Tuesday, July 11, 2017

Pesan buat anak 1759

Teks: Masayu Ahmad
Pesan buat anak. 1759
“Ibu saya penat.”
Bertalu talu keluar dari mulut Aiman apabila selesai sesi persekolahan. Anak anak sekarang tidak sama seperti kita dahulu. Apabila pulang sekolah sangat seronok bermain sampai puas. Pulang ke rumah sebelum senja. Bebas ke sana ke sini.
Anak anak kini bersambung hingga petang. Malam hari pula bersambung lagi dengan tuisyen atau sesi mengaji quran. Mahu atau tidak kita perlu terima perubahan masa dan sesuaikan dengan keperluan diri dan keluarga. Jati diri perlu diperteguhkan. Bukan sekadar anak anak malah ibu bapa juga pendorong setiap masa.
Keletihan dan kesukaran adalah dua perkataan yang kadangkala ibu perlu member kata kata semangat. Apabila anak anak  menunjukkan reaksi kurang gembira apabila belajar subjek yang kelihatan susah untuk difahami. Membelek silibus untuk anak anak juga ibu sedar akan realiti mereka. Tetapi saya ubah agar mereka gembira ke sekolah. Awal pagi adalah permulaan untuk bertenang. Menikmati bersarapan berjemaah dan bersama sama ke sekolah. Rutin pagi kelihatan agak kritikal namun ia perlu bermula dengan suasana yang tenang. Emosi mereka berada dalam keadaan bersedia apabila berada di sekolah.
Sentiasa bersedia dalam susah dan senang. Pesanan demi pesanan. Sembunyikan kesukaran, kesusahan apa sahaja. Tampilkan sabar, usaha dan buat yang terbaik. Jangan bersedih apabila tidak ada, kita ada Allah doa dan usaha. Kalau kelihatan sukar usaha lagi sehingga berjaya. Jangan merintih dan mengeluh dan tidak sesekali pamerkan kesusahan di depan orang lain. Kerana kita tidak tahu mungkin orang lain lebih susah dan menderita.
“Apa ibu pesan?”
“Jangan berhutang, simpan duit, sembunyikan kesusahan.” Jawab Arif.
 Ini juga pesanan utama agar anak anak belajar asas mengurus kewangan seawal yang boleh.
Pesanan dan ulangan setiap kali. Kelihatan sungguh mudah namun usaha dari seawal usia anak yang boleh. Berkali kali pesanan itu diulang. Agar anak anak faham.
Berapa ramai kita hari ini apabila keluar belajar sudah pun ada bebanan berpuluh ribu hutang belajar. Kemudian bersambung hutang kehidupan yang lain. Hutang kereta, hutang rumah dan pelbagai hutang lagi untuk menampung kos kehidupan. Kos gaya hidup. Keluar dari zon trend kehidupan. Pilih untuk kehidupan yang lebih tenang dan membahagiakan.
Hidup tanpa hutang, iaitu sangat penting permulaan dari awal. Sikap dan tabiat. Membeli hanya apabila ada wang. Tahan keinginan. Bayar apabila mampu tanpa berhutang.
Ada pendapat kalau tidak berhutang jadi tidak akan merasa rumah sendiri. Banyak sekali yang perlu diperbetulkan semula. Ia bermula dari rumah. Menanam tabiat dan sikap tentang pengurusan kewangan.
“Jangan ambil duit orang, jangan berhutang dan jangan meminjam.”
Berikutan insiden berkali kali anak anak memberi tahu duit mereka diambil atau dipinjam rakan rakan. Jadi sebagai ibu, perlu perbetulkan semula. Harapan agar anak anak faham tentang bahaya hutang dan pinjaman.
Waima mahu mendapatkan sesuatu barang juga perlu usaha. Simpan dari sumber duit poket diberikan ayah.
“Ibu saya sudah bayar yuran sekolah.” Beritahu Arif.
Hanya Hakim sahaja yang belum berbayar. Bukan sebab ibu tidak mampu tetapi sebenarnya latihan untuk anak anak merasa bagaimana perlunya usaha. Dari wang saku, perlu simpan. Jika apa apa keperluan ambil dari simpanan. Dari simpanan itu juga untuk membuat bayaran fotostat dan membeli alat tulis yang diiginkan.
Arif sangat cepat belajar. Hakim agak boros, selalunya juga ibu perlu ulang semula apa yang tidak faham. Ayah cukup tegas akan hal ini.
Sesekali peruntukkan untuk hari istimewa, sempena kejayaan peperiksaan pertengahan atau akhir tahun. Ibu akan bawakan anak anak ke kedai buku. Pilih alat tulis idaman dan juga buku bacaan sebagai ganjaran atas usaha. Ia lebih mengembirakan apabila merai kejayaan disiplin kecil. Moganya ia terus menjadi asuhan sehingga mereka besar kelak. Doa dan harapan agar anak anak sentiasa ingat pesan ibu.



Sunday, July 9, 2017

Universiti Kehidupan 1758

Teks: Masayu Ahmad
Universiti kehidupan- 1758
“Ibu sudah lama kami tak bawa sarapan.”
Beritahu Aiman beberapa hari sudah. Ternyata waima ibu sudah berada di rumah kadangkala ada hari sangat sibuk. Awal tahun motivasi ibu mahu memasak dan bekal anak anak tinggi menggunung. Kini sudah melepasi pertengahan tahun, jadual kerja, runahtangga dan anak anak perlu kembali disusun semula.
Tahun ini agak kompleks juga, Arissa pulang jam dua, Hakim jam tiga, Aiman dan Arif jam lima. Ammar dan Amni masih di rumah. Agak kelam kabut juga dengan jadual penjagaan harian Tok Ayah. Jadi tahun hadapan insya-Allah semua akan lebih teratur. Kerana semua serentak balik jam lima petang. Berbaki 6 bulan lagi untuk tahun 10`7 anak anak akan berselang seli cuti sekolah dan juga persediaan  peperiksaan akhir tahun. Bukan sekadar anak anak yang sibuk, tetapi mak mak juga. Merancang dan mengurus agar semuanya seimbang. Waima sibuk, anak anak juga perlu belajar ilmu kemahiran di rumah dan juga mengurus masa.
Mempunyai empat anak lelaki  dua perempuan sememangnya ia satu anugerah, tetapi memecah pandangan rutin anak perempuan dengan kerja rumah itulah matlamatnya.
Latih tubi kehidupan perlu diteruskan tidak kira hari cuti atau tidak. Mengemas tempat tidur, membasuh tandas, mengurus pakaian, mencuci pinggan mangkuk. Selalu saya titipkan pesanan. Kita tidak ada pembantu rumah, jadi sama-sama lakukan tidak kira lelaki atau perempuan.
Ketika anak-anak masih kecil saya berkesempatan juga mempunyai pembantu rumah. Selepas kelahiran berderet selang setahun. Tambahan pula bekerja dan ternyata kepenatan berganda. Mengangkut anak-anak ke rumah pengasuh, kemudian balik kerja bekejar  pula menyelesaikan urusan rumah tangga.

Seawal pagi apabila membuka mata, berderet senarai rutin perlu diselesaikan. Menyiapkan anak, bekalan makanan dan pakaian. Menghantar ke nurseri atau pengasuh. Kemudian memecut laju untuk sampai ke pejabat. Setiap hari kekesakan jalan raya menyesakkan dada, tidak mahu lewat sampai ke pejabat dan kalau boleh tidak mahu terperangkap dalam kesesakan trafik.

Jika menggunakan perkhidmatan awam, juga perlu segera bergerak untuk mendapatkan tempat di dalam LRT, bas atau teksi. 8 pagi hingga 5 petang perlu memerah mental untu keperluan organisasi. Jam menghampiri 5,  sudah siap sedia untuk memecut 100 km sejam agar cepat sampai ke rumah.

Di rumah seolah-olah mahu menyinsing kain ke paras lurut, menyinsing lengan dan menyanggul rambut. Siap sedia untuk tugas seterusnya. Mengambil anak, memasak, mengemas, tidak termasuk solat dan membersihkan diri. Perlu juga meneliti kerja-kerja sekolah anak-anak. Bekalan keperluan anak-anak kecil.
Hampir malam apabila membaringkan tubuh di tilam untuk lena dan rehat, barulah terasa kepenatan seharian. Sering membayangkan pendapatan selesa setiap bulan dan hanya berada di rumah. Boleh memasak untuk suami dan anak-anak, tidak perlu membeli di kedai. Menguruskan anak-anak kecil sendiri, tidak perlu bersusah payah mengupah pengasuh, menggunakan pembantu rumah.
Waktu rehat yang cukup dan tidak mahu lagi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Bangun awal pagi, solat, menyedut udaran segar. Menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak. Mengemas rumah dan melakukkan perkara-perkara yang digemari dengan bebas sebebasnya. Seronoknya bekerja di rumah sepenuh masa sambil menguruskan anak-anak.
Itulah beza gambaran dahulu sebelum berada di rumah. Kini perjuangan diteruskan. Cabaran masih ada namun berperingkat kita suai padan dan hadamkan mengikut peringkat kematangan. Masa berubah, fikiran berubah, usia juga berubah. Nawaitu dipasak agar kita tahu saat berdiri ia adalah prinsip utuh bahawa apabila sudah menyemai tentu ada hasilnya. Apabila sudah berusaha Alhamdulillah ituah rezekinya.


Tuesday, July 4, 2017

Rahsia air tangan.

Teks: Masayu Ahmad

Kita ingat balik ketika masa kecil kebanyakan masa kita membesar dan ruang masa bersama emak, ibu, mama, umi. Awal pagi sarapan dibekalkan, balik sekolah meluru masuk ke dapur. Usai petang pelbagai menu pengat, bubur dan pelbagai masakan manis. Itulah yang menjadikan kita teringat ingat.
Roti kukus gebu dan roti goreng antara menu paling saya suka. Wangian menebar selera apabila siap dimasak.
Lalu apa pula hidangan kegembiraan yang kini kita sediakan buat anak anak. Adakah ia melekat sama. Setiap orang dari kita menyanjung tinggi dan meletakkan masakan emak masing masing sebagai nombor satu dan terbaik.
Adakalanya dalam kesibukan masakan segera dan juga makanan sejuk beku kini sudah mengambil tempat. Lantaran kesibukan memburu masa, kerjaya, berniaga ibu ibu kini terhimpit sama untuk menyediakn masakan namun tidak punya masa.
 Tanyalah sesiapa pun tetap mahu ibu yang masakkan. Ada juga bagi yang sudah penat seharian bekerja, hanya singgah dan terus makan sahaja di kedai makan. Apabila pulang terus sahaja menguruskan rutin yang lain. Bukan sekadar si ibu, anak anak juga berwajah kelihatn saban hari. Kepenatan dengan rutin yang semakin kompleks. Lalu, apa saranan terbaik?
Maka, sangat beruntung ibu ibu yang kembali berada di rumah, berniaga dan punya masa fleksibel. Saya sendiri, kadangkala terbabas juga walaupun ada kelebihan untuk memasak setiap hari di rumah. Kadangkala terbabas juga sarapan pagi anak anak. Namun masih kekal untuk memasak setiap hari.
Saya melihat juga padanan contoh di depan mata. Ayah apabila membawa pulang ikan ikan segar untuk dimasak. Arwah bapa mertua juga begitu, rutin 3 kali seminggu ke kedai basah. Menyediakan bahan, barang barang keperluan untuk memasak. Ia menjadikan rutin memasak menjadi mudah dan mengembirakan isteri untuk memasak.
Bukan sekadar memasak, saya masih ingat pesanan ayah yang ini.
“Apabila memasak, sama juga seperti menyediakan hidangan. Sediakan yang terbaik agar seronok untuk menjamu hidangan.”
Maksudnya ketika menghidang juga perlu seninya agar ia menarik sama untuk makan dengan lebih selera. Nampak ia mudah namun ia memberikan satu lagi sisi pembelajaran buat saya.
“Kenapa tak sedap ibu masak sambal seperti mok masak?”
Ayat terpantul apabila Aiman merasakan masakan saya kurang sedap seperti nenek mereka. Kadangkala apabila memasak tidak dengan perasaan, makanan itu sendiri tidak sedap. Itu sebabnya masakan penuh kasih sayang, kita bersedia memasak dan meletakkan emosi gembira ketika penyediaan.

Bukan sekadar melunaskan tanggungjawab menyediakan hidangan buat keluarga. Ia adalah satu proses pembelajaran jangka panjang. Sebagaimana kita melihat ibu bapa kita dahulu, begitulah juga anak anak memerhati. Air tangan yang melekat membuatkan anak anak teringat dan mahu lagi dan lagi. Kasih sayang yang dialirkan agar anak anak belajar proses menyediakan, adab ketika memasak dan juga menguruskan ruang dapur sejak dari kecil. Bukan sekadar menikmati malah menghargai dengan usaha kecil membasuh pinggan dan juga mengemas meja makan. Ia adalah gabungan kasih sayang dan juga peranan ibu mendidik anak anak bermula dari ruang dapur. Bukan sekadar lapar, makan dan tinggalkan. Usaha kita hari ini waima dalam kepenatan agar anak anak lelaki mahupun anak anak perempuan dapat asuhan murni bermula di rumah. Insya-Allah.