Sunday, May 14, 2017

Arwah mek dalam kenangan

Lambaian kenangan Ramadhan
1750
Teks: Masayu Ahmad


Pejam celik pejam celik Ramadhan kembali, ianya mengembalikan nostalgia bersama arwah mek (panggilan emak di Kelantan). Tahun 2009 saya berkesempatan membuat sedikit majlis makan-makan semasa bulan syawal. Pada masa itulah kali terakhir arwah berkunjung sebelum balik seminggu kemudian meninggalkan kami. Kunjungan itu adalah terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Betapa sekejap sahaja masa berlalu. Al-Fatihah. Ramadhan kali ini pasti akan terasa. Saya akan sentiasa ingatkan arwah dan hujung doa setiap kali memohon keampunan Nya untuk arwah dan agar rohnya dicucuri rahmat.

Setiap kenangan melekat kukuh dalam memori. Saya rindukan akan zaman kanak-kanak dan remaja, seringkali mengikut arwah ke masjid untuk solat tarawih. Rindunya suasana tersebut. Kadangkala perbincangan juga menghala soal rumahtangga dan hal-hal lain.

Teringat saya ketika melalui satu sesi ujian menulis dan membaca tulisan jawi. Saya mendapat markah penuh. Ketika ustaz bertanya siapa yang mengajar. Saya dengan penuh bangga menyatakan, 

“Saya belajar dari emak.”

Betapa ia melekat dalam hati apabila saya suka membelek tulisan jawi dan mendapat tunjuk ajar arwah.

Ingatan juga apabila lama tidak bertemu, kami akan berborak panjang ketika tidur dan sama-sama melagukan zikir munajat.

Sampai ke hari ini setiap kali melagukan zikir ini, kadang-kadang saya merasakan saya melagukan bersamanya. Kadang-kadang rasa panas di hujung anak mata. Air mata mengalir tanpa saya sedar.

Jika pulang ke rumah di kampung akan kedengaran suara arwah mengajar anak-anak kecil mengaji al-quran. Suara-suara kecil yang mengalun ayat-ayat suci.

Kini ia kosong, sunyi tiada lagi lontaran suara melagukan ayat-ayat dan surah-surah. Sepi dan sunyi. Itulah barangkali saya melihatkan kelainan ayah yang nampak berbeza. Lebih diam daripada biasa. Saya dapat merasakan kesunyiannya dan mestinya merindui arwah melebihi saya.

Saat memandikannya, mengafankan arwah, saya cuba menahan agar air mata tidak gugur. Mengiringi jenazah dan menunggu hingga timbusan tanah terakhir. 

Masakannya, nasihatnya, leterannya adalah masih ranum di ingatan saya.
2010 adalah tahun hijrah balik ke Kelantan. Walaupun mek sudah tidak ada saya memberi tumpuan untuk punyai lebih masa bersama ayah, dan dua mertua. Ramadhan kali ini adalah tahun ke 2 tanpa ayah dan ibu mertua. Keduanya juga sudah dijemput Illahi.
Menu rindu.
Tahun ke 7 puasa tanpa arwah mek. Tahun ke 2 puasa tanpa arwah bonda mertua.
Dua figura wanita tradisi meninggalkan momen paling mendalam. Masakan tidak sejak lahir makan masakan mek, disuap mek, diasuh mek. Membesar sekeliling kasih sayang mek.
Kesibukan mek di dapur banyak ternampak nampak pada layar minda. Makan nasi berlauk, sup ayam kampung, kuih muih itu semua seakan akan baru semalam. Mek bangun awal menyediakan kuih muih jualan. Menemani mek berjualan butir nangka, bubur yang ditambah pulut. Berpagi membantu mek di kedai makan. Usai di dewasa mek selalu datang apabila bersalin anak pertama. Berpantang dijaga mek anak ke dua dan ke tiga.
Sehinggalah tidak lagi kedengaran suara mek sejak 7 tahun yang lalu.
Ya Allah kasihanilah arwah, ampuni arwah, permudahkan urusan arwah di sana. Rehatlah arwah mek di syurga mu Ya Allah.
Al fatihah buat Rakiah Daud.
Saya akan sentiasa bermohon kepada-Nya, agar arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga kita semua dipanjangkan usia untuk terus berbakti kepada kedua orang tua.



2 comments:

  1. Setiap kali menjelang puasa, saya pun akan teringat ke arwah mak saya. Terutama masa sahur. Semoga Allah ampunkan dosa ibu bapa kita yang dah tiada ni dan ditempatkan mereka dalam kalangan orang beriman. Amin.

    ReplyDelete