Wednesday, May 30, 2018

Kisah kasih sayang



Teks: Masayu Ahmad
“Untunglah sebab anak ramai boleh bergilir gilir jaga.”
Titipan bermakna dari bapa saudara yang kami panggil Pok Su. Barangkali apabila melihat kami adik beradik bergilir pulang menjaya ayah yang kini sudah terbaring sakit.
“Pak cik perlu sabar dan redha, pelincir pada tulang punggung sudah kering.”
“Sudah sampai masa saya ni doktor.”  Balas ayah.
Saya yang mendengar berada di belakang laju mengalir air jernih dalam hati. Sampai masa maksud ayah maksudnya sudah tidak banyak masa yang ada. Bukannya mendoakan Allah menyegerakan kematian. Tetapi mendoakan kebaikan agar Allah memberikan semangat luar biasa buat ayah agar dapat berjuang istiqamah redha dengan kesakitan dan kesukaran di hujung usia.
Setiap kali menatap wajah tua ayah, hati luluh. Namun kuatkan semangat agar dapat menjaga sebaiknya.
“Ibu kita mahu pergi rumah Tok Ayah hari ini ya.” Bait bait yang keluar mulut Ammar apabila melihat rutin saban minggu. Kalau sudah sibuk mengangkut barangan ke kereta. Ammar siap siaga berpakaian dan sangat seronok.
Saban waktu ketika menyediakan hidangan tengahari, saya suka hidangkan di dalam talam. Makanan kesukaan seperti ikan masak asam, sayur lemak putih, sambal mempelam dengan isi ikan rebus. Itu adalah antara menu kesukaan. Kadangkala bertanya dahulu mahu makan apa.
“Kalau mahu hidang, tengok cara Mek buat. Masak dan sediakan yang terbaik buat suami.” Itu pesanan yang selalu dititipkan. Jadi saya tidak pernah lupa ia sudah melekat. Nasihat demi nasihat diberikan.
Sambil menemani makan akan keluar cerita cerita lama. Tugas hanya dengar. Kerana memori itulah yang memberikan nafas kerinduan pada yang tiada.
Sebagai anak cepat atau lambat bukan soalnya, tetapi kesihatan dan pengakhiran yang baik adalah tujuan dan matlamat. Saya sangat pasti saya akan rindu suasana ini. Ayah pada usia mudanya kuat bekerja dan sangat garang.
Namun masih terserlah kasih sayang. Ketika saya usia kecil belum sekolah apabila petang, saya suka tidur di lengan. Kadangkala mendapat upah dua puluh sen tugasan mencabut uban.
Saya bersama kakak selalu ingat pesanan, jangan ke tepi sungai jangan bermain air pantai. Tetapi kami nakal kanak kanak, sesekali terlepas juga ke tepi pantai. Bermain ombak dengan gembira. Perlu balik sebelum petang atau sebelum azan, kalau tidak tahulah kami nanti.
Suatu hari seronok kami berkubang bermain air baruh depan rumah. Sakan mandi manda dengan kawan kawan. Tetapi ia sampai juga kepada ayah. Apalagi saya segera lari dan bersembunyi di sebalik almari. Kakak sempat dimarahi ayah. Saya apabila penat bersembunyi dan kemudian keluar dan pura pura tidur. Saya selamat, tetapi kami tetap diberi amaran dan pesanan.
Masa jauh berlalu saya bersama kakak kini bergilir menjaga dan mengurus ayah bersama adik lelaki. Adik beradik yang jauh juga selalu pulang memberikan sokongan.
Kita hidup tumpang menumpang sebagaimana waktu kecil kita dikasihi dan apabila tiba masa kita pula yang mengasuh dan mengasihi. Itulah putaran kehidupan dan anak anak juga nanti tentunya akan melihat dan memandang setiap sisi rutin mereka sejak kecil. Harapannya buat semua anak anak dan juga doa kita sebagai ibu, agar terus istiqamah dengan kebaikan. Semoga ia menjadi tauladan yang baik sampai bila bila.
Sebagaimana kita rindu masa kecil, begitulah juga kita akan rindu momen momen penting kehidupan bersama anak anak.
 “Ibu abe, rindu mahu muat ulangkaji matamatik.”
Lalu diambil buku latihan tahun enam, dibuatnya bersungguh sungguh.
Barangkali rindu kenangan berusaha siang malam tahun lepas. Kadangkala letih, penat, malas, motivasi jatuh. Kini sejak naik tingkatan satu sudah merindui momen momen ketika berjuang menghadapi peperiksaan besar kali pertama.

Apabila melihat anak di depan mata dulunya kecil kini semakin membesar, masya Allah rupanya sungguh pantas masa berlalu. Anakanda semakin membesar dan kini hampir separuh tahun abang Hakim tinggal di asrama, hanya pulang sekali sahaja sebulan. Berhijrah menimba ilmu.
Sebagai ibu tentunya sedikit gusar namun sentiasa tawakkal dan doa yang tidak putus buat anak anak. Anak sulung tentunya adalah model dan contoh buat adik adik.
Jangan sesekali mengambil hak orang lain. Jangan berhutang waima sepuluh sen. Jangan tunjukkan kesusahan pada orang lain. Jangan meminta minta. Belajar untuk urus masalah sendiri.
Pesanan demi pesanan. Setiap hari dan apabila ada luang masa.
Abang Hakim sudah tidak ada di depan mata ibu, namun doa ibu panjatkan berterusan agar sentiasa berada dalam lindungan Allah selalu. Sebagaimana permulaan di asrama, ibu tidak betah di rumah kerana mengingatkan anakanda.

Awal awal minggu dan bulan ada banyak perubahan yang berlaku. Proses menerima dan mengadaptasi kehidupan baru. Termasuk hidup secara berjemaah dan berkongsi.
“Ibu baju abe hilang.
Ibu kasut hilang.
Ibu baldi hilang.”
Begitulah adunya setiap kali. Kini selepas melepasi setengah tahun Alhamdulillah perubahan yang ketara ibu lihat. Sudah pandai berdikari mengurus keperluan sendiri. Basuh dan kemas pakaian. Walaupun tidak sempurna namun ibu melihat perubahan tersebut.
Sesekali abe menelefon ibu, bercerita perihal di asrama. Tidak ada lagi aduan barang hilang.
“Sudah lama abang tidak nampak ibu sibuk dengan telefon.” Tegur Hakim pada suatu hari.
Itulah kejayaan besar buat saya, apabila berjaya menyusun jadual kesibukan. Tidak mahu kesibukan dan menampakkan gajet ada di tangan apabila berada di sekitar anak anak.
Azam sejak awal tahun berdikit dikit saya usir kesibukan bersama gajet. Memandangkan urusan saya juga banyak juga memerlukan online secara terus menerus. Awal pagi saya mengubah semula rutin penggunaan sebelum anak anak bangun. Apabil selesai mereka sudah bangun dan boleh fokus sepenuhnya kepada anak anak.
Memandangkan Amni dan Ammar masih kecil dan anak anak sekolah seperti Arissa, Aiman, Arif dan Aiman. Mereka memerlukan saya hampir setiap waktu.
 Urusan sekolah pagi dan petang, usai sampai di rumah mereka mencari cari di dapur. Itulah keredaan paling nyata kesibukan apabila mereka dapat menikmati air tangan. Menu pagi, usai balik sekolah dan selepas mengaji al quran pada waktu malam.
Masa makan adalah paling istimewa kerana semua dapat berkumpul dan menikmati hidangan. Apabil seorang lambat turun makan, selalunya saya akan pastikan semua ada baru makan.
“Bukan selalu kalian akan dapat makan bersama sama. Apabila besar kelak kalian sukar untuk berjumpa dan makan bersama setiap hari. Jadi masa inilah masa yang paling akan kalian ingat apabila dewasa kelak.” nasihat suami pada anak anak.
“Lihat ayah sekarang bukan setiap hari dapat berjumpa adik beradik dan makan bersama.”
Kebersamaan dan bersatu adik beradik adalah satu usaha menerapakan nilai nilai moral sejak dari kecil. Bergaduh dan menangis itulah biasa, namun luar biasa apabila bergaduh dan berpecah apabila dewasa kelak. Kasih sayang tidak pernah akan padam selagi mana ia disiram berterusan sehingga akhir ayat. Bukan saya semata, tentunya kalian juga ibu ibu yang mengharapkan tautan kasih sayang anak anak sehingga ke hujung nyawa.


Wednesday, May 2, 2018

Sederhana vs mewah ketika berhari raya.


Teks: Masayu Ahmad

Pejam celik pejam celik Syawal kembali, ia mengembalikan nostalgia bersama arwah mek (emak). Tahun 2010 saya berkesempatan membuat sedikit majlis makan-makan semasa bulan syawal. Pada masa itulah kali terakhir arwah berkunjung sebelum balik seminggu kemudian meninggalkan kami. Kunjungan itu adalah terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Betapa sekejap sahaja masa berlalu. Al-Fatihah. Syawal kali ini adalah tahun ke lapan kami sudah tidak ada nenek untuk bersama merai. Saya akan sentiasa ingatkan arwah dan hujung doa setiap kali memohon keampunan Nya untuk arwah dan agar rohnya dicucuri rahmat.

Setiap kenangan melekat kukuh. Saya rindukan akan zaman kanak-kanak dan remaja. Masakan dan kesederhanaan menyambut lebaran. Ada satu lebaran, saya bersama kakak di pagi Syawal ke rumah tukang jahit. Baju raya kami belum siap dijahit. Jadi menantilah kami di hadapan mesin jahit sebelum dapat berpakaian raya. Ketika orang lain sedang bergembira berpakaian baru, makan juadah istimewa. Akhirnya dengan kegigihan tukang jahit, siap juga baju raya kami. Kami sudah gembira, tukang jahit terus menjahit, kerana sebentar kemudian beberapa  orang kanak kanak lagi dating mahu menuntut baju raya mereka. Bergembiralah kami mencuba kemudian terus mengayuh pulang ke rumah. Tanpa berbasuh itulah baju raya paling meninggalkan kenangan. Seronoknya kerana dapat beraya seperti kanak kanak yang lain.

Kemeriahan tahun ini sangat berbeza, sudah tentulah berbeza kerana usia kita semakin menginjak matang. Kali ini kami sekeluarga mahu sederhana sahaja. Titipan memori lalu tetap kunjung tiba. Kali ini hanya tok ayah sahaja bersama kami. Juga tahun ini kami masih seperti lapan tahun lalu, tidak ada lagi istilah balik kampung. Balik kampung adalah pada pagi Syawal, perjalanan hanya sekitar 30 hingga 40 minit sahaja.

Warga perantaulah amat terkesan bukan sekadar persiapan pakaian, persiapan juadah, malah persiapan balik kampung juga memerlukan kos yang agak besar. Duit minyak pergi balik, duit tol dan duit kecemasan. Ini semua perlu dikira dan disediakan. Takkanlah tidak mahu pulang dan berayalah hanya satu keluarga di taman perumahan kerana tidak ada bajet.  Mungkin ada keluarga begini yang tidak mampu balik. Tetapi apabila melihat kesesakan jalanraya ketika musim perayaan, itulah gambaran sebenar. Masa inilah mahu merai hari gembira bersama keluarga di kampung.
Apa beza raya dahulu berbanding sekarang? Kita toleh kembali ketika masih zaman kanak kanak. Sepasang baju raya, mungkin sepasang lagi baju gaun kembang. Ini sangat mewah. Emak kita mungkin hanya pakai pakaian yang paling baik yang jarang sekali dibeli tetapi yang masih ada dalam gerobok yang disimpan rapi.

Tidak ada istilah sedondon, tidak ada istilah hari pertama pakaian tema biru, raya ke tiga tema hijau, raya ke empat tema kuning begitulah sampai seminggu. Semuanya bertema dan persalinan berlainan. Jika anak seorang baru 3 persalinan bayangkan anak ramai 7 orang sudah mencecah 21 persalinan. Banyaknya kita mengeluarkan belanja seolah ia sudah perkara wajib yang perlu dipenuhi.Adakah kerana mengikut trend, lalu kita terpaksa pulun untuk bersedia sebegitu rupa.

Itu baru persiapan pakaian. Kita lihat pula juadah. Dulu dulu apa yang penting adalah ziarah dan menjamu tetamu seadanya. Mungkin juga faktor ekonomi. Kalau kita lihat juadah lebih kurang sama sahaja. Jika di Pantai Timur tempat saya ketupat dan palas dan tapai pulut adalah antara yang selalu menjadi hidangan. Pergi ke rumah Mak Piah ketupat daun palas, ziarah ke rumah Mak Ngah tapai, singgah pula ke rumah Mak Long ketupat juga. Ia juadah istimewa yang wajib ada. Kita tidak cerewet dan makan dengan gembira apa yang dihidangkan. Berbeza kini, rumah Mak Usu ada nasi dagang, rumah Mak Long ada nasi arab, rumah Mak Ngah ada nasi ayam goreng berempah. Kita menghitung hitung mahu terjah rumah mana dahulu yang paling istimewa juadah. Begitulah.
 Dahulu, menu menjadi banyak kerana kejiranan akan bertukar juadah. Contohnya jiran saya sebelah kanan, saya tahu menunya adalah pulut pagi, Maka apabila dihantar ke sepuluh rumah, akan dapat pula 10 jenis yang berlainan. Tidak perlu memasak banyak juadah. Ini kehebatan raya dulu dulu, kerana kini ia semakin ditelan masa.

Kemeriahan hari raya pertama dan ke dua sahaja. Kemudian kembali menjalani rutin kehidupan seperti biasa. Tidak seperti kini, raya dikatakan sebulan. Tidak cukup di kampung katanya bersama sanak saudara, kemudian pulang pula ke bandar berhari raya pula bersama rakan rakan dan kejiranan tempat didiami.

Kemudian masa berlalu, kita melihat banyak perubahan menu lebih meriah dan mewah. Bukan sekadar merancang masakan dan juadah hari pertama, ke dua, ke tiga. Jamuan raya untuk pejabat, jamuan raya untuk rakan sekolah, jamuan raya untuk teman teman rapat. Pelbagai lagi tema jenis juadah.

Ia seolah menjadi satu trend dan pembaziran. Bukan sekadar persiapan raya yang berlebih lebihan, malahan sambutan raya menjadi berlebih lebihan.Kita kembali kepada panduan al quran dan sunnah. Kita sepatutnya membesarkan Ramadhan berbanding bermewah mewah di bulan Shawal. Siapa mulakan trend sebegini tidak pula kita tahu.

Mungkin juga kerana kemampuan dari segi kewangan dan ekonomi, masyarakat berubah gaya hidup. Kembali semula kepada asas, kita perlu memulakan semula bagaimana memupuk kesederhanaan dalam menyambut apa sahaja hari istimewa. Ia masih meriah dan tidak berlebih lebihan.
Konsep minimalis masih sesuai untuk diterapkan. Jika ada langsir yang masih elok, gunalah ia tidak perlu bertukar langsir baru, perabot baru semata mata kerana mahu menyambut Hari Raya. Ia setahun sekali tetapi berpadalah.

Pakaian pula jika masih elok, atau rancang semula pembelian agar tidak membazir. Seperti saya tulis pada artikel lepas. Bagi anak anak ramai boleh beli banyak dan ia adalah peruntukkan untuk setahun. Tidak ada lagi pembelian pakaian pada bulan bulan lain selepas ini. Bulan bulan lain boleh kita fokus untuk simpan sebagai persediaan pembelajaran anak anak yang jauh lebih penting.

Juadah raya mungkin berpakat bersama ahli keluarga. Satu tabung khusus dan bajet sudah pun dibuat setiap tahun. Jika tidak pernah maka sudah boleh berbincang. Katakanlah adik beradik lima orang, meletakkan RM50 setiap orang. Jadi sudah terkumpul RM50 x 5 beradik x 12 bulan sudah berjumlah RM3000 wang belanja raya. Ia sudah cukup banyak, orang tua di kampung tidak lagi perlu pening kepala menyediakan keperluan anak cucu yang pulang beraya. Tidaklah pula ada yang mengungkit aku yang belanja dapur, aku yang ke pasar aku yang masak. Tetapi semua perlu ambil tahu dan peduli. Bukan sekadar ambil tahu dan kemudian buat buat tidak tahu dan perasan.

Malah ia sangat membahagiakan anak anak ambil tahu dan ambil peduli wang dapur dan perbelanjaan ketika menyambut lebaran. Bajet belanja dapur, bayar bil air dan elektrik sudah tentu penggunaannya berganda ganda. Usai pulang wang itu boleh dititipkan pada tapak tangan orang tua. Mereka bahagia, kita bahagian, keberkatan juga ada. Kerana kita berjaya tidak membazir, berjaya bersatu hati dan berjaya pula mengembirkan orang tua.