kerana tergelincir ketika mahu naik ke sampan. Beliau jatuh dan naik semula ke permukaan kerana memakai jaket keselamatan. Itu adalah antara cabaran paling melekat dalam fikirannya. Sehingga kini beliau masih bertahan dan banyak iktibar dalam tuntutan tugas yang dilalui.

Peranan kita setiap hari bukan sekadar untuk diri sendiri. Kita saling tumpang menumpang untuk melengkapi. Sepanjang perjalanan banyak yang kami kongsikan. Walaupun perjalanan sebenarnya sekitar satu jam ia membawa lebih kepada dua jam kerana trafik pada puncak hujung minggu. Ramai yang berada di pedalaman pulang ke bandar. Walaupun sebentar dan kami hanya berkenalan tidak lebih dua jam. Namun perkongsian dan kisah menjadikan satu lagi ikhtibar yang mematangkan. Tidak kira siapa kita kini, surirumah, pekerja awam, swasta, usahawan mempunyai sisi kehidupan yang perlu kita raih kesyukuran. Moganya kita sekalian wanita bersedia dengan apa sahaja cabaran mendatang. Pada masa yang sama kekal utuh menyemai kasih sayang.

No comments:

Post a Comment