Teks dan foto: Masayu Ahmad
pn.masayu@gmail.com
www.masayuahmad.com
pn.masayu@gmail.com
www.masayuahmad.com
“Untunglah sebab anak ramai
boleh bergilir gilir jaga.”
Titipan bermakna dari bapa saudara yang bongsu yang kami panggil
Pok Su. Barangkali apabila melihat kami adik beradik bergilir pulang menjaya
ayah yang kini sudah terbaring sakit.
“Pak cik perlu sabar dan redha, pelincir pada tulang punggung
sudah kering.”
“Sudah sampai masa saya ni doktor.” Balas ayah.
Saya yang mendengar berada di belakang laju mengalir air jernih
dalam hati. Sampai masa maksud ayah maksudnya sudah tidak banyak masa yang ada.
Bukannya mendoakan Allah menyegerakan kematian. Tetapi mendoakan kebaikan agar
Allah memberikan semangat luar biasa buat ayah agar dapat berjuang istiqamah
redha dengan kesakitan dan kesukaran di hujung usia.
Setiap kali menatap wajah tua ayah, hati luluh. Namun kuatkan
semangat agar dapat menjaga sebaiknya.
“Ibu kita mahu pergi rumah Tok Ayah hari ini ya.” Bait bait yang
keluar mulut Ammar apabila melihat rutin saban minggu. Kalau sudah sibuk
mengangkut barangan ke kereta. Ammar siap siaga berpakaian dan sangat seronok.
Saban waktu ketika menyediakan hidangan tengahari, saya suka hidangkan
di dalam talam. Makanan kesukaan seperti ikan masak asam, sayur lemak putih,
sambal mempelam dengan isi ikan rebus. Itu adalah antara menu kesukaan. Kadangkala
bertanya dahulu mahu makan apa.
“Kalau mahu hidang, tengok cara Mek buat. Masak dan sediakan
yang terbaik buat suami.” Itu pesanan yang selalu dititipkan. Jadi saya tidak
pernah lupa ia sudah melekat. Nasihat demi nasihat diberikan.
Sambil menemani makan akan keluar cerita cerita lama. Tugas
hanya dengar. Kerana memori itulah yang memberikan nafas kerinduan pada yang
tiada.
Sebagai anak cepat atau lambat bukan soalnya, tetapi kesihatan
dan pengakhiran yang baik adalah tujuan dan matlamat. Saya sangat pasti saya akan
rindu suasana ini. Ayah pada usia mudanya kuat bekerja dan sangat garang.
Namun masih terserlah kasih sayang. Ketika saya usia kecil belum
sekolah apabila petang, saya suka tidur di lengan. Kadangkala mendapat upah dua
puluh sen tugasan mencabut uban.
Saya bersama kakak selalu ingat pesanan, jangan ke tepi sungai
jangan bermain air pantai. Tetapi kami nakal kanak kanak, sesekali terlepas
juga ke tepi pantai. Bermain ombak dengan gembira. Perlu balik sebelum petang
atau sebelum azan, kalau tidak tahulah kami nanti.
Suatu hari seronok kami berkubang bermain air baruh depan rumah.
Sakan mandi manda dengan kawan kawan. Tetapi ia sampai juga kepada ayah.
Apalagi saya segera lari dan bersembunyi di sebalik almari. Kakak sempat
dimarahi ayah. Saya apabila penat bersembunyi dan kemudian keluar dan pura pura
tidur. Saya selamat, tetapi kami tetap diberi amaran dan pesanan.
Masa jauh berlalu saya bersama kakak kini bergilir menjaga dan
mengurus ayah bersama adik lelaki. Adik beradik yang jauh juga selalu pulang
memberikan sokongan.
Kita hidup tumpang menumpang sebagaimana waktu kecil kita
dikasihi dan apabila tiba masa kita pula yang mengasuh dan mengasihi. Itulah
putaran kehidupan dan anak anak juga nanti tentunya akan melihat dan memandang
setiap sisi rutin mereka sejak kecil. Harapannya buat semua anak anak dan juga
doa kita sebagai ibu, agar terus istiqamah dengan kebaikan. Semoga ia menjadi
tauladan yang baik sampai bila bila.
No comments:
Post a Comment