Teks: Masayu Ahmad
“Untunglah sebab anak
ramai boleh bergilir gilir jaga.”
Titipan bermakna dari bapa saudara yang kami panggil Pok Su.
Barangkali apabila melihat kami adik beradik bergilir pulang menjaya ayah yang
kini sudah terbaring sakit.
“Pak cik perlu sabar dan redha, pelincir pada tulang punggung
sudah kering.”
“Sudah sampai masa saya ni doktor.” Balas ayah.
Saya yang mendengar berada di belakang laju mengalir air jernih
dalam hati. Sampai masa maksud ayah maksudnya sudah tidak banyak masa yang ada.
Bukannya mendoakan Allah menyegerakan kematian. Tetapi mendoakan kebaikan agar
Allah memberikan semangat luar biasa buat ayah agar dapat berjuang istiqamah
redha dengan kesakitan dan kesukaran di hujung usia.
Setiap kali menatap wajah tua ayah, hati luluh. Namun kuatkan
semangat agar dapat menjaga sebaiknya.
“Ibu kita mahu pergi rumah Tok Ayah hari ini ya.” Bait bait yang
keluar mulut Ammar apabila melihat rutin saban minggu. Kalau sudah sibuk
mengangkut barangan ke kereta. Ammar siap siaga berpakaian dan sangat seronok.
Saban waktu ketika menyediakan hidangan tengahari, saya suka
hidangkan di dalam talam. Makanan kesukaan seperti ikan masak asam, sayur lemak
putih, sambal mempelam dengan isi ikan rebus. Itu adalah antara menu kesukaan.
Kadangkala bertanya dahulu mahu makan apa.
“Kalau mahu hidang, tengok cara Mek buat. Masak dan sediakan
yang terbaik buat suami.” Itu pesanan yang selalu dititipkan. Jadi saya tidak
pernah lupa ia sudah melekat. Nasihat demi nasihat diberikan.
Sambil menemani makan akan keluar cerita cerita lama. Tugas
hanya dengar. Kerana memori itulah yang memberikan nafas kerinduan pada yang
tiada.
Sebagai anak cepat atau lambat bukan soalnya, tetapi kesihatan
dan pengakhiran yang baik adalah tujuan dan matlamat. Saya sangat pasti saya
akan rindu suasana ini. Ayah pada usia mudanya kuat bekerja dan sangat garang.
Namun masih terserlah kasih sayang. Ketika saya usia kecil belum
sekolah apabila petang, saya suka tidur di lengan. Kadangkala mendapat upah dua
puluh sen tugasan mencabut uban.
Saya bersama kakak selalu ingat pesanan, jangan ke tepi sungai
jangan bermain air pantai. Tetapi kami nakal kanak kanak, sesekali terlepas
juga ke tepi pantai. Bermain ombak dengan gembira. Perlu balik sebelum petang
atau sebelum azan, kalau tidak tahulah kami nanti.
Suatu hari seronok kami berkubang bermain air baruh depan rumah.
Sakan mandi manda dengan kawan kawan. Tetapi ia sampai juga kepada ayah.
Apalagi saya segera lari dan bersembunyi di sebalik almari. Kakak sempat
dimarahi ayah. Saya apabila penat bersembunyi dan kemudian keluar dan pura pura
tidur. Saya selamat, tetapi kami tetap diberi amaran dan pesanan.
Masa jauh berlalu saya bersama kakak kini bergilir menjaga dan
mengurus ayah bersama adik lelaki. Adik beradik yang jauh juga selalu pulang
memberikan sokongan.
Kita hidup tumpang menumpang sebagaimana waktu kecil kita
dikasihi dan apabila tiba masa kita pula yang mengasuh dan mengasihi. Itulah
putaran kehidupan dan anak anak juga nanti tentunya akan melihat dan memandang
setiap sisi rutin mereka sejak kecil. Harapannya buat semua anak anak dan juga
doa kita sebagai ibu, agar terus istiqamah dengan kebaikan. Semoga ia menjadi
tauladan yang baik sampai bila bila.
Sebagaimana kita rindu masa kecil, begitulah juga kita akan
rindu momen momen penting kehidupan bersama anak anak.
“Ibu abe, rindu mahu muat
ulangkaji matamatik.”
Lalu diambil buku latihan tahun enam, dibuatnya bersungguh
sungguh.
Barangkali rindu kenangan berusaha siang malam tahun lepas.
Kadangkala letih, penat, malas, motivasi jatuh. Kini sejak naik tingkatan satu
sudah merindui momen momen ketika berjuang menghadapi peperiksaan besar kali
pertama.
Apabila melihat anak di depan mata dulunya kecil kini semakin
membesar, masya Allah rupanya sungguh pantas masa berlalu. Anakanda semakin membesar
dan kini hampir separuh tahun abang Hakim tinggal di asrama, hanya pulang
sekali sahaja sebulan. Berhijrah menimba ilmu.
Sebagai ibu tentunya sedikit gusar namun sentiasa tawakkal dan
doa yang tidak putus buat anak anak. Anak sulung tentunya adalah model dan
contoh buat adik adik.
Jangan sesekali mengambil hak orang lain. Jangan berhutang waima
sepuluh sen. Jangan tunjukkan kesusahan pada orang lain. Jangan meminta minta.
Belajar untuk urus masalah sendiri.
Pesanan demi pesanan. Setiap hari dan apabila ada luang masa.
Abang Hakim sudah tidak ada di depan mata ibu, namun doa ibu
panjatkan berterusan agar sentiasa berada dalam lindungan Allah selalu.
Sebagaimana permulaan di asrama, ibu tidak betah di rumah kerana mengingatkan
anakanda.
Awal awal minggu dan bulan ada banyak perubahan yang berlaku.
Proses menerima dan mengadaptasi kehidupan baru. Termasuk hidup secara
berjemaah dan berkongsi.
“Ibu baju abe hilang.
Ibu kasut hilang.
Ibu baldi hilang.”
Begitulah adunya setiap kali. Kini selepas melepasi setengah
tahun Alhamdulillah perubahan yang ketara ibu lihat. Sudah pandai berdikari
mengurus keperluan sendiri. Basuh dan kemas pakaian. Walaupun tidak sempurna
namun ibu melihat perubahan tersebut.
Sesekali abe menelefon ibu, bercerita perihal di asrama. Tidak
ada lagi aduan barang hilang.
“Sudah lama abang tidak nampak ibu sibuk dengan telefon.” Tegur
Hakim pada suatu hari.
Itulah kejayaan besar buat saya, apabila berjaya menyusun jadual
kesibukan. Tidak mahu kesibukan dan menampakkan gajet ada di tangan apabila
berada di sekitar anak anak.
Azam sejak awal tahun berdikit dikit saya usir
kesibukan bersama gajet. Memandangkan urusan saya juga banyak juga memerlukan
online secara terus menerus. Awal pagi saya mengubah semula rutin penggunaan
sebelum anak anak bangun. Apabil selesai mereka sudah bangun dan boleh fokus
sepenuhnya kepada anak anak.
Memandangkan Amni dan Ammar masih kecil dan anak anak sekolah
seperti Arissa, Aiman, Arif dan Aiman. Mereka memerlukan saya hampir setiap
waktu.
Urusan sekolah pagi dan petang, usai sampai di rumah mereka
mencari cari di dapur. Itulah keredaan paling nyata kesibukan apabila mereka
dapat menikmati air tangan. Menu pagi, usai balik sekolah dan selepas mengaji
al quran pada waktu malam.
Masa makan adalah paling istimewa kerana semua dapat berkumpul
dan menikmati hidangan. Apabil seorang lambat turun makan, selalunya saya akan
pastikan semua ada baru makan.
“Bukan selalu kalian akan dapat makan bersama sama. Apabila
besar kelak kalian sukar untuk berjumpa dan makan bersama setiap hari. Jadi
masa inilah masa yang paling akan kalian ingat apabila dewasa kelak.” nasihat
suami pada anak anak.
“Lihat ayah sekarang bukan setiap hari dapat berjumpa adik
beradik dan makan bersama.”
Kebersamaan dan bersatu adik beradik adalah satu usaha
menerapakan nilai nilai moral sejak dari kecil. Bergaduh dan menangis itulah
biasa, namun luar biasa apabila bergaduh dan berpecah apabila dewasa kelak.
Kasih sayang tidak pernah akan padam selagi mana ia disiram berterusan sehingga
akhir ayat. Bukan saya semata, tentunya kalian juga ibu ibu yang mengharapkan
tautan kasih sayang anak anak sehingga ke hujung nyawa.
No comments:
Post a Comment