Saturday, April 20, 2019

5 strategi lapang sebelum menjelang 1 Ramadhan

Teks: Masayu Ahmad

Ramadhan kali ini mahu bertenang-tenang, mahu lebih lapang. Berikut 6 strategi yang boleh kita ubah menjelang Ramadhan tahun ini.

1. Persediaan awal sebelum menjelang Ramadhan dan Syawal. Segala persiapan untuk anak anak disediakan lebih awal. Kita tidak pancit dan letih di siang hari semata mata mahu menyiapkan kelengkapan dan persiapan. Selesaikan semua sekali sebelum atau sebulan lebih awal. Ramadhan dan Syawal kita lebih bersedia dan tidak lagi kelam kabut sehingga malam raya. Maksudnya kita lebih merai bulan bulan penuh keberkatan.


2. Kosongkan dan lapangkan. Fizikal dan mental. Jika ada perkara yang menyebabkan kehidupan kelam kabut, buang masa. Mula susun dan sisihkan. Susun perkara yang hanya beri manfaat. Manakala aktiviti yang menyebabkan pencuri masa dan leka kita boleh asingkan dan lupus terus.
Contohnya keluar dari semua kumpulan yang banyak menyumbang kepada aktiviti buang masa, sembang kosong dan perlumbaan trend.


3. Sisihkan kumpulan 'perlumbaan trend'. Apa maksud 'perlumbaan trend'? Ada sesetengah orang mereka perlu ada ganjaran meterial untuk menjadikan diri sebagai tumpuan. Ada pula yang menjadikan objektif utama mendapatkan sesuatu sebagai ganjaran sosial. Orang lain ada aku juga ada, maka aku sudah setanding dan berada dalam kelompok yang betul.

Perlumbaan trend ini sudah menjadi satu penyakit dan kegilaan. Ia seperti barah makan diri. Contoh perlumbaan trend ketara adalah mahu menonjolkan atau membuktikan bawah aku boleh, aku mampu, aku sangat luar biasa. Dengan menyatakan dengan jelas di media sosial aku kini sudah capai maka aku adalah orang yang sukses di mata masyarakat.

Perlumbaan ini juga menyebabkan ada kelompok yang tidak mampu capai dan mereka merasakan terpinggir dan inilah salah satu punca tekanan gaya hidup.

4. Buktikan bahawa kita tidak terpengaruh dengan apa apa. Kelompok ini adalah tidak kisah, tidak mengapa dan hidup dengan tenang dan gembira tanpa perlu membuktikan apa apa. Inilah kemahiran gaya hidup tanpa perlu kita bersaing dengan siapa siapa. Jika kita mahu capai kita buat dengan seronok, jika kita mahu kurangkan kita boleh buat hala tujuan baru tanpa perlu canang. Fokus untuk rai diri sendiri dan orang orang yang rapat sahaja.

5. Buang barang, sisih dan kosongkan.

Berapa lama kita sudah jadi hamba barang? Banyak barang kita kumpul dan tidak guna, beli kerana orang lain beli. Beli dan kumpul, beli dan kumpul. Sampai satu ketika penuh rumah dengan barang tetapi tidak digunakan dan dimanfaatkan. Mulai hari ini buang barang yang sudah melebihi 10 tahun ke atas. Sedekah dan berikan kepada mereka yang benar benar mahu guna.

Jika tidak perlu jangan beli. Kalian akan rasa lebih lapang, rumah lebih mudah kemas dan juga ruang santai lebih luas. Cubalah!










Wednesday, March 13, 2019

Tulis dan terbit ebook edisi 1





Minimalist kehidupan.


Ada banyak ruang yang perlu kita kosongkan agar lebih banyak perkara yang tidak perlu kita sisihkan. Saya penggemar konsep ini. Ketika berpindah dari Selangor balik ke Kelantan 10 tahun sudah. Buntang biji mata melihat mana datangnya barang begitu banyak. Sedangkan saya usahakan untuk menyisih dan membuang segera.
Selalu kata en.suami pada anak anak.
“Pandai pandailah jaga jangan sampai ibu nampak dan buang.”
Peringatan ini apabila nampak sahaja mainan yang bersepah memang saya terus buang. Anak anak juga sudah faham.
Ketika kita semua dikhabarkan anak pertama segala yang elok yang cantik yang mahal kita mahu. Sedangkan banyak yang tidak perlu. Itulah anehnya manusia, semua mahu baru yang terbaik dan banyak.
Usia anak 1 hingga 6 bulan tak banyak guna pun sebenarnya. Hasil keterujaan inilah kita membuta tuli kumpul dan banyakkan.
Lihat semula perbezaan anak pertama, kedua dan nikmat ringkas makin memudahkan kerja.
Lagi ramai anak lagi kosong barang yang kita mahu bawa. Sekarang ini saya lebih bahagian berjalan lenggang kangkung Mak Limah tanpa perlu bawa apa apa.
Lihatlah ketika anak pertama segala barang kita mahu bawa bersama.
Rupanya kita banyak simpan perkara yang tidak perlu, kita bawa bersama sehingga membebankan.
Saya penggemar bilik kosong, meja kosong. Sebuah buku bacaan, buku nota dan pen.
Kami pengamal tidak ada gajet dan juga tidak ada banyak barang. Anak anak juga sudah biasa. Hanya buku dan buku sahaja. Bersepah dengan buku tidak mengapa.
Walaupun kadangkala ada rengekan mereka bahawa kawan kawan semua ada telefon pintar. Saya diamkan sahaja.
“Ibu kenapa kami tidak boleh, sedangkan ibu boleh?”
“Ibu pun tidak mahu, tetapi sekarang ibu perlukan semua ini untuk kerja kerja ibu. Guna untuk perkara yang bermanfaat sahaja.
Fokus kepada perkara perlu bukan mahu.
Jika orang lain perlu, tidak semestinya kita perlu. Fokus apa yang kita perlu bukan mahu. Sebulan sebelum puasa tahun lepas. Saya Berjaya kosongkan 1 bilik. 20 plastik besar berjaya saya sisihkan. Datang seorang kakak yang mengutip buah kelapa. Kebetulan lorinya kosong. Saya serahkan pada beliau semua sekali.
Beliau duduk dan berdoa masa itu juga. Rupanya semua barang yang dia mahu ada dalam 10 plastik tersebut, termasuklah 2 buaian masih elok. Juga pakaian kanak kanak usia bayi hingga remaja.
Itulah tidak perlu pada kita ia sangat berguna pada orang lain. Selagi kosong, maka saya akan gembira dengan ruang lapang tanpa barang.

Cerminan kehidupan

Saya teringin mahu tulis kisah hidup. Saya pernah jumpa pakar psikiatri dan hampir bunuh diri.
-Puan N-
Kawan saya terlantar di hospital kerana tertekan dan alami masalah mental.
-Puan R-
Ini adalah mesej semalam dan hari ini masih banyak mesej bernada yang sama. Tekanan.

Cerminan kehidupan.

Tekanan bukan lagi perkara main main, ia cerminan ujian sebenar meningkah usia. Semakin kronik. Mungkin beberapa jalan keluar perlu kita mulai dari sekarang.

1. Realistik dan belajar terima hakikat.
Terima hakikat ada perkara kita tidak boleh buat, kemampuan ada batasnya. Jangan lagi dibanding prestasi kita dengan orang lain. Terima dan nikmati kehidupan kita seadanya.

2. Berhenti mengikut ‘trend’.

Salah satu penyakit tekanan apabila keadaan membanding banding kejayaan sebagai satu perkara yang tidak mampu diterima sesetengah orang.
Melihat orang lain sukses kita rasa kurang yakin dan rasa jauh di belakang.
Ada baiknya kita mulai tinggalkan media sosial ini. Cuba dahulu sehari, jika boleh setahun.
Saya pernah setahun tidak bersiaran semasa hamilkan Amni. Berehat sahaja tanpa perlu berhubung dengan sesiapa. Ia terapi paling baik.

3. Berkongsi dan berinteraksi dengan orang yang dipercayai.
Saya pun tidak tahu mengapa kalian mahu berkongsi kesakitan kalian, saya bukan kaunselor. Mohon jangan dikongsikan lagi masalah kalian. Kalau mahu belajar menulis saya terbuka. Aduhai kasihanilah saya.
Pilih orang yang terbaik dan rapat dengan kalian untuk berkongsi. Insya-Allah semoga dibukakan jalan jalan ketenangan.

4. Mulai menulis sebuah jurnal atau catatan dalam buku nota. Ia satu terapi yang baik.
Tulis sahaja dan pantulkan ia dalam penulisan positif. Kesannya sangat baik.

5. Gaya hidup sihat.
Ada banyak kumpulan sokongan kini yang boleh kita sertai antaranya kumpulan penulis, grup sokongan eat clean, grup berlari, grup kurus dan sihat, grup daki gunung.
Cari dan jejak. Keluarkan peluh dan keluarkan segala toksin dalam badan.

6. Keluarkan semua hiburan dalam rumah.
Salah satu punya yang sangat sangat berleluasa sekarang ini terlampau banyak hiburan. Bunyi bunyian yang menyakitkan telinga.
Gangguan hiburan di sana sini. Ia tidak mententeramkan jiwa malah semakin celaru dan keliru.

7. Jika ada 20 impian yang tidak munasabah, keluarkan jadikan ia 5 sahaja impian yang realistik.

Jangan lagi lihat perbandingan impian di media sosial yang membuat jiwa kita kacau bilau contoh pendapatan 20 juta sebulan, rumah 20 biji dalam masa setahun.
Inilah salah satu penyebab membuat ukuran kejayaan berdasarkan material. Akhirnya kita rebah kerana terlalu lelah.
Hidup memang tidak mudah, tetapi tidak pula kita mengaku kalah. Berehat dan berundurlah jika kalian sudah merasa sakit.

Tuesday, February 12, 2019

Didik Anak Berdasarkan Surah Luqman





Lagi kita marah anak, anak akan semakin degil.
Amarah membuatkan kita letih, emosi letih.
Anak tidak akan ikut apa yang kita cakap, anak akan ikut apa yang kita buat!
-Ustaz Mohamad Mohsin a.k.a Che Mat-

200 kali ulangan baru manusia dengar.
-Dr.Fadzilah Kamsah.

Tamparan demi tamparan. Mahu menangis pun ya, mahu sentap juga ya. Sangat sentap. Kadangkala sebagai ibu kita cuba menerangkan, lama kelamaan apabila anak sudah lali, nasihat kita sudah berbunyi bebelan.
Kita tidak tahu cara tetapi kita mahu tetap sampaikan. Adakah betul begini?
Kita bukan diuji kerana kita pandai, tetapi kita diuji sejauh mana kita bergantung pada sabar dan solat. Kebergantungan kita bukan kepada makhluk tetapi pada PENCIPTA makhluk.
Begitu halnya soal mendidik anak. Ada cara dan teknik yang boleh kita gunakan berdasarkan surah Luqman.

GUNA NADA TEGAS BUKAN MARAH

Cara paling berkesan adalah memberi arahan secara tegas bukan marah. Ulangan ketegasan tanpa perlu bercampur dengan emosi. Apabila marah kita akan penat dan anak akan semakin degil.
Ulangan banyak kali, cuba buat sehingga berapa kali, 20, 30, 40 mungkin ke 200 baru berkesan.
Sabar dan sabar. Sabar dan praktik.
Selepas 3 hari 2 malam berkampung, perubahan paling nyata adalah pada Aiman. Aiman paling menggugat sabar saya sebagai ibu. Namun saya cuba dan cari juga kaedah yang boleh kembalikan semula sifat sebenar Aiman.
Selepas akhir sesi Aimanlah berlari dan datang memeluk. 5 hingga 10 minit jugalah kami sama sama menangis. Saya menangis kerana rindukan sifat dan wajah sebenar anak ini. Sebagai ibu Aiman banyak menguji sabar. Tetapi mesti ada jalan untuk pulihkan semula.
Sangat benar, 6 anak, 6 karektor warna yang perlu kita terima dan belajar untuk corakkan semula. Sesi pertama dahulu pada bulan Disember dia sangat teruja. Kali ini perubahannya sangat sangat membahagiakan.
Tidak ada lagi setiap kali dia mahu marahkan saya dijelirnya di pintu pagar sekolah. Haha urut dada dengan Aiman.
Itu berlaku apabila kehendaknya tidak dapat dipenuhi. Bukan salah Aiman, salah sayalah yang sangat daif dalam mendidik anak anak. Ibu terima segala kelemahan dan kesalahan. Semoga perubahan ini akan kekal hingga akhir hayat. Doa ibu, emak, ummi tidak akan putus buat anak anak.
Aiman yang baru. Dahulu rajin, sekarang bertambah rajin.
Sudah boleh berkongsi, menjaga adik dan bertoleransi.
Setiap kali suruhan Aiman akan iyakan sahaja lalu buat.  Hakim dan Arif sangat mudah bagi saya sebagai ibu. Untuk Aiman Allah datangkan satu karektor unik yang perlu saya belajar lagi untuk urus dan lenturkan.
Teks: Masayu Ahmad

Thursday, January 3, 2019

10 Langkah Mudah Bina Kedai Online


Harga: RM20

SMS: Yes


Alhamdulillah, selesai membaca eBook 10 Langkah Mudah Bina Kedai Online ini dan mendapat input yang berguna. Ketika memulakan bisnes online, niat hanya sekadar mahu test market sahaja. Jadi, tiada perancangan yang khusus untuk menyimpan maklumat pelanggan yang membeli, maklumat aliran tunai atau stok barang, apatah lagi tabungan khas setiap keuntungan.

      Di dalam eBook ini, penjelasan yang diberikan mudah untuk difahami. Antaranya mengenai panduan asas untuk memulakan bisnes tanpa modal, menggunakan kemahiran yang ada sebagai perkhidmatan kepada pelanggan dan bagaimana cara untuk tidak memulakan bisnes dengan berhutang.

       Langkah demi langkah (melalui kaedah 5W 1H) sebelum memasuki pasaran juga di terangkan. Ini untuk memastikan bahawa kita tahu produk, kaedah pemasaran dan prospek yang betul agar tiada lambakan stok. Amat merugikan jika kita mempunyai produk tetapi tiada pelanggan yang mahu membeli.

    Memahami bahawa modal bukan faktor utama, pelbagai cara yang boleh kita gunakan untuk mendapat modal tanpa berhutang. Tidak perlu pening kepala untuk membayar hutang, sedangkan kita mampu membuat tabungan khas melalui komisyen droship, bonus (jika masih bekerja) atau bekerja sambilan. Melalui eBook ini juga, saya memahami kelemahan biasa usahawan baru di dalam bisnes yang pertama.

     Ringkasnya, di dalam eBook ini, panduan yang diberikan sesuai bagi mereka yang mempunyai bisnes atau baru mula berbisnes. Tidak kira sama ada secara konvensional (offline) atau online, mengetahui kaedah yang betul untuk pemasaran dapat mengelakkan kesilapan yang berulang. Insya Allah, apabila kita berusaha, berdoa dan bertawakkal, tiada yang mustahil.

http://munirah-yusoff.blogspot.com/2015/10/ulasan-ebook-10-langkah-mudah-bina.html



Yeay Mama Sudah Resign


Harga: RM20
SMS;No

Teks Nor Affizar Ibrahim

Yeay! Mama sudah ‘resgin’


Ebuku berjudul, Yeay! Mama sudah ‘resign’ ini sudah lama saya terima untuk dibuat ulasan. Namun, kesibukan masa, saya terpaksa menangguh membacanya.
 
Apabila ada kelapangan pula, saya terlupa langsung mengenai ebuku ini, walaupun ketika mula-mula menerimanya dulu saya memang teruja untuk membacanya.

Alhamdulillah, semalam akhirnya saya berjaya juga menyudahkan pembacaan ebuku Yeay! Mama sudah ‘resign’.

Seperti yang saya duga, buku ini pasti akan memberikan inspirasi kepada ramai wanita, khususnya yang ingin meninggalkan alam kerjaya sepenuh masa dan menjadi  WHAM
(Work at Home Moms).

Tuntutan antara kerjaya dan mencari wang untuk hidup lebih selesa serta menghabiskan masa lebih banyak masa dengan anak dan melihatnya membesar di depan mata, sememangnya sering menjadi dilema bagi kebanyakan wanita yang sudah berumah tangga.

Lebih-lebih lagi, jika wanita itu mempunyai anak yang masih kecil dan perlukan perhatian. Rutin hidup kalut setiap pagi untuk menyiapkan dan menghantar anak ke sekolah.

Balik dari kerja pula, hari hampir senja dan adakala melewati jam 8.00 malam, hingga tiada kesempatan untuk membelai anak. Semua itu dirasakan bagaikan satu kerugian besar dalam hidup, lalu seringlah terdetik di hati untuk berhenti kerja.

Bagaimanpun, keputusan berhenti kerja bukan semudah memetik jari, ada persimpangan yang perlu dipilih.

Selain itu banyak faktor perlu diambilkira, termasuklah kos kehidupan semakin tinggi yang perlukan pendapatan tambahan, bimbang akan mendapat tentangan, takut tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan baharu, memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas tiada kerja dan sebagainya.

Namun, semua keresahan dan persoalan itu anda akan dapat jawapannya apabila membaca ebuku Yeay Mama sudah ‘resign’.

Ebuku ini terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, ia membawa kisah pengalaman lima wanita mengenai hasrat ingin berhenti kerja dan kenapa mereka mahu meninggalkan kerjaya walaupun ada di antaranya sudah pun lama membina kerjaya.

Antara yang berkongsi cerita ialah Nor Atiqah Hamidi yang pernah bekerja sebagai pelukis pelan selama enam tahun.

Beliau memendam impian menjadi surirumah dan membesarkan sendiri anak tanpa ada campur tangan pengasuh. Namun, agak mustahil impian direalisasikan dan berhenti kerja secara mendadak.
   

Apabila suami ditugaskan bekerja di Kuala Lumpur, bermulalah detik hidup berjauahan sebagai suami isteri.

Keadaan itulah juga menyebabkan Nor Atiqah cuba memenuhi impian dengna meneroka pelbagai peluang untuk  menjadi WHAM.

Beliau mula belajar berniaga dalam talian dan menjadi dropship baju Muslimah. Setahun selepas itu Nor Atiqah berhenti kerja dan berasa lebih gembira apabila hasrat menjadi WHAM berjaya direalisasikan.  

Berbeza dengan cerita, Rahayu Abdul Rashid yang mengambil keputusan berhenti kerja kerana berasa tidak gembira lagi apabila ditukarkan ke bahagian baharu. Beliau berasa di bahagian baharu banyak bebanan kerja dan memberi lebih tekanan.

Ibu dua anak ini lulusan Ijazah Sarjan Muda (Kepujian) Teknologi Maklumat (Sistem Informasi Perniagaan). Rahayu berasa lebih penat bekerja apabila suami bertugas out station.

Pada masa sama, Rahayu turut berasakan beliau lebih mementing kerjaya daripada anaknya. Keadaan itu lebih dirasakan apabila perlu pergi ke kerja walaupun anak tidak sihat.

Akhirnya, selepas beberapa lama bergelut dengan jiwa yang tidak menggembirakan dan habis membuat perhitungan, beliau menghantar notis meletak jawatan kepada majikan.

Rahayu kemudiannya memilih menjalankan perniagaan MLM selepas berhenti kerja dan ternyata pilihan itu lebih membahagiakannya bersama anak dan suami.  

Hakikatnya, kebanyakan mereka yang memutuskan menjadi WHAM tidak duduk goyang kaki sahaja di rumah.

Mereka sentiasa kreatif berfikir untuk mencari sumber pendapatan baharu. Paling penting, mereka bebas tekanan di tempat kerja dan hidup lebih bahagia dapat sentiasa bersama anak.

Sementara itu, Bahagian 2 menumpukan soal jawab yang merungkai pelbagai persoalan mengenai kehidupan sebagai WHAM.

Ini termasuklah, mengenai persediaan awal seperti mengenal pasti minat, kemahiran dan kepakaran, serta memilih program sesuai untuk disertai dan diyakini.

Pada masa sama, ia juga memberi panduan bagaimana ingin memulakan langkah awal untuk menjadi WHAM.

Selain itu terdapat juga saranan dan cadangan, bagaimana hendak meningkatkan pendapatan dan terus maju dalam apa sahaja bidang baharu yang diceburi.

Untuk Bahagian 3, ia menghimpunkan beberapa koleksi perkongsian pengalaman manis dan jatuh bangun beberapa usahawan SOHO wanita.

Antaranya termasuklah kisah Wani Hamid yang membangunkan Amani Management Services dengan menjadi penyedia perkhidmatan terutama dalam perakaunan dan pengurusan perniagaan.

Wani pernah melalui pengalaman getir ketika tidak mendapat sebarang permintaan daripada klien sedangkan komitmen bulanan tetap juga perlu dibayar.

Namun, disebabkan tidak pernah kenal erti putus asa, beliau berjaya tempuhi segala cabaran sehingga mampu menyewa pejabat di Cheras dan dapat menganjurkan Bengkel Asas Perakaunan setiap bulan yang sentiasa mendapat sambutan hangat.

Banyak lagi kisah menarik yang dipaparkan dalam ebuku Yeay! Mama sudah ‘resign’.  Bagi anda yang inginkan inspirasi dan bercita-cita menjadi WHAM, buku ini wajar dimiliki.

Sumber: 
 http://servismenulis.blogspot.com/2018/11/yeay-mama-sudah-resign.html

Super WAHM Super MOM



Harga: RM5
SMS: Yes



Ulasan pembaca: Puan Durra M.Jamri


Masih tertanya-tanya samada pilihan untuk bekerja dari rumah adalah langkah yang betul? Mungkin ada yang masih berbelah bagi, samada kerana tiada sokongan dari keluarga & rakan-rakan. Atau mungkin juga tiada kenalan yang boleh dijadikan panduan atau contoh.
Saya juga mengalami masalah yang lebih kurang sama pada awalnya. Alhamdulillah, ketika sudah masuk tahun ke-5 saya bergelar Work At Home Mom. Pada ketika itu, kebanyakan bahan bacaan yang menjadi rujukan saya adalah terbitan dalam bahasa inggeris. Dan satu-satunya buku yang saya menceritakan 101 kisah-kisah inspirasi ibu-ibu yang bekerja dari rumah ialah, Chicken Soup for the Soul: Power Moms.

Tapi kini, atas usaha Puan Masayu Ahmad, buku Super Wahm, Super Mom telah diterbitkan. Apa yang menarik tentang ebook ini ialah, selain tips untuk menguruskan rumah sambil menjalan perniagaan SOHO, ia turut memaparkan pengalaman 15 wanita yang bergelar WAHM.

Kenapa saya dan rakan-rakan WAHM yang lain cukup positif serta suka untuk mengajak kaum ibu yang bekerjaya, mempertimbangkan pilihan bekerja dari rumah? Saya petik salah satu perenggan kesukaan saya.
"Selagi mana wanita itu bergelar isteri dan ibu, maka rumahlah tempat terbaik untuk kita kembali. Kembalikan kegemilangan wanita di zaman Rasulullah, dengan trend perkembangan internet memberangsangkan kita mampu lakukan sesuatu. Sesuai dengan fitrah dan tuntutan dalam Al-quran dan sunnah, kita kembali ke tempat asal namun bukan sekadar duduk dalam tempurung.

Usaha kita, kerana mahu mengembalikan pesona didikan anak-anak bermula dari hasil air tangan ibu. Insya-Allah, saya percaya wanita-wanita yang berkongsi pengalaman di dalam ebook ini adalah wanita hebat yang sudah punya keputusan dan pilihan yang tepat. Dan saya juga amat yakin, kalian yang membaca ini juga akan mengambil langkah dan jalan yang sama. Semoga kita sama-sama meraih kejayaan dunia dan akhirat"
                                                                               -Masayu Ahmad-






Inspirasi Bekerja Di Rumah


Harga: RM20

SMS: No
Teks:Masayu Ahmad.
Dalam naskah kali ini, menghimpunkan 13 kisah ibu-ibu yang bermula dan subur inspirasi pengalaman bermula dari rumah. Bukan sekadar itu mereka pernah bermula dengan sumber yang ada, pernah berkedai dan kemudian kembali mengemudi hanya dari rumah.
Kisah-kisah ini tentunya memberikan idea dan inspirisi buat kalian yang baru bermula atau sedang berada turun naik semangat.
Kisah dan nadi kehidupan ia ibarat titik juang. Kita merancang, Allah menyempurnakan. Kita berjuang Allah jualah membenarkan.
Sesekali lihat ke belakang untuk meraih kesyukuran. Hela nafas lelah dan berehatlah seketika. Kemudian sambung lagi perjuangan.
Saya nukilankan kisah Dila Aris mengusahakan kelas jahitan di rumah. Fidawati Osman bidang kek dan pastri. Hayati Mohid berkongsi pengalaman berniaga di jalanan. Irdarina mengimport buku buku Islamik luar negara.
Lela Khalil usahawan tart Shell , Mazlina Omar usahawan tuisyen. Mimi Rahim perunding hartanah. Nasriah Abdullah berkongsi pengalaman berniaga bazar. Nelly Sofia berkongsi minat dalam bidang jahitan dan kraf. Norhafizah Mohd Hadi berniaga tudung online. Tuan Fadzillah Tuan Sulaiman bermula di tapak kiosk kini kembali ke rumah. Norzaihana Che Hashim juga dalam bidang jahitan dan Yusnida Tajudin bermula sebagai tutor dan tuisyen
Ada banyak mesej inspirasi buat ibu-ibu yang baru bertatih berniaga. Tidak mudah tetapi sudah tentunya tentang minat dan pilihan. Apabila sudah pilih tentunya Allah akan memberi ilham.
Pilhan yang menjadikan kita bersemangat untuk meneruskan.
Terima kasih buat kalian sahabat-sahabat surirumah sudi berkongsi kisah dan pengalaman. Moga ia menyuburkan rasa juang di kalangan ibu-ibu yang baru bermula. Moga ia sebagai titik inspirasi untuk terus bangkit dan berusaha. Moga ia satu momentum agar lupakan kegagalan rai sebagai pengajaran dan proses kematangan kehidupan. Sumber : ebook inspirasi bekerja di rumah.











44 Resepi Pantang


Harga: RM5

SMS: Yes

Teks : Khadijah Maskam
Sumber: http://resepiberpantang.blogspot.com/2015/02/ulasan-44-resipi-berpantang.html

Alhamdulillah, saya berjaya khatam Ebook 44 Resepi Pantang Tradisi Melayu. Selain dari resepi yang menarik dan mudah untuk dicuba, elemen yang paling penting yang saya perolehi dari ebook ini adalah kepentingan makanan yang sihat sepanjang proses berpantang.

Ebook 44 Resepi Pantang Tradisi Melayu ini bukan sahaja memaparkan resepi-resepi berpantang malah penulis turut berkongsi tentang persediaan sebelum bersalin, iaitu ketika tempoh kehamilan, persediaan sebelum ke hospital dan juga selepas bersalin iaitu rawatan sepanjang berpantang dan serba sedikit tips untuk pengurusan masa dan penyesuaian diri untuk “first-time-mommy”. Banyak tips dan informasi yang dikongsikan untuk membantu bukan sahaja ibu dalam berpantang malah sesuai untuk suami, ibu atau ibu mertua yang bertanggungjawab membantu sepanjang proses berpantang.

Kebiasaannya kita acapkali dihidangkan dengan mitos-mitos dari ibu atau nenek kita tentang betapa ketatnya dan bosannya berpantang akibat menu yang terhad. Seringkali dihidangkan dengan menu yang sama ketika berpantang 44 hari dengan alasan untuk cepat sembuh dan sihat, walhal kaedah berpantang yang terlalu ketat boleh mengakibatkan ibu-ibu dalam berpantang mengalami keletihan dan kelesuan akibat kekurangan nutrisi dalam makanan.

Resepi yang terdiri dari pelbagai sumber hidangan termasuk daging dan ikan mampu memikat selera ibu berpantang di samping membekalkan khasiat yang cukup untuk mempercepatkan proses pemulihan tenaga luaran dan dalaman ibu dalam tempoh berpantang.

Khasiat yang dibekalkan oleh makanan herba dan rempah ratus seperti halia muda yang umum tahu akan kebolehan dan khasiatnya dalam membuang angin dalam badan, kunyit dan pegaga yang berfungsi sebagai agen pengecutan dan penyembuhan luka, serta lada hitam yang berfungsi untuk memanaskan badan dan mampu menyingkirkan lemak berlebihan akibat proses kehamilan selama 9 bulan.

Ebook 44 Resepi Pantang Tradisi Melayu memaparkan pengolahan resepi menggunakan herba dan rempah yang sangat penting untuk ibu berpantang serta memberikan idea-idea hebat dalam penyediaan menu berpantang. Kini, ibu-ibu di luar sana tidak perlu risau dan ragu lagi menu apa yang perlu disajikan untuk ibu-ibu berpantang kerana ebook ini telah memberikan panduan yang lengkap cukup untuk sepanjang tempoh berpantang.

Saya syorkan sahabat di luar sana terutama yang bakal bersalin tidak lama lagi untuk segera mendapatkan ebook ini kerana banyak informasi dan tips berguna untuk persediaan berpantang anda. Bagi mereka yang dalam fasa menurunkan berat badan, anda juga dialu-alukan untuk mendapatkan ebook ini kerana resepi-resepi ini kesemuanya terdiri dari menu rendah lemak dan kolestrol tetapi apa yang penting dapat membekalkan tenaga yang diperlukan badan kita seharian.


Ebook 44 Resipi sihat Berpantang
Tinta Pengarang
Bahagian 1: Menu Nasi
1.     Nasi Herba
2.     Nasi Goreng Lada Hitam
3.     Nasi Ulaman Herba Ikan Bakar
4.     Bubur Nasi Ulam
Bahagian 2: Ikan
5.     Ikan Bilis Herba Istimewa
6.     Ikan Bilis Lada Hitam
7.     Ikan Gelama Bakar
8.     Ikan Kembung Bakar
9.     Ikan Parang Masak Pindang
10.                        Ikan Selar Panggang
11.                        Ikan Selar Rebus Halia
12.                        Ikan siakap Kukus Halia
13.                        Ikan Tenggiri Singgang
14.                        Sup Ikan Haruan
15.                        Sup Ikan Merah
Bahagian 3: Daging
16.                        Daging Lada Hitam
17.                        Singgang Daging
Bahagian 4: Ayam
18.                        Ayam Organik Bakar
19.                        Ayam Organik Bakar Halia Muda
20.                        Ayam Organik Lada Hitam
21.                        Ayam Organik Masak Tomato
22.                         Sup Ayam Kampung

Bahagian 5: Sayuran/Ulaman
           23.Kailan bertauhu
24. Kerabu Pegaga
25.Pisang Kebatu Rebus
26.Sawi Lada Hitam
27.Sawi Rebus
28.Sup Sayur Campur
29.Tempe Goreng Istimewa
30.Tumis Sawi Herba
31.Halwa Halia

Bahagian 6: Minuman Herba
32. Air Halia Muda
33. Air Kunyit
34. Air Rebusan Pegaga
35. Jus Halia Kurma
36. Rebusan Manjakani

Bahagian 7: Minuman Kesihatan/ Penambah Susu Ibu
37. Jus Lobak Merah
38. Jus Epal dan Strawbery
39. Jus campuran lobak dan tembikai susu
40. Jus epal dan limau nipis.
41. Jus campuran lobak dan tomato.
42. Jus Celery
43. Jus tomato segar.
44. Shake orange

Bahagian 8: Sarapan/Menu Petang
Bahagian 9: Tips Sihat Ibu Berpantang