Thursday, May 4, 2017

Lensa memori

Teks: Masayu Ahmad

Bunyi deringan telefon, bunyi loceng tamat sesi persekolahan, bunyi siren asrama panggilan sarapan pagi, tengahari, petang dan malam. Masa lalu sangat indah. Indah kerana kita tidak ada tanggungjawab. Merai setiap hari dengan ilmu dan dunia bersama kawan-kawan. Indah bercerita, berkongsi suka duka ketika usia masih mendaki alam persekeolahan.
"Saya suka jadi dewasa, nanti ada duit banyak."
"Tak payah jadi dewasa cepat sangat, nanti Aiman rindu mahu jadi kanak-kanak semula." Nasihat ibu.
Aiman sekarang menikmati hari-hari gembira. Apabila pulang bercerita tentang Ikhwan. Tengahari berkongsi makan bersama teman rapat.
"Saya jimat ibu, tengahari Ikhwan bagi saya nasi. Kami makan sama-sama. Lepas tu dapat air susu percuma."
Itulah cerita Aiman setiap kali pulang dari sekolah.
"Ibu, nanti Ikhwan ajak pergi memancing tepi parit."
"Bahaya, ajak Ikhwan datang ke rumah main bola sama-sama."
"Tak boleh ibu, sebab dia perlu melintas jalan besar.
Saya tahu seronoknya Aiman mempunyai teman bernama rakan karib.
"Ibu tadi Aiman lambat, saya perlu cari dia merata. Ada dalam kelas bersembang dengan Ikhwan." Lapor Arif.

Begitu hari-hari Aiman, setiap kali masa pulang hilang berdesup usai solat berjemaah zuhur. Menghilang bersama Ikhwan sekitar sekolah. Selalunya menemani Ikhwan bersalin pakaian untuk sesi taekwondo.
Ibu menjelajah jauh cerita tentang hari sekolah. Usai pulang sekolah berbondong dengan rakan rakan. Balik berjalan kaki. Singgah kedai pertama beli keropok lekor dan air sirap. Sirap merah dalam jabir plastik. Cukup wang dua puluh sen.
Sesekali masuk semak atau hutan kecil kutip buah cenerai. Memang hitam hujung poket baju. Kami cari berjemaah bersama kawan-kawan ibu Hasni, Sayani. Inilah kawan sekolah ibu.
Kadangkala usai mengambil wang jualan di kantin sekolah, ada berbaki karipap. Kami makan sama-sama dalam perjalanan pulang.
Kadangkala usai sampai waktu kami berpecah, kami duduk-duduk dahulu sambil menghabiskan keropok lekor dan sirap. Kadangkala sebungkus 'sekut kapal terbang' bewarna merah, 20 sen sahaja penuh kelongsong pembalut surat khabar.
Itulah lensa kenangan. Ia menyapa tatkala melihat Aiman membesar. Jangan cepat sangat besar rai setiap keriangan bersama teman-teman seperjuangan.
Berbaki beberapa minggu sahaja lagi bulan Ramadhan akan berkunjung tiba. Ini kali ke dua Ramadhan tanpa ayah dan ibu mertua.
Semenjak kehilangan mertua Disember 2015, masa saya rasakan begitu pantas mengejar. Ketika itu hamil 2 bulan. Usai selamat pengebumian, saya ambil masa untuk bertenang dan berehat. Satu bilik barang arwah saya kemas dan saya letak satu sudut. Masih lagi di dalam bungkusan. Kemudian selepas habis berpantang barulah ada tenaga menyelesaikan lagi. Kemas semula bilik arwah ma. 
Ramadhan kali ini menyambung memori lama. Berpuasa dan sama sama meriah ketika saat berbuka. Usai dinihari mertua bangun untuk memasak sahur. Biasanya membuat giliran. Hari ini saya memasak esoknya beliau.
Kadangkala ketika memasak saya seakan terbayang seseorang sedang berada di tikar sembahyang merenung. Sekilas terpandang tidak ada orang. Barangkali kebiasaan dulu dan kemudiannya seperti hadir menemani.
Kenangan lalu tidak dapat kita ulang. Ia akan berlalu dan melayar di fikiran. Manisnya kerana merai kenangan dengan kesyukuran. Bersyukur kerana ada ruang masa untuk bersama anak anak. Bersyukur kerana sempat berkhidmat pada tersayang. Namun ia akan berlalu pergi, usia kita akan terus bergerak ke hadapan.
Mungkin hari ini kita ada anak anak untuk didakap erat, orang tua untuk disantuni. Esok hari kita tidak akan tahu apa yang bakal berlalu. Doa dan pandang ke hadapan agar kita mampu melakar kasih saying dan menebar memori yang baik untuk orang orang tersayang.

Salam kasih saying. Belum terlambat untuk memahat memori kebaikan.

No comments:

Post a Comment