Lagi kita marah anak, anak akan semakin degil.
Amarah membuatkan kita letih, emosi letih.
Anak tidak akan ikut apa yang kita cakap, anak akan
ikut apa yang kita buat!
-Ustaz Mohamad Mohsin a.k.a Che Mat-
200 kali ulangan baru manusia dengar.
-Dr.Fadzilah Kamsah.
Tamparan demi tamparan. Mahu menangis pun ya, mahu
sentap juga ya. Sangat sentap. Kadangkala sebagai ibu kita cuba menerangkan,
lama kelamaan apabila anak sudah lali, nasihat kita sudah berbunyi bebelan.
Kita tidak tahu cara tetapi kita mahu tetap
sampaikan. Adakah betul begini?
Kita bukan diuji kerana kita pandai, tetapi kita
diuji sejauh mana kita bergantung pada sabar dan solat. Kebergantungan kita
bukan kepada makhluk tetapi pada PENCIPTA makhluk.
Begitu halnya soal mendidik anak. Ada cara dan
teknik yang boleh kita gunakan berdasarkan surah Luqman.
GUNA NADA TEGAS BUKAN MARAH
Cara paling berkesan adalah memberi arahan secara
tegas bukan marah. Ulangan ketegasan tanpa perlu bercampur dengan emosi.
Apabila marah kita akan penat dan anak akan semakin degil.
Ulangan banyak kali, cuba buat sehingga berapa kali,
20, 30, 40 mungkin ke 200 baru berkesan.
Sabar dan sabar. Sabar dan praktik.
Selepas 3 hari 2 malam berkampung, perubahan paling
nyata adalah pada Aiman. Aiman paling menggugat sabar saya sebagai ibu. Namun
saya cuba dan cari juga kaedah yang boleh kembalikan semula sifat sebenar
Aiman.
Selepas akhir sesi Aimanlah berlari dan datang memeluk.
5 hingga 10 minit jugalah kami sama sama menangis. Saya menangis kerana
rindukan sifat dan wajah sebenar anak ini. Sebagai ibu Aiman banyak menguji
sabar. Tetapi mesti ada jalan untuk pulihkan semula.
Sangat benar, 6 anak, 6 karektor warna yang perlu
kita terima dan belajar untuk corakkan semula. Sesi pertama dahulu pada bulan
Disember dia sangat teruja. Kali ini perubahannya sangat sangat membahagiakan.
Tidak ada lagi setiap kali dia mahu marahkan saya
dijelirnya di pintu pagar sekolah. Haha urut dada dengan Aiman.
Itu berlaku apabila kehendaknya tidak dapat
dipenuhi. Bukan salah Aiman, salah sayalah yang sangat daif dalam mendidik anak
anak. Ibu terima segala kelemahan dan kesalahan. Semoga perubahan ini akan
kekal hingga akhir hayat. Doa ibu, emak, ummi tidak akan putus buat anak anak.
Aiman yang baru. Dahulu rajin, sekarang bertambah
rajin.
Sudah boleh berkongsi, menjaga adik dan
bertoleransi.
Setiap kali suruhan Aiman akan iyakan sahaja lalu
buat. Hakim dan Arif sangat mudah bagi
saya sebagai ibu. Untuk Aiman Allah datangkan satu karektor unik yang perlu
saya belajar lagi untuk urus dan lenturkan.
Teks: Masayu Ahmad