Sunday, July 9, 2017

Universiti Kehidupan 1758

Teks: Masayu Ahmad
Universiti kehidupan- 1758
“Ibu sudah lama kami tak bawa sarapan.”
Beritahu Aiman beberapa hari sudah. Ternyata waima ibu sudah berada di rumah kadangkala ada hari sangat sibuk. Awal tahun motivasi ibu mahu memasak dan bekal anak anak tinggi menggunung. Kini sudah melepasi pertengahan tahun, jadual kerja, runahtangga dan anak anak perlu kembali disusun semula.
Tahun ini agak kompleks juga, Arissa pulang jam dua, Hakim jam tiga, Aiman dan Arif jam lima. Ammar dan Amni masih di rumah. Agak kelam kabut juga dengan jadual penjagaan harian Tok Ayah. Jadi tahun hadapan insya-Allah semua akan lebih teratur. Kerana semua serentak balik jam lima petang. Berbaki 6 bulan lagi untuk tahun 10`7 anak anak akan berselang seli cuti sekolah dan juga persediaan  peperiksaan akhir tahun. Bukan sekadar anak anak yang sibuk, tetapi mak mak juga. Merancang dan mengurus agar semuanya seimbang. Waima sibuk, anak anak juga perlu belajar ilmu kemahiran di rumah dan juga mengurus masa.
Mempunyai empat anak lelaki  dua perempuan sememangnya ia satu anugerah, tetapi memecah pandangan rutin anak perempuan dengan kerja rumah itulah matlamatnya.
Latih tubi kehidupan perlu diteruskan tidak kira hari cuti atau tidak. Mengemas tempat tidur, membasuh tandas, mengurus pakaian, mencuci pinggan mangkuk. Selalu saya titipkan pesanan. Kita tidak ada pembantu rumah, jadi sama-sama lakukan tidak kira lelaki atau perempuan.
Ketika anak-anak masih kecil saya berkesempatan juga mempunyai pembantu rumah. Selepas kelahiran berderet selang setahun. Tambahan pula bekerja dan ternyata kepenatan berganda. Mengangkut anak-anak ke rumah pengasuh, kemudian balik kerja bekejar  pula menyelesaikan urusan rumah tangga.

Seawal pagi apabila membuka mata, berderet senarai rutin perlu diselesaikan. Menyiapkan anak, bekalan makanan dan pakaian. Menghantar ke nurseri atau pengasuh. Kemudian memecut laju untuk sampai ke pejabat. Setiap hari kekesakan jalan raya menyesakkan dada, tidak mahu lewat sampai ke pejabat dan kalau boleh tidak mahu terperangkap dalam kesesakan trafik.

Jika menggunakan perkhidmatan awam, juga perlu segera bergerak untuk mendapatkan tempat di dalam LRT, bas atau teksi. 8 pagi hingga 5 petang perlu memerah mental untu keperluan organisasi. Jam menghampiri 5,  sudah siap sedia untuk memecut 100 km sejam agar cepat sampai ke rumah.

Di rumah seolah-olah mahu menyinsing kain ke paras lurut, menyinsing lengan dan menyanggul rambut. Siap sedia untuk tugas seterusnya. Mengambil anak, memasak, mengemas, tidak termasuk solat dan membersihkan diri. Perlu juga meneliti kerja-kerja sekolah anak-anak. Bekalan keperluan anak-anak kecil.
Hampir malam apabila membaringkan tubuh di tilam untuk lena dan rehat, barulah terasa kepenatan seharian. Sering membayangkan pendapatan selesa setiap bulan dan hanya berada di rumah. Boleh memasak untuk suami dan anak-anak, tidak perlu membeli di kedai. Menguruskan anak-anak kecil sendiri, tidak perlu bersusah payah mengupah pengasuh, menggunakan pembantu rumah.
Waktu rehat yang cukup dan tidak mahu lagi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Bangun awal pagi, solat, menyedut udaran segar. Menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak. Mengemas rumah dan melakukkan perkara-perkara yang digemari dengan bebas sebebasnya. Seronoknya bekerja di rumah sepenuh masa sambil menguruskan anak-anak.
Itulah beza gambaran dahulu sebelum berada di rumah. Kini perjuangan diteruskan. Cabaran masih ada namun berperingkat kita suai padan dan hadamkan mengikut peringkat kematangan. Masa berubah, fikiran berubah, usia juga berubah. Nawaitu dipasak agar kita tahu saat berdiri ia adalah prinsip utuh bahawa apabila sudah menyemai tentu ada hasilnya. Apabila sudah berusaha Alhamdulillah ituah rezekinya.


1 comment:

  1. "Nawaitu dipasak agar kita tahu saat berdiri ia adalah prinsip utuh bahawa apabila sudah menyemai tentu ada hasilnya. Apabila sudah berusaha Alhamdulillah itulah rezekinya."

    Suka baca tulisan Kak Mas yang ini. Like 1000 kali!

    ReplyDelete