Teks: Masayu Ahmad
Apabila berdamping
ayah bonda simpan kemas kemas segala hal kehidupan negatif. Simpan rapat rapat,
jangan satu pun terpelanting keluar. Rai mereka selagi daya. Berjuang, berlari,
berebut memberi khidmat. Berilah senyuman dan ampun maaf setiap kali jumpa.
Asam pedas ikan geruk, ikan parang goreng, jelatah nanas. Menu
istimewa permintaan ayah. Nasib baik adik ipar sudah siapkan. Sama macam resepi
arwah mek. Ayah gembira dan berselera. Hari Khamis sehingga Ahad kakak pula
yang mengambil giliran. Begitulah seterusnya kami bergilir memasak. Orang tua
mahu menunya. Asam pedas, sayur lemak, gulai ikan kering nanas itulah menu
kegemaran. Sotong segar rebus letak serai, bawang dan gula merah ini juga
paling gemari.
Kalau arwah mertua dahulu selalunya sup tulang, kerabu perut dan
patin masak tempoyak. Menu yang mengingatkan kelak. Lakaran kenangan yang
sentiasa dikenang kenang.
Kita hidup tumpang
menumpang dan berkasih sayang.
Lagi beberapa bulan adik ipar akan
kembali bekerja. Saya sangat berterima kasih kerana beliau ambil kesempatan
untuk bersama membantu menjaga ayah. Saya tahu dan faham situasi menjaga warga
emas. Kerana pernah dan mahu menjaga.
Kalau dalam Islam itu
sendiri menjaga kebajikan orang tua adalah terletak pada tanggungjawab anak
anak lelaki. Sebagai menantu ia adalah ihsan sekiranya kita mahu menjaga. Namun
apabila kita mengambil peluang itu adalah satu kebajikan yang kita mahu
laburkan. Insya-Allah.
Menantu yang mahu
menjaga orang tua adalah menantu yang baik. Peganglah kata kata ini bahawa,
sebagaimana kita mahu dijaga kelak, begitulah orang tua kita mahu dilayan.
Kita juga insya Allah
jika umur panjang akan menerima menantu juga.
Soal ini agak sensitif
untuk diketengahkan namun ia tetap salah satu penyebab sama ada menjadi
keluarga lebih rukun atau sebaliknya.
Berapa ramai orang tua
terbiar, berapa yang melarat dan ada dihantar ke rumah orang tua.
Ketika berkongsi
pendapat dengan seorang rakan baik university. Beliau juga menjaga mertua yang
strok.
“Aku layan sebagaimana
kelak kerana nanti aku juga bermenantu dan juga akan menjadi warga emas.”
Pernah saya berbual
dengan emak saudara yang semakin uzur. Katanya apabila tua kelak mahu ke rumah
orang tua kerana tidak mahu menyusahkan anak anak.
Saya katakana mengapa
pula mahu ke rumah orang tua, sedangkan sudah mempunyai kediaman yang cukup
selesa dan dikelilingi pula rumah berdekatan dengan saudara mara.
Malah kita juga lihat scenario
hari ini ramai yang berminat mahu tinggal di pondok. Iaitu konsep penginapan
dan pengajian. Bersembahyang berjemaah, Isnin dan Khamis berpuasa dan juga
aktiviti keagamaan. Pengisian hari tua yang cukup harmoni. Ada di antaranya
mahu dihantar kerana mahu bersama sama rakan seusia dan mengambil kesempatan
belajar agama. Ada juga yang berpencen.
Istilah pondok sebegini juga bagi yang mahu mengisi hari tua dengan agama.
Kerana waktu muda sibuk membesarkan anak anak dan juga hal kerjaya dan
perniagaan.
Apapun ia satu cara
hidup pilihan lebih baik berbanding ramai yang meninggalkan orang tua di pusat
jagaan. Tinggal dan biarkan.
Apapun kita kelak
sekiranya panjang umur akan sampai juga usia sebegini. Pilih dan rancang dari
sekarang kita mahu usia pencen yang selesa dan mampu beribadah dengan tenang.
Segalanya tentang hari ini, bagaimana kita mengisi kehidupan. Masa hadapan yang
perlu kita hadapi kerana kita semua akan kembali ke kampung akhirat negeri
kekal abadi.