Teks: Masayu Ahmad
Heading: 2018 tahun
pengurusan kewangan keluarga
Rintik jernih masih
luruh ketika menulis artikel ini. Suasana sejuk dan nyaman menyelubungi suasana
musim tengkujuh. Tanah masih basah, di sana sini lopak air masih baru. Keadaan
ini adalah biasa bagi penduduk Pantai Timur. Ia bermula hujung tahun dan akan
meleret hingga awal tahun. Butiran halus melekat pada dedaun dan pokok. Sungguh nyaman dan membangkitkan harmoni
ketenangan.
Awal tahun baru sudah
bermula inilah masanya segalanya seperti satu trek marathon untuk 12 bulan lagi
penuh perjuangan. Salam perkenalan suri
sekalian. Saya Masayu Ahmad penulis bebas sepenuh masa yang berkarya dari
rumah.
Bermula penghujung 2008
saya banyak menulis tentang suri yang berniaga dan bekerja di rumah. Buku
pertama Jana RM Dari Rumah adalah nukilan pertama terbitan Karangkraf. Juga
sebelum ini saya memulakan kerjaya sebagai wartawan di rumah penerbitan yang
sama berada di editorial Mingguan Wanita. Jemput singgah ke sini www.masayuahmad.com.
Terima kasih puan
editor Marliana Shamsuddin yang memberi ruang untuk saya berkarya di sini.
Insya Allah, ruang diari suri akan menyentuh tentang perjuangan wanita,
surirumah tidak kira bekerja di rumah, luar rumah dan juga suri yang bergelar
usahawan. Kita akan menyentuh perihal keseimbangan tuntutan kerjaya, rumahtangga,
kewangan, perniagaan, pengurusan masa dan banyak lagi tentang cabaran kini dan
masa hadapan.
Awal tahun adalah masa
terbaik untuk kita menyemak prestasi sepanjang 2017. Apa yang sudah dicapai apa
yang belum dicapai. Kemudian rangka semula untuk 12 bulan ke hadapan untuk
2018.
Bagi suri yang bekerja
apa perancangan untuk tahun baru? Manu meningkatkan prestasi kerjaya, mahu
meningkatkan tabungan, persediaan kewangan dan pencen. Begitu pula buat
surirumah, sama ada mahu menambah pendapatan melalui perniagaan, juga perancangan
kewangan diri dan keluarga.
Sama ada berstatus di
luar rumah, bekerja dari rumah atau bergelar surirumah, wanita perlu merancang
kewangan untuk diri sendiri dan juga keluarga keseluruhan. Ini antara menjadi
topik penting masa kini. Kerana kebanyakan wanita kini mempunyai pendidikan dan
latarbelakang kerjaya selepas tamat belajar.
Pengurusan kewangan
bermula sejak bergelar pelajar, kos kehidupan sudah mula menjadi matlamat
kehidupan yang perlu dipenuhi. Usai habis bermula trend hutang. Hutang belajar,
hutang kereta, hutang rumah, hutang pembiayaan peribadi dan pelbagai jenis
hutang lagi. Memandangkan saya banyak menulis berkaitan tentang artikel
berhenti kerja, ramai yang menghantar email bercerita perihal hutang yang
membelenggu. Sangat ramai tidak dapat berhenti dengan bergaya kerana komitmen
yang sangat tinggi. Komitmen secara bulanan untuk perbelanjaan dan juga perlu
melunaskan segala jenis hutang yang dibuat bermula selepas belajar dan di awal
perkahwinan.
Baiklah, kita akan
bermula semula dan sangat penting pengurusan hutang ini diambil dan
dikenalpasti semula. Bolehkah kita hidup dengan zero hutang? Kitaran jahat ini
perlu diberhentikan segera mungkin agar anak anak tidak meneruskan lagi keadaan
lemah pengurusan kewangan sejak dari awal. Kita perlu ubah semula kitaran trend
berhutang ini, hidup di bawah zero hutang.
Apa perancangan kita
untuk tahun baru, tentunya sebagai isteri dan ibu sudah mengenalpasti dari
perbelanjaan keseluruhan keluarga. Perbincangan yang jelas akan halatuju
kewangan keluarga diambil kata sepakat.
Dua bajet penting awal
tahun yang boleh ditentukan awal ialah bajet persekolahan dan bajet perayaan.
Persediaan mak anak seorang tentu tidak sama dengan mak anak tiga orang.
Persediaan untuk mak anak tiga orang sudah tentu tidak sama untuk anak tujuh
orang. Merancang awal untuk tabung persediaan anak anak. Contoh RM1 seorang
setiap hari, jadi kalau 5 anak bermaksud RM150 untuk sebulan. Sekiranya 12
bulan kita akan dapat RM1,800 setahun untuk simpanan secara konsisten bulanan.
Tabung
persekolahan ini khusus untuk kita gunakan awal
tahun. Jadi tambah lagi jumlah dan tetapkan berapa bilangan anak dan
darab dengan setahun. Kiraan di atas adalah contoh sahaja, setiap keluarga
boleh menentukan berapa jumlah sasaran yang mahu dicapai. Jadi bijak merancang
dan tentukan halatuju bajet persekolahan dari sekarang. Matlamat tabungan ini
mestilah realistik dan mampu dicapai.
Sangat penting apabila
kita mempunyai tabung persekolahan perbelanjaan boleh dilakukan secara
berhemah. Tidak lagi ikat perut ketika hujung tahun. Pembelian awal dilakukan
ketika musim harga runtuh atau pesta jualan hujung tahun untuk membeli
kelengkapan dan keperluan anak anak. Lagi sekali senarai keperluan perlu
ditulis. Beli kerana perlu bukan beli kerana kehendak. Beli pada harga berbaloi
dengan nilai yang dibayar.
Untuk tahun ini saya
tidak membeli pakaian baru untuk Aiman dan Arissa. Kerana pada tahun 2017 dua
anak ini sudah pun dibelikan kelengkapan serba baru. Hanya memenuhi beberapa
keperluan sahaja seperti kasut sekolah dan juga peralatan asas seperti beg dan
juga alat tulis. Tahun 2018 ini juga, kelengkapan baru untuk Arif yang akan
naik ke tahun 5 dan juga serba baru untuk anak yang sulung berada di tingkatan
satu.
Itu tabung persediaan
persekolahan yang perlu dirancang awal. Tabung pendidikan khusus untuk setiap
anak juga perlu. Kerana selepas habis persekolahan sekolah rendah anak anak
naik ke sekolah menengah seterusnya ke universiti. Di sinilah bermula kitaran
jahat sekiranya kita tidak merancang dengan baik, anak anak akan mewarisi
tradisi hutang ketika masih belajar.
Kita akan ubah semula
trend ini. Ubah agar ketika anak anak masih belajar sudah pun ada pendapatan
dan sudah mahir mengurus kewangan. Ia bermula sejak dari kecil. Sebagaimana
titipan buat anak anak saya apabila Aiman anak nombor tiga memaklumkan perlu
bayar jamuan akhir tahun. Tidak ada wang tambahan, perlu urus sendiri duit yang
diberikan setiap hari ke sekolah. Wang saku itulah untuk belanja dan simpan.
Sekiranya mahu membelikan sesuatu perlu guna dari sumber wang saku sendiri.
Sebagaimana Arif anak nombor dua sangat beringat tentang penggunaan wang dan
belanja.
Sebagaimana tahun 2017
perancangan masa adalah satu lagi perkara yang perlu saya ambil perhatian.
Berulang alik menguruskan anak sekolah, persediaan peperiksaan dan juga sesi
fardu ain pada sebelah petang.
Inilah rutinnya, bukan
sekadar saya tetapi ia adalah rutin wanita bergelar emak, ibu, mama, umi di
seluruh negara. Persediaan awal tahun bajet persekolahan, persediaan anak anak
menghadapi peperiksaan, persediaan untuk mengurus masa. Bukan sekadar itu,
perlu melihat juga prestasi anak anak sepanjang tahun.
Wanita kini sudah ramai
celik perniagaan online, membantu keluarga menambah pendapatan. Tidak kira yang
sudah ada status pekerjaan tetap tetapi menambah pendapatan. Bagi surirumah
juga tidak goyang kaki semata, sama ada melibatkan diri dengan perniagaan
online mahupun offline.
Semoga kedatangan
tahun baru ini kita sudah jelas apa yang
mahu dicapai. Mahu meningkatkan ilmu tentang pengururusan kewangan. Lebih mahir
mengurus masa, lebih cekap dalam soal perbelanjaan. Juga sudah ada pelan
kewangan dan pencen. Inilah yang memandu 12 bulan lagi agar kita bergerak pada
sasaran yang mahu dicapai. Sasaran kewangan diri, keluarga. Sasaran untuk hidup
lebih tenang dan meneroka lebih banyak ilmu bermanfaat.
No comments:
Post a Comment