Thursday, April 20, 2017

Memori Ramadhan

Kenangan Ramadhan
Teks: Masayu Ahmad
www.masayuahmad.com
Tidak lama lagi bulan puasa akan kunjung tiba, sudah semestinya kemeriahan bulan puasa kini tidak sama ketika masa kanak-kanak. Bermula sahur sehinggalah tamat tarawih. Makanan, suasana, kemeriahan, masya-Allah saya sudah terbayang-bayang.

Setiap kali sahur, emak (arwah) akan sibuk di dapur. Bunyi kelakang kelekung, memang rindu mahu merasa memori seperti dulu.
Mata terpisat-pisat apabila dikejutkan emak. Walaupun mengantuk, makan tetap berselera. Kerana apa, kerana hasil air tangan emak.

Ketika masih kanak-kanak, dugaannya memang lah berat. Dulu-dulu masa siang hari rasanya sangat panjang, jika dibandingkan dengan sekarang. Bangun pagi tengahari, petang sudah maghrib. Kalau mahu menahan lapar tu selalunya saya asyik-asyik mandi, kalau tak pun tidur. Sudah namanya budak-budak kan.

Kalau petang tu, selalunya tugas saya beli air batu (ais ketul) yang berbentuk empat segi. 20 sen sahaja harganya. Masuk dalam plastik gelenya atau plastic rok rak (bahasa kelate), sampai rumah letak dalam bocong merah.

Menjelang mahu berbuka, biasanya kalau minuman istimewa adalah air kelapa. Mudah sahaja, keliling rumah saya memang banyak pokok kelapa, tiada masalah. Kalau lauk pauk memang lah mewah, sebab ayah nelayan. Ikan segar seperti kerisi akan dibakar dengan tempurung. Kalau mahu lagi sedap, emak akan perap satu malam dan untuk sahur makan ikan kerisi gemuk yang diperap. Makan bersama nasi panas-panas. Memang terbuka selera.

Jika ada ikan selar atau kembung yang besar-besar, emak akan buat ikan percik. Lauk pauk Alhamdulillah, rezeki kami anak nelayan.

Kuih muih biasanya emak akan buat belda telur, atau namanya agar-agar santan. Selalunya juga pengat pisang dan juga sira pisang. Istimewa lagi kalau ada air tuak atau nira kelapa. Ini bukan tuak yang masam dan mabuk ya. Ini minuman istimewa bulan puasa, biasanya boleh dapat murah, kerana bapa saudara menjual nira kelapa. Aduh sedapnya
Tidak lupa buah melaka atau dikenali juga ondeh-ondeh,
Kalau malam hari memang lah meriah, semua berduyung-duyung mahu ke surau atau masjid. Balik dari masjid, tidak sah kalau tidak beli colek buah, atau colek keropok. Alahai suasana ini tergambar-gambar dalam kepala saya sekarang. Betapa indah sungguh kenangan masa kanak-kanak.

Menjelang petang sebegini, emak sudah sibuk di dapaur. Kita di ruang tamu hanya menghidu sahaja aroma wangi, masakan emak dari dapur. Sungguh menggoda. Saya masih terbayang. Keenakan masakan emak tidak akan sama oleh sesiapa sekalipun.

Paling saya suka juga ialah lawa (kerabu ikan), masya-allah boleh ratah macam itu sahaja. Setiap kali balik arwah akan membuatkannya. Itu menu wajib kegemaran saya. Manakala abang pula suka tapei pene (apatah namanya lupa). Anak-anak masing-masing buat permintaan kalau mahu balik berbuka.

Satu lagi acara wajb adalah, majlis berbuka puasa, biasanya ayah akan memanggil orang-orang kampong dan tetangga untuk berbuka puasa. Ini adalah aktiviti wajib setiap kali bulan puasa.

Paling seronok juga ialah hidangan set lengkap nasi kerabu. Berbuka nasi kerabu, masya-allah sungguh sedap. Sekarang ini kalau mahu makan itu ini, bolehlah suruh kakak yang sulung. Nasib baik dia pandai dan rajin di dapur. Serah sahaja pada pakar, semua terhidang. Tetapi saya tetap dan sentiasa merindui arwah. Di tambah-tambah pula kedatangan ramadhan kali ini, adalah kali ke tujuh ramadhan tanpa arwah

Saya rindu, ayah lagilah rindu terhadap arwah. Al-fatihah buat arwah emak. Sentiasa dekat di hati. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Kedai yang dulu dijadikan tempat mengajar mengaji (ketika arwah masih hidup), masih lagi ada. Kosong dan sepi.

Emak kita meninggalkan kenangan. Kenangan itu selalu kita ulang dan ulang. Ia menyuburkan rindu. Moga kita juga sebagai emak, ibu, mama dapat meninggalkan kenangan terbaik buat anak anak. Salah satunya momen di ruang makan, masakan yang enak dan pelukan kasih sayang.

Al-Fatihah buat arwah Rakiah Daud.