Monday, August 7, 2017

Hidup berkasih sayang 1762

Teks: Masayu Ahmad

Apabila berdamping ayah bonda simpan kemas kemas segala hal kehidupan negatif. Simpan rapat rapat, jangan satu pun terpelanting keluar. Rai mereka selagi daya. Berjuang, berlari, berebut memberi khidmat. Berilah senyuman dan ampun maaf setiap kali jumpa.
Asam pedas ikan geruk, ikan parang goreng, jelatah nanas. Menu istimewa permintaan ayah. Nasib baik adik ipar sudah siapkan. Sama macam resepi arwah mek. Ayah gembira dan berselera. Hari Khamis sehingga Ahad kakak pula yang mengambil giliran. Begitulah seterusnya kami bergilir memasak. Orang tua mahu menunya. Asam pedas, sayur lemak, gulai ikan kering nanas itulah menu kegemaran. Sotong segar rebus letak serai, bawang dan gula merah ini juga paling gemari.
Kalau arwah mertua dahulu selalunya sup tulang, kerabu perut dan patin masak tempoyak. Menu yang mengingatkan kelak. Lakaran kenangan yang sentiasa dikenang kenang.
Kita hidup tumpang menumpang dan berkasih sayang.
            Lagi beberapa bulan adik ipar akan kembali bekerja. Saya sangat berterima kasih kerana beliau ambil kesempatan untuk bersama membantu menjaga ayah. Saya tahu dan faham situasi menjaga warga emas. Kerana pernah dan mahu menjaga.
Kalau dalam Islam itu sendiri menjaga kebajikan orang tua adalah terletak pada tanggungjawab anak anak lelaki. Sebagai menantu ia adalah ihsan sekiranya kita mahu menjaga. Namun apabila kita mengambil peluang itu adalah satu kebajikan yang kita mahu laburkan. Insya-Allah.
Menantu yang mahu menjaga orang tua adalah menantu yang baik. Peganglah kata kata ini bahawa, sebagaimana kita mahu dijaga kelak, begitulah orang tua kita mahu dilayan.
Kita juga insya Allah jika umur panjang akan menerima menantu juga.
Soal ini agak sensitif untuk diketengahkan namun ia tetap salah satu penyebab sama ada menjadi keluarga lebih rukun atau sebaliknya.
Berapa ramai orang tua terbiar, berapa yang melarat dan ada dihantar ke rumah orang tua.
Ketika berkongsi pendapat dengan seorang rakan baik university. Beliau juga menjaga mertua yang strok.
“Aku layan sebagaimana kelak kerana nanti aku juga bermenantu dan juga akan menjadi warga emas.”
Pernah saya berbual dengan emak saudara yang semakin uzur. Katanya apabila tua kelak mahu ke rumah orang tua kerana tidak mahu menyusahkan anak anak.
Saya katakana mengapa pula mahu ke rumah orang tua, sedangkan sudah mempunyai kediaman yang cukup selesa dan dikelilingi pula rumah berdekatan dengan saudara mara.
Malah kita juga lihat scenario hari ini ramai yang berminat mahu tinggal di pondok. Iaitu konsep penginapan dan pengajian. Bersembahyang berjemaah, Isnin dan Khamis berpuasa dan juga aktiviti keagamaan. Pengisian hari tua yang cukup harmoni. Ada di antaranya mahu dihantar kerana mahu bersama sama rakan seusia dan mengambil kesempatan belajar agama. Ada  juga yang berpencen. Istilah pondok sebegini juga bagi yang mahu mengisi hari tua dengan agama. Kerana waktu muda sibuk membesarkan anak anak dan juga hal kerjaya dan perniagaan.
Apapun ia satu cara hidup pilihan lebih baik berbanding ramai yang meninggalkan orang tua di pusat jagaan. Tinggal dan biarkan.
Apapun kita kelak sekiranya panjang umur akan sampai juga usia sebegini. Pilih dan rancang dari sekarang kita mahu usia pencen yang selesa dan mampu beribadah dengan tenang. Segalanya tentang hari ini, bagaimana kita mengisi kehidupan. Masa hadapan yang perlu kita hadapi kerana kita semua akan kembali ke kampung akhirat negeri kekal abadi.


No comments:

Post a Comment