Teks: Masayu Ahmad
Bermula Isnin hingga Jumaat, bersambung Sabtu dan Ahad. Tujuh hari
seminggu tugas silih berganti. Bagi kami yang berada di Pantai Timur hari Jumaat adalah hari cuti umum. Cuti
penghulu segala hari. Petang Khamis kebiasaannya apabila anak anak balik
sekolah mereka sudah mula membalas dendam untuk berehat.
Kadangkala terbaring keletihan anak anak tidur berjemaah di ruang
rehat. Saya biarkan sahaja. Menjelang pagi biasanya mereka ke kubur nenek dan
atuk, kemudian bersambung ke pasar pagi bersama ayah. Menu tengahari selalunya
agak istimewa. Ia hidangan untuk menjamu anak anak. Rehat dan menikmati
kehidupan hujung minggu.
“Seronok hari Jumaat, ibu masak sedap sedap.”
Luah Arif seperti selalu.
“Hadiah buat anak anak ibu, rajin belajar, solat tak tinggal,” ibu
mengumpan sebagai upah sebenarnya.
Memuji muji agar mereka gembira diraikan. Waima kadangkala mereka
asyik merungut apabila kepenatan, perlu juga melunaskan kerja kerja di rumah.
Walaupun keluar juga rungutan tetap mereka sempurnakan.
Petang Khamis, Jumaat dan Sabtu apabila anak anak mula bercuti,
sebagai ibu sebenarnya tugas baru bermula semula. Ia ibarat hari minggu yang
penuh dengan tugas. Bukannya masa yang sesuai untuk berehat. Ketika inilah
barisan kerja rumah tangga berganda ganda.
Saya selalunya alihkan hari cuti diri sendiri adalah sehari sebelum
anak anak mula bercuti iaitu Rabu. Perlu merehatkan diri. Kemudian selepas hari
pertama mereka ke sekolah, itulah masanya untuk meredakan keletihan.
Cuti bagi seorang surirumah adalah bebas dari segala kerja rumah. Pada
masa ini tidak mahu lagi memikirkan aktiviti memasak, mengemas dan menguruskan
pakaian. Tiga perkara ini jika dilihat ia sangat mudah. Namun ia juga mencuri
banyak masa pada siang hari. Waima kelihatan mudah dan remeh ia tidaklah
sesenang yang kita fikirkan.
Menjelang petang hari sebelum esoknya sekolah, kadangkala termenung
melihat deretan pakaian yang perlu digosok. Jika dijumlahkan ia mencecah 30
helai pakaian untuk empat anak bersekolah dan seminggu baju kerja.
Itu pula tidak termasuk bakul pakaian yang sekejap ada sekejap
penuh. Kadangkala menggunung seperti ‘gunung Everest’. Sekejap rendah dan
pantas sahaja membukit besar.
Kemudian beralih pada singki. Ia juga ibarat iklan biskut ‘chipsmore’
sekejap ada sekejap tak ada. Walaupun anak anak sudah disiplin dengan membasuh
pinggan yang mereka guna. Tetapi singki juga salah satus sumber kerja yang
menyebabkan tekanan dan bosan.
Ia menjadi terapi apabila singki kosong dan bersih berkilat.
Sehari seminggu perlu diistihar sebagai cuti sepenuhnya. Selalunya
saya tidak memasak dan berehat rehat sahaja. Hari cuti begini sesuai ketika
anak anak berada di sekolah. Jadi perlu bijak untuk mencuri masa.
Sesekali pada hari minggu, tidak memasak sarapan pagi. Hanya beli.
Saya tinggalkan anak anak dan keluar bersarapan hanya bersama suami.
Tengahari boleh fokus untuk masakan istimewa buat anak anak. Rutin
kadangkala perlu warna warni, tidak hanya mengadap perkara yang sama. Ia menyebabkan
mudah jemu dan bosan. Sesekali keluar makan malam tetapi tidak selalu.
Sebagai surirumah sepenuh masa, sebenarnya berada di rumah sangat
mengembirakan. Jika ditanya untuk kembali bekerja saya memang tidak mahu. Tanya
mana mana wanita yang pernah bekerja dan sudah kembali berada di rumah. Mereka
kekal bahagia berada di rumah. Waima tugasnya sama silih berganti, namun
bahagia itu sebenarnya ada di rumah.
No comments:
Post a Comment