Sunday, December 9, 2018

100 ebook hanya 1 klik

Sejak 2010 saya menerima banyak pendaftaran yang mahu tahu berkaitan bekerja di rumah.
Apa bisnes dan modul yang sesuai untuk mereka rujuk?
Tidak ada modul yang tepat.

Usaha ini kita ambil peduli untuk menyaring, mengumpul lebih banyak rujukan untuk kalian.
Alhamdulillah atas izin dan ilham dari NYA. Kita berjaya membina konten panduan untuk suri yang bekerja di rumah lebih 1000 blogger alumni yang boleh kalian baca.

Jejak sahaja blog mereka melalui logo kami. Kumpulan Sokongan Bekerja Di Rumah (ABDR).
Tahun 2013 ketika sarat hamilkan Ammar, saya dijemput Kementerian Sumber Manusia sebagai salah seorang panel penggubal modul di atas.
Namun saya menolak atas beberapa kekangan waktu tersebut.
Tetapi usaha kami masih diteruskan, dan kini kami telah berjaya mencapai 50 sasaran ebook yang sudah selesai dan jangkaan 100 ebook menjelang Januari 2019.
Antara modul bekerja dari rumah yang boleh kalian rujuk kelak adalah, boleh buat pilihan mengikut model bisnes mana yang kalian mahu.
Kita sudah ada Asas Bisnes Young Living, Asas Bisnes Shaklee, akan datang Asas Bisnes Tasneem Natural.
Ini rujukan dan pilihan kalian kelak apabila mahu membandingkan mana yang sesuai mengikut kegembiraan kalian.
Semua ebook modul di atas ditulis berdasarkan pengalaman dan kisah benar mak mak bekerja dan berbisnes dari rumah.

Mereka kemudian berkembang. Barisan penulis juga adalah dari pemimpin untuk ahli pasukan/rakan niaga berdasarkan kelompok sasaran masing masing.
Bukan itu sahaja kita ada modul mengajar tuisyen, modul pendidikan interaktif dan banyak lagi.
Hanya dengan satu klik kalian dapat pilih mana mana pilihan modul yang kalian mahu. 

Alhamdulillah, selamat datang Januari 2019.
Pasukan kami sudah bersedia.

Sunday, December 2, 2018

Inspirasi Bekerja Di Rumah

Teks Nor Affizar Ibrahim 
Inspirasi Bekerja Di Rumah


Ebuku berjudul. Inspirasi Bekerja Di Rumah menarik dijadikan koleksi kerana ia memberikan idea pelbagai kerjaya dan juga suntikan semangat kepada  suri rumah untuk menjana pendapatan sendiri, biarpun hanya dari rumah.

Ebuku tulisan, Masayu Ahmad ini menghimpunkan 13 kisah  ibu yang berlainan cerita dan pengalaman,, bagaimana mereka bermula serta subur inspirasi untuk bekerja dari rumah.

Ada di antaranya pernah bermula dengan sumber yang ada, pernah berkedai dan kemudian kembali mengemudi hanya dari rumah.
Kisah dipaparkan tentunya memberikan inspirisai  kepada  wanita  lain yang baru bermula atau sedang berada turun naik semangat.

Antara yang menarik ialah kisah Dila Aris yang pernah mengikuti kelas kemahiran menjahit di Baitulmal dan hanya 2 jam setiap sesi belajar .

Tetapi kini beliau sudah  mampu  mengadakan Kelas Jahitan secara intensif.

Dikurniakan bakat menjahit  dan banyak belajar sendiri dengan cara melihat dan membelek-belek baju contoh, Dila akhirnya boleh menguasai sepernuhnya bidang jahitan, sekali gus menjana pendapatan tetap.


Kisah Fidawati Osman yang pernah bekerja di syarikat telekomunikasi terkenal tetapi berhenti akhirnya kerana ingin menumpukan perhatian kepada keluarga juga menarik untuk dijadikan penyuntik semangat.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda bidang Pentadbiran & Perniagaan dari Universiti tempatan ini akui, berhenti kerja bukanlah satu keputusan mudah dibuatnya.

Namun, beliau nekad dan memilih perniagaan kek dan pastri dari rumah secara sepenuh masa dan memulakan operasi Amida Homemade Bakery.

Apabila suami bertugas di negara Korea Selatan dan Dubai dari tahun 2003 hingga 2012, Fidawati menemaninya dan pada masa sama terus mengembangkan Amida Homemade Bakery di negara orang.

Sekembalinya di Malaysia, beliau meneruskan perniagaan ini dan kini pelanggannya semakin meningkat dari individu hinggalah syarikat koporat.

Moga perkongsian dipaparkan di dalam Inspirasi Bekerja Di Rumah dapat  memberikan lebih keyakinan kepada suri rumah untuk berdikari dan yakin dengan kemahiran dimiliki.

http://servismenulis.blogspot.com/2018/08/ulasan-ebuku-inspirasi-bekerja-di-rumah.html

Sunday, November 18, 2018

Penghujung November

Teks: Masayu Ahmad

Jumaat dan Sabtu sekarang ini dikira hari penuh aktiviti. Apabila semua anak berada di rumah aktiviti mengemas kembali hala tuju.

Seakan perasaan satu sesak nafas apabila Aiman begitu ketagih gajet. Satu hari mereka melunaskan semua urusan di dapur, ruang tengah dan juga urusan kerja rumah lain. Markah penuh kerana menepati apa yang dikehendaki ibu.

Namun ibu tahu ia adalah bersebab. Telahan memang tepat.

"Ibu mahu kami buat apa lagi.?"

Soalan yang memang ibu nantikan.

Jadi Aiman memang berjaya tetapi ia bersyarat. Diberikan dengan ada syarat yang ketat.

Namun selepas beberapa hari nampaknya undang undang kecil di rumah sudah dilanggar. Jadi ibu ambil semua sekali dan kali ini benar benar ada sekatan.

Arif seperti biasa,mudah sahaja mendengar arahan.

Malam kelihatan Aiman mengusik ngusik si abang yang sedang belajar.

"Tahun satu lagi, kalau Aiman tak sungguh sungguh tinggal sahajalah AIman di rumah. Setiap hari dengar bebelan ibu."

Namun beberapa malam yang lepas, sebelum tidur ibu mengintai kembali bilik mereka berdua. Nyenyak tidur sekelilingnya bersepah buku cerita. Nampaknya ia sudah kembali dengan rutin yang asal. Bersepah buku tidak mengapa asalkan tidak bersepah dengan gajet. Urut dada melihatnya.

Friday, November 9, 2018

Pendaftaran kelas modul mengajar sesi Disember 2018


https://web.facebook.com/masayu.ahmad/posts/10205177029462164?comment_id=10205183973715766&notif_id=1541808512088457&notif_t=feed_comment

Sudah dibuka pendaftaran kelas modul mengajar. Klik pada pautan di atas

Ada tak yang mahu belajar buat modul dan buat kelas online?
Cuba semak pengalaman dan latar pendidikan kalian, mesti ada waima satu.
Kalau tak tahu ada cara untuk analisa.
Contoh kalian suka masak dan mahu kongsi resipi. Boleh pilih satu masakan yang paling mahir dan buat kelas.
Contoh 2, kalian mahir mengajar anak anak belajar membaca, kongsikan pula kemahiran itu kepada emak emak lain pula.
Lagi banyak kita kongsi ilmu, lagi banyak ilmu yang kita dapat. 

Juga dapat jana pendapatan melalui pengajaran kelas online dan juga offline.

Ini contoh ebook modul


Wednesday, October 17, 2018

Hujung tahun 2018

Teks: Masayu Ahmad
www.masayuahmad.com
www.akademibekerjadirumah.com/shop


Alhamdulillah semalam separuh hari berada di sekolah untuk acara sukan tahunan anak anak. Ibu berkesempatan sejak awal pagi untuk datang.

Suasana sejuk dan mendung awal pagi sangat mendamaikan. Ketika mula acara cuaca mulai terang. Sempat ibu rakamkan semua acara semalam. Ia bermula dengan perarakan dari setiap rumah.

Aiman dengan acara 200 meter. Hanya 3 peserta. Ibu rakamkan larian Aiman semalam. Waima mendapat tempat ke 3. Alhamdulillah Aiman dapat selesai sampai penyudah.

Arif dengan larian 200 meter berpagar. Tempat ke 2. Hari ini masih berlangsung. Tetapi ibu sudah nyatakan tidak dapat datang.

Tahun hadapan bermula perjuangan kami, Arif akan berada di tahun 6 bakal menduduki UPSR manakal Aiman di tahun 5 bakal menduduki UPKK.

Sungguh pantas masa berlalu, anak yang dulu hingusan kini semakin meningkat usia. Bakal menempuhi gerbang remaja.

Hakim alhamdulillah, apabila balik ke rumah ibu dapat rasanya perubahan. Setiap kali arahan dan apa sahaja tugasa. Pantas sahaja mengiyakan. Sejuk perasaan. Semakin mahir menyesuaikan dan mengurus pakaian dan peralatan sendiri. Ini saya akui, kelebihan tinggal di asrama. Anak anak semakin berdikari.


Editorial Majalah Keluarga






Tuesday, September 4, 2018

Pergi tak kembali

Teks: Masayu Ahmad

Malam 30 Ogos 2018, saya menerima panggilan dari adik. Selalunya saya tidak pernah sekali terima panggilan pada malam hari. Jika ada sekalipun saya tidak hiraukan kerana berada dalam mood 'silent'. Selepas adik memaklumkan keadaan kakak, kami bersegera ke rumahnya di Rantau Panjang.

Sekujur tubur terbaring di ruang tamu. Saya peluk kakak dalam esak dan tangis beliau. Itulah hari terakhir arwah abang ipar pergi pada jam 12 malam Jumaat 30 Ogos 2018.

Kehilangan kali ini cukup terkesan pada saya, kerana pernah berlaku 8 tahun yang lepas ketika kehilangan arwah mek. Saya menemani ayah selama sebulan di rumah, kemudian bawa ayah ke rumah.

Kini tugas saya kembali, bersama kakak tidak kira masa. Agar beliau tahu saya sentiasa ada di sisinya. Luahnya dia sentiasa sedih dan teringat akan arwah. Malam semalam juga menelefon saya. Saya hanya mendengar dan sentiasa mendoakan kakak tabah.

Dalam situasi di atas kakak mengalami situasi mengejut kehilangan ketua keluarga. Insya Allah keluarga sentiasa ada untuk memberi sokongan.

Tuesday, July 31, 2018

Kapsul tenang untuk ibu dan anak


Teks: Masayu Ahmad

Kita adakalanya merasa malas, lemau, tidak bersemangat, mahu berada jauh di zon yang tenang tidak mahu berbuat apa apa seketika. Begitu juga halnya anak anak. Mereka juga ada rasa perasaan demikian.
Kalau boleh setiap hari kita mahu hari yang sempurna.  Anak anak boleh bangun sewal dinihari tanpa perlu dikejutkan. Berjemaah di masjid sebelum ke sekolah. Mood tenang dan lapang sebelum masuk ke kawasan pagar sekolah.
“Ibu hari ini baju sukan.”
“Ibu hari ini perlu fotostat.”
“Ibu kerja sekolah ada lagi belum siap.”
Lalu kepala ibu berpagi lagi sudah berasap, mahu marah mahu mengeluarkan bebelan. Kadangkal ibu berada dalam keadaan tenang, kadangkala tercabar juga emosi. Kerana pagi adalah waktu puncak permulaan hari yang perlu kekal berada dalam suasana tenang.
Peraturan asasnya ada dalam kepala seorang ibu. Kadangkala anak anak mendengarnya sebagai bebelan. Setiap hari dinyatakan pada anak anak tanpa jemu. Walhal solusi yang mudah hanya tulis dan tampal di dinding.
Penulis juga sebagai seorang ibu kadangkala selalu terbabas mulut membebel tanpa henti. Apabila anak anak menunjukkan reaksi kami tidak mahu dengar. Barulah saya perasan saya sudah menjadi ibu yang suka berleter. Lalu mencari solusi terbaik, agar keadaan menjadi normal dan neutral.
“Sakit telinga saya macam mahu cair kalau ibu mula membebel.”
Tersentap saya sebentar apabila Arif  anak nombor dua menyatakan demikian. Benarlah ia adalah teguran si anak secara jujur. Lalu saya perlahan lahan mencari solusi mengubah diri sendiri.
Saya juga perasan apabila balik sekolah anak anak tidak suka ditanya bertalu talu, Walhal sebagai ibu, kita memang tidak sabar mahu tahu apa perkembangan di sekolah.
Ada satu ketika, Arif memaklumkan si ayah keputusan peperiksaan Selalunya sayalah tidak sabar mahu tahu. Saya tersentap lagi.
 Saya segera menukar gaya. Tidak lagi membebel, cuba senyum dan tutup mulut rapat rapat.
Ada satu ketika saya merasakan ia satu pesanan kepada diri sendiri. Membuatkan saya mahu berubah menjadi ibu yang lebih mesra anak anak, bukan ibu yang dicop suka membebel.
Di dalam kereta dalam perjalanan ke sekolah saya menukar gaya berbual bual. Saya berdoa sambil memandu, jadi keadaan lebih tenang.
“Ibu sudah ada peningkatan ujian bulan lepas.” Masuk kereta Arif memaklumkan saya.
Alhamdulillah, nampaknya ia berhasil. Ubah gaya membebel kepada berbual bual. Ia lebih mesra dan harmoni.
Jadi latihan bagi mengekalkan aura ibu positif, diam, jangan marah marah, jangan membebel, senyum, berkasih sayang dan doa yang baik baik. Ini satu terapi buat ibu dan juga anak anak.
Kapsul tenang
Berpeluk dan bersalaman adik beradik. Ada satu pagi saya terpana melihat 3 beradik. Di perkarangan sekolah sebelum beredar ke kelas masing masing mereka bersalaman Si abang dan si adik. Manis sangat momen ini. Saya belajar sesuatu di sini.
Sangat harmoni. Jadi saya praktikkan benda yang sama anak anak sebelum turun kereta bersalaman dahulu. Langkah mereka lebih tenang ke sekolah.
Terima kasih buat ibu dan anak anak tersebut, saya belajar sesuatu.
Ada seorang mak dia keluar dari kereta dan mengusap kepada anak agak lama dan memeluk. Sungguh sunggu dipeluk seperti mahu tinggal lama. Dicium pipi kiri dan kanan. Dua sahaja anaknya.
Satu lagi momen mak hantar anak terus ke dalam mungkin ke kelas. Saya suka yang ini, boleh praktik untuk Ammar dan Amni. Bongsu lelaki dan bongsu perempuan. Suka sangat lihat anak anak bertebaran keluar meraih ilmu.
Bagaimana pula untuk mengekalkan aura positif kerana anak anak juga seperti kita ada masa letih, lesu dan tidak bersemangat. Saya hadir bulan lepas ke satu program motivasi untuk anak anak remaja.  Saat penceramah melontarkan kata kata motivasi, kita sebagai emak jatuh juga air jernih. Hadir lintasan kuasa ibarat tenaga elektrik.
Naik turun dibawa gelombang rasa. Apakan tidak apabila disentuh adab ibu dan ayah.
Siapa kita di hadapan ibu dan ayah?
Celakalah bagi mereka yang ada ibu dan ayah tetapi tidak masuk syurga!
Apabila melihat tangan anak anak bersemangat mengikut rendak penceramah di hadapan. Kita sebagai mak juga turut naik semangat. Kata kata semangat kemudia dilontarkan semuanya penuh bertenaga dan gemuruh suasana dewan. Mengalir satu semangat baru yang meresap ke dalam diri. Benarlah orang yang tenang itu selalu menang. Lalu keluar saya dan anak dengan satu semangat baru. Motivasi ia ibarat satu sumber tenaga yang perlu dicari dan dicaj sentiasa.

Wednesday, May 30, 2018

Kisah kasih sayang



Teks: Masayu Ahmad
“Untunglah sebab anak ramai boleh bergilir gilir jaga.”
Titipan bermakna dari bapa saudara yang kami panggil Pok Su. Barangkali apabila melihat kami adik beradik bergilir pulang menjaya ayah yang kini sudah terbaring sakit.
“Pak cik perlu sabar dan redha, pelincir pada tulang punggung sudah kering.”
“Sudah sampai masa saya ni doktor.”  Balas ayah.
Saya yang mendengar berada di belakang laju mengalir air jernih dalam hati. Sampai masa maksud ayah maksudnya sudah tidak banyak masa yang ada. Bukannya mendoakan Allah menyegerakan kematian. Tetapi mendoakan kebaikan agar Allah memberikan semangat luar biasa buat ayah agar dapat berjuang istiqamah redha dengan kesakitan dan kesukaran di hujung usia.
Setiap kali menatap wajah tua ayah, hati luluh. Namun kuatkan semangat agar dapat menjaga sebaiknya.
“Ibu kita mahu pergi rumah Tok Ayah hari ini ya.” Bait bait yang keluar mulut Ammar apabila melihat rutin saban minggu. Kalau sudah sibuk mengangkut barangan ke kereta. Ammar siap siaga berpakaian dan sangat seronok.
Saban waktu ketika menyediakan hidangan tengahari, saya suka hidangkan di dalam talam. Makanan kesukaan seperti ikan masak asam, sayur lemak putih, sambal mempelam dengan isi ikan rebus. Itu adalah antara menu kesukaan. Kadangkala bertanya dahulu mahu makan apa.
“Kalau mahu hidang, tengok cara Mek buat. Masak dan sediakan yang terbaik buat suami.” Itu pesanan yang selalu dititipkan. Jadi saya tidak pernah lupa ia sudah melekat. Nasihat demi nasihat diberikan.
Sambil menemani makan akan keluar cerita cerita lama. Tugas hanya dengar. Kerana memori itulah yang memberikan nafas kerinduan pada yang tiada.
Sebagai anak cepat atau lambat bukan soalnya, tetapi kesihatan dan pengakhiran yang baik adalah tujuan dan matlamat. Saya sangat pasti saya akan rindu suasana ini. Ayah pada usia mudanya kuat bekerja dan sangat garang.
Namun masih terserlah kasih sayang. Ketika saya usia kecil belum sekolah apabila petang, saya suka tidur di lengan. Kadangkala mendapat upah dua puluh sen tugasan mencabut uban.
Saya bersama kakak selalu ingat pesanan, jangan ke tepi sungai jangan bermain air pantai. Tetapi kami nakal kanak kanak, sesekali terlepas juga ke tepi pantai. Bermain ombak dengan gembira. Perlu balik sebelum petang atau sebelum azan, kalau tidak tahulah kami nanti.
Suatu hari seronok kami berkubang bermain air baruh depan rumah. Sakan mandi manda dengan kawan kawan. Tetapi ia sampai juga kepada ayah. Apalagi saya segera lari dan bersembunyi di sebalik almari. Kakak sempat dimarahi ayah. Saya apabila penat bersembunyi dan kemudian keluar dan pura pura tidur. Saya selamat, tetapi kami tetap diberi amaran dan pesanan.
Masa jauh berlalu saya bersama kakak kini bergilir menjaga dan mengurus ayah bersama adik lelaki. Adik beradik yang jauh juga selalu pulang memberikan sokongan.
Kita hidup tumpang menumpang sebagaimana waktu kecil kita dikasihi dan apabila tiba masa kita pula yang mengasuh dan mengasihi. Itulah putaran kehidupan dan anak anak juga nanti tentunya akan melihat dan memandang setiap sisi rutin mereka sejak kecil. Harapannya buat semua anak anak dan juga doa kita sebagai ibu, agar terus istiqamah dengan kebaikan. Semoga ia menjadi tauladan yang baik sampai bila bila.
Sebagaimana kita rindu masa kecil, begitulah juga kita akan rindu momen momen penting kehidupan bersama anak anak.
 “Ibu abe, rindu mahu muat ulangkaji matamatik.”
Lalu diambil buku latihan tahun enam, dibuatnya bersungguh sungguh.
Barangkali rindu kenangan berusaha siang malam tahun lepas. Kadangkala letih, penat, malas, motivasi jatuh. Kini sejak naik tingkatan satu sudah merindui momen momen ketika berjuang menghadapi peperiksaan besar kali pertama.

Apabila melihat anak di depan mata dulunya kecil kini semakin membesar, masya Allah rupanya sungguh pantas masa berlalu. Anakanda semakin membesar dan kini hampir separuh tahun abang Hakim tinggal di asrama, hanya pulang sekali sahaja sebulan. Berhijrah menimba ilmu.
Sebagai ibu tentunya sedikit gusar namun sentiasa tawakkal dan doa yang tidak putus buat anak anak. Anak sulung tentunya adalah model dan contoh buat adik adik.
Jangan sesekali mengambil hak orang lain. Jangan berhutang waima sepuluh sen. Jangan tunjukkan kesusahan pada orang lain. Jangan meminta minta. Belajar untuk urus masalah sendiri.
Pesanan demi pesanan. Setiap hari dan apabila ada luang masa.
Abang Hakim sudah tidak ada di depan mata ibu, namun doa ibu panjatkan berterusan agar sentiasa berada dalam lindungan Allah selalu. Sebagaimana permulaan di asrama, ibu tidak betah di rumah kerana mengingatkan anakanda.

Awal awal minggu dan bulan ada banyak perubahan yang berlaku. Proses menerima dan mengadaptasi kehidupan baru. Termasuk hidup secara berjemaah dan berkongsi.
“Ibu baju abe hilang.
Ibu kasut hilang.
Ibu baldi hilang.”
Begitulah adunya setiap kali. Kini selepas melepasi setengah tahun Alhamdulillah perubahan yang ketara ibu lihat. Sudah pandai berdikari mengurus keperluan sendiri. Basuh dan kemas pakaian. Walaupun tidak sempurna namun ibu melihat perubahan tersebut.
Sesekali abe menelefon ibu, bercerita perihal di asrama. Tidak ada lagi aduan barang hilang.
“Sudah lama abang tidak nampak ibu sibuk dengan telefon.” Tegur Hakim pada suatu hari.
Itulah kejayaan besar buat saya, apabila berjaya menyusun jadual kesibukan. Tidak mahu kesibukan dan menampakkan gajet ada di tangan apabila berada di sekitar anak anak.
Azam sejak awal tahun berdikit dikit saya usir kesibukan bersama gajet. Memandangkan urusan saya juga banyak juga memerlukan online secara terus menerus. Awal pagi saya mengubah semula rutin penggunaan sebelum anak anak bangun. Apabil selesai mereka sudah bangun dan boleh fokus sepenuhnya kepada anak anak.
Memandangkan Amni dan Ammar masih kecil dan anak anak sekolah seperti Arissa, Aiman, Arif dan Aiman. Mereka memerlukan saya hampir setiap waktu.
 Urusan sekolah pagi dan petang, usai sampai di rumah mereka mencari cari di dapur. Itulah keredaan paling nyata kesibukan apabila mereka dapat menikmati air tangan. Menu pagi, usai balik sekolah dan selepas mengaji al quran pada waktu malam.
Masa makan adalah paling istimewa kerana semua dapat berkumpul dan menikmati hidangan. Apabil seorang lambat turun makan, selalunya saya akan pastikan semua ada baru makan.
“Bukan selalu kalian akan dapat makan bersama sama. Apabila besar kelak kalian sukar untuk berjumpa dan makan bersama setiap hari. Jadi masa inilah masa yang paling akan kalian ingat apabila dewasa kelak.” nasihat suami pada anak anak.
“Lihat ayah sekarang bukan setiap hari dapat berjumpa adik beradik dan makan bersama.”
Kebersamaan dan bersatu adik beradik adalah satu usaha menerapakan nilai nilai moral sejak dari kecil. Bergaduh dan menangis itulah biasa, namun luar biasa apabila bergaduh dan berpecah apabila dewasa kelak. Kasih sayang tidak pernah akan padam selagi mana ia disiram berterusan sehingga akhir ayat. Bukan saya semata, tentunya kalian juga ibu ibu yang mengharapkan tautan kasih sayang anak anak sehingga ke hujung nyawa.


Wednesday, May 2, 2018

Sederhana vs mewah ketika berhari raya.


Teks: Masayu Ahmad

Pejam celik pejam celik Syawal kembali, ia mengembalikan nostalgia bersama arwah mek (emak). Tahun 2010 saya berkesempatan membuat sedikit majlis makan-makan semasa bulan syawal. Pada masa itulah kali terakhir arwah berkunjung sebelum balik seminggu kemudian meninggalkan kami. Kunjungan itu adalah terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Betapa sekejap sahaja masa berlalu. Al-Fatihah. Syawal kali ini adalah tahun ke lapan kami sudah tidak ada nenek untuk bersama merai. Saya akan sentiasa ingatkan arwah dan hujung doa setiap kali memohon keampunan Nya untuk arwah dan agar rohnya dicucuri rahmat.

Setiap kenangan melekat kukuh. Saya rindukan akan zaman kanak-kanak dan remaja. Masakan dan kesederhanaan menyambut lebaran. Ada satu lebaran, saya bersama kakak di pagi Syawal ke rumah tukang jahit. Baju raya kami belum siap dijahit. Jadi menantilah kami di hadapan mesin jahit sebelum dapat berpakaian raya. Ketika orang lain sedang bergembira berpakaian baru, makan juadah istimewa. Akhirnya dengan kegigihan tukang jahit, siap juga baju raya kami. Kami sudah gembira, tukang jahit terus menjahit, kerana sebentar kemudian beberapa  orang kanak kanak lagi dating mahu menuntut baju raya mereka. Bergembiralah kami mencuba kemudian terus mengayuh pulang ke rumah. Tanpa berbasuh itulah baju raya paling meninggalkan kenangan. Seronoknya kerana dapat beraya seperti kanak kanak yang lain.

Kemeriahan tahun ini sangat berbeza, sudah tentulah berbeza kerana usia kita semakin menginjak matang. Kali ini kami sekeluarga mahu sederhana sahaja. Titipan memori lalu tetap kunjung tiba. Kali ini hanya tok ayah sahaja bersama kami. Juga tahun ini kami masih seperti lapan tahun lalu, tidak ada lagi istilah balik kampung. Balik kampung adalah pada pagi Syawal, perjalanan hanya sekitar 30 hingga 40 minit sahaja.

Warga perantaulah amat terkesan bukan sekadar persiapan pakaian, persiapan juadah, malah persiapan balik kampung juga memerlukan kos yang agak besar. Duit minyak pergi balik, duit tol dan duit kecemasan. Ini semua perlu dikira dan disediakan. Takkanlah tidak mahu pulang dan berayalah hanya satu keluarga di taman perumahan kerana tidak ada bajet.  Mungkin ada keluarga begini yang tidak mampu balik. Tetapi apabila melihat kesesakan jalanraya ketika musim perayaan, itulah gambaran sebenar. Masa inilah mahu merai hari gembira bersama keluarga di kampung.
Apa beza raya dahulu berbanding sekarang? Kita toleh kembali ketika masih zaman kanak kanak. Sepasang baju raya, mungkin sepasang lagi baju gaun kembang. Ini sangat mewah. Emak kita mungkin hanya pakai pakaian yang paling baik yang jarang sekali dibeli tetapi yang masih ada dalam gerobok yang disimpan rapi.

Tidak ada istilah sedondon, tidak ada istilah hari pertama pakaian tema biru, raya ke tiga tema hijau, raya ke empat tema kuning begitulah sampai seminggu. Semuanya bertema dan persalinan berlainan. Jika anak seorang baru 3 persalinan bayangkan anak ramai 7 orang sudah mencecah 21 persalinan. Banyaknya kita mengeluarkan belanja seolah ia sudah perkara wajib yang perlu dipenuhi.Adakah kerana mengikut trend, lalu kita terpaksa pulun untuk bersedia sebegitu rupa.

Itu baru persiapan pakaian. Kita lihat pula juadah. Dulu dulu apa yang penting adalah ziarah dan menjamu tetamu seadanya. Mungkin juga faktor ekonomi. Kalau kita lihat juadah lebih kurang sama sahaja. Jika di Pantai Timur tempat saya ketupat dan palas dan tapai pulut adalah antara yang selalu menjadi hidangan. Pergi ke rumah Mak Piah ketupat daun palas, ziarah ke rumah Mak Ngah tapai, singgah pula ke rumah Mak Long ketupat juga. Ia juadah istimewa yang wajib ada. Kita tidak cerewet dan makan dengan gembira apa yang dihidangkan. Berbeza kini, rumah Mak Usu ada nasi dagang, rumah Mak Long ada nasi arab, rumah Mak Ngah ada nasi ayam goreng berempah. Kita menghitung hitung mahu terjah rumah mana dahulu yang paling istimewa juadah. Begitulah.
 Dahulu, menu menjadi banyak kerana kejiranan akan bertukar juadah. Contohnya jiran saya sebelah kanan, saya tahu menunya adalah pulut pagi, Maka apabila dihantar ke sepuluh rumah, akan dapat pula 10 jenis yang berlainan. Tidak perlu memasak banyak juadah. Ini kehebatan raya dulu dulu, kerana kini ia semakin ditelan masa.

Kemeriahan hari raya pertama dan ke dua sahaja. Kemudian kembali menjalani rutin kehidupan seperti biasa. Tidak seperti kini, raya dikatakan sebulan. Tidak cukup di kampung katanya bersama sanak saudara, kemudian pulang pula ke bandar berhari raya pula bersama rakan rakan dan kejiranan tempat didiami.

Kemudian masa berlalu, kita melihat banyak perubahan menu lebih meriah dan mewah. Bukan sekadar merancang masakan dan juadah hari pertama, ke dua, ke tiga. Jamuan raya untuk pejabat, jamuan raya untuk rakan sekolah, jamuan raya untuk teman teman rapat. Pelbagai lagi tema jenis juadah.

Ia seolah menjadi satu trend dan pembaziran. Bukan sekadar persiapan raya yang berlebih lebihan, malahan sambutan raya menjadi berlebih lebihan.Kita kembali kepada panduan al quran dan sunnah. Kita sepatutnya membesarkan Ramadhan berbanding bermewah mewah di bulan Shawal. Siapa mulakan trend sebegini tidak pula kita tahu.

Mungkin juga kerana kemampuan dari segi kewangan dan ekonomi, masyarakat berubah gaya hidup. Kembali semula kepada asas, kita perlu memulakan semula bagaimana memupuk kesederhanaan dalam menyambut apa sahaja hari istimewa. Ia masih meriah dan tidak berlebih lebihan.
Konsep minimalis masih sesuai untuk diterapkan. Jika ada langsir yang masih elok, gunalah ia tidak perlu bertukar langsir baru, perabot baru semata mata kerana mahu menyambut Hari Raya. Ia setahun sekali tetapi berpadalah.

Pakaian pula jika masih elok, atau rancang semula pembelian agar tidak membazir. Seperti saya tulis pada artikel lepas. Bagi anak anak ramai boleh beli banyak dan ia adalah peruntukkan untuk setahun. Tidak ada lagi pembelian pakaian pada bulan bulan lain selepas ini. Bulan bulan lain boleh kita fokus untuk simpan sebagai persediaan pembelajaran anak anak yang jauh lebih penting.

Juadah raya mungkin berpakat bersama ahli keluarga. Satu tabung khusus dan bajet sudah pun dibuat setiap tahun. Jika tidak pernah maka sudah boleh berbincang. Katakanlah adik beradik lima orang, meletakkan RM50 setiap orang. Jadi sudah terkumpul RM50 x 5 beradik x 12 bulan sudah berjumlah RM3000 wang belanja raya. Ia sudah cukup banyak, orang tua di kampung tidak lagi perlu pening kepala menyediakan keperluan anak cucu yang pulang beraya. Tidaklah pula ada yang mengungkit aku yang belanja dapur, aku yang ke pasar aku yang masak. Tetapi semua perlu ambil tahu dan peduli. Bukan sekadar ambil tahu dan kemudian buat buat tidak tahu dan perasan.

Malah ia sangat membahagiakan anak anak ambil tahu dan ambil peduli wang dapur dan perbelanjaan ketika menyambut lebaran. Bajet belanja dapur, bayar bil air dan elektrik sudah tentu penggunaannya berganda ganda. Usai pulang wang itu boleh dititipkan pada tapak tangan orang tua. Mereka bahagia, kita bahagian, keberkatan juga ada. Kerana kita berjaya tidak membazir, berjaya bersatu hati dan berjaya pula mengembirkan orang tua.




Monday, March 19, 2018

Ramadhan yang dinanti

Teks: Masayu Ahmad
www.masayuahmad.com

Tidak lama lagi bulan puasa akan kunjung tiba, sudah semestinya kemeriahan bulan puasa kini tidak sama ketika masa kanak-kanak. Bermula sahur sehinggalah tamat tarawih. Makanan, suasana, kemeriahan, masya-Allah saya sudah terbayang-bayang. Setiap kali sahur, emak (arwah) akan sibuk di dapur. Bunyi kelakang kelekung, memang rindu mahu merasa memori seperti dulu.
Mata terpisat-pisat apabila dikejutkan emak. Walaupun mengantuk, makan tetap berselera. Kerana apa, kerana hasil air tangan emak. Ketika masih kanak-kanak, dugaannya memang lah berat. Dulu-dulu masa siang hari rasanya sangat panjang, jika dibandingkan dengan sekarang. Bangun pagi tengahari, petang sudah maghrib. Kalau mahu menahan lapar tu selalunya saya asyik-asyik mandi, kalau tak pun tidur. Sudah namanya budak-budak kan.
Kalau petang, selalunya tugas saya beli air batu (ais ketul) yang berbentuk empat segi. 20 sen sahaja harganya. Masuk dalam plastik gelenya atau plastik rok rak (bahasa kelate), sampai rumah letak dalam bocong merah.
Menjelang mahu berbuka, biasanya kalau minuman istimewa adalah air kelapa. Mudah sahaja, keliling rumah saya memang banyak pokok kelapa, tiada masalah. Kalau lauk pauk memang lah mewah, sebab ayah nelayan. Ikan segar seperti kerisi akan dibakar dengan tempurung. Kalau mahu lagi sedap, emak akan perap satu malam dan untuk sahur makan ikan kerisi gemuk yang diperap. Makan bersama nasi panas-panas. Memang terbuka selera.
Jika ada ikan selar atau kembung yang besar-besar, emak akan buat ikan percik. Lauk pauk Alhamdulillah, rezeki kami anak nelayan. Kuih muih biasanya emak akan buat belda telur, atau namanya agar-agar santan. Selalunya juga pengat pisang dan juga sira pisang. Istimewa lagi kalau ada air tuak atau nira kelapa. Ini bukan tuak yang masam dan mabuk ya. Ini minuman istimewa bulan puasa, biasanya boleh dapat murah, kerana bapa saudara menjual nira kelapa. Aduh sedapnya.
Lagi istimewa ayah suka letak buah kabung, isi kelapa muda, susu dam sirap, ditambah juga dengan cendol. Memang sedap. Kami budak budak air kelapa muda dan sup ayam, tambah ayam kampung goreng cukup dah. Kenyang sangat.
Ikan bakar, ikan kembung percik, ikan pari bakar cicah asam, kerabu lawa ini menu biasa orang tepi laut. Gulai ikan tenggiri, biasanya ikan tu perap satu malam, baru esoknya gulai.
Akok, nekbat, sira pisang, pengat pisang ini manisan istimewa di negeri Kelantan ketika Ramadhan. Hidangan membuatkan kita teringat kenangan lalu.
Persiapan pakaian raya selalunya emak akan membeli kain ela untuk dibuat baju kurung dan sepasang gaun. Biasanya arwah nenek yang selalu hadiahkan. Saya teringat sepasang gaun kembang warna kuning kepunyaan saya, biru kepunyaan kakak. Apabila memakainya sangat bahagia dan seronok.
Salah satu kemeriahan setiap tahun adalah ayah akan membuat majlis berbuka puasa. Berbuka dengan hidangan talam, masakan pula dilakukan secara berjemaah dengan saudara mara. Lingkungan 10 hingga 20 keluarga hadir. Itulah majlis berbuka tahunan yang saya selalu ingat. Namun kini ayah sudahpun semakin uzur, moga kedatangan Ramadhan kali ini ayah masih sihat dan dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Insya Allah.
Kini saya pula bergelar ibu anak enam. Tentunya Ramadhan kali ini juga berbeza. Tidak ada lagi kenangan berbuka puasa bersama arwah emak. Malah dua tahun lalu dua mertua juga sudah dijemput Illahi. Usia juga bakal menginjak 40 an dan anak anak sedang membesar.
Saya melihat anak anak lalu terkenangkan saya masa dahulu. Apa momen yang saya bakal tinggalkan buat anak anak saat ini agar mereka mempunyai kenangan manis bersama ibu dan ayah.
Selain kemeriahan berbuka, sudah tentunya kita isteri, ibu, wanita banyak membuat persiapan. Persiapan Ramadhan agar boleh fokus berpuasa dengan tenang. Teringat saya ketika tiga anak masih kecil. Membeli persiapan raya adalah paling sukar. Kerana hari yang panas, kesesakan jalan raya mahupun di pusat membeli belah. Memandangkan saya mempunyai anak kecil saban tahun, mahu atau tidak dibawa bersama untuk membeli pakaian raya. Keletihan apabila sampai di rumah membuatkan tahun berikutnya perlu merancang dengan lebih baik. Apa tidak saya terpaksa membawa tiga anak dalam troli, juga aksi berkejaran anak berlari ke sana sini. Tahun berikutnya kami mengambil cuti membeli belah pada hari bekerja. Ia lebih lapang. Manakala pakaian anak anak kami ukur sahaja dengan tali. Ini juga contoh momen persiapan raya ayah belikan saya selipar dengan mengukur dengan tali rafia.
Tahun berikutnya lagi apabila anak anak bertambah, saya hany  ukur dan membeli ketika lapang dan berdikit dikit sehinggalah selesai. Tambahan pula kerja saya kini lebih fleksibel jadi anak anak ke sekolah saya akan melencong membeli keperluan.
Saya terbaca perkongsian seorang teman, beliau membeli belah hujung tahun ketika musim jualan murah. Membeli banyak serentak kerana itulah pakaian raya dan itulah pakaian untuk setahun. Beli banyak, serentak dan sewaktu jualan murah. Ini sangat bagus untuk dipraktikkan terutama mak anak ramai. Terutama kini sudah banyak gudang yang menjual jualan borong. Cara ini sangat digalakkan untuk berjimat.
Satu lagi strategi lagi adalah menyediakan bajet khusus untuk raya. Iaitu tabung raya. Sekiranya anak 6 orang, jadi RM6 perlu disimpan setiap hari. Katakanlah jumlahnya RM200 sebulan sudah disimpan untuk tabung raya ini sangat memudahkan. Beli awal pada bulan jualan murah. Sebelum bulan puasa semuanya sudah siap. Jadi mak boleh bertenang sepanjang Ramadhan, fokus untuk beribadah sahaja. Tidak ada lagi kesibukan saat akhir, jiwa juga lebih lapang.
            Begitu juga selepas selesai musim perayaan. Anak anak selalunya menerima duit raya. Usaha yang paling awal diterapkan pada anak anak adalah menyimpan di tempat khusus semua wang yang diterima. Atau hanya memberikan sedikit imbuhan dengan membeli buku buku yang berfaedah. Simpanan tabung haji sebagai contohnya. Menggalakkan anak berjimat cermat merai kesederhanaan bulan puasa dan perayaan dengan berhemah. Bukan dengan kemeriahan, pembaziran yang berterusan. Siapa anak kita esok adalah hasil didikan hari ini. Saya juga sedang belajar dan terus belajar dalam soal ini.
            Jika dahulu sebelum hijrah ke kampong, kami juga berpeluang berkonvoi beramai ramai untuk balik raya. Apa yang saya perhati apabila kita pulang berkumpul di rumah sendiri atau keluarga mertua beberapa persiapan juga adalah perlu. Menyediakan wang belanja dapur, atau mewujudkan tabungan khusus dengan adik beradik. Agihan tugasa juga perlu, kerana ketika inilah keluarga berkumpul dan ramai. Sudah tentunya ada banyak kerenah. Selain bertolak ansur, ringan tulang di dapur atau menyumbang apa sahaja dari segi kewangan. Keseronokan berganda apabila kita meraikan dengan penuh tolak ansur dan kerjasama. Semoga Ramadhan kali ini adalah lebih baik dari tahun tahun sebelumnya. Insya Allah. Selamat menyambut Ramadhan mohon maaf zahir dan batin buat pembaca, kenalan dan rakan rakan. Sahut Ramadhan kali ini dengan penuh persediaan dan ketenangan.