Wednesday, March 13, 2019

Tulis dan terbit ebook edisi 1





Minimalist kehidupan.


Ada banyak ruang yang perlu kita kosongkan agar lebih banyak perkara yang tidak perlu kita sisihkan. Saya penggemar konsep ini. Ketika berpindah dari Selangor balik ke Kelantan 10 tahun sudah. Buntang biji mata melihat mana datangnya barang begitu banyak. Sedangkan saya usahakan untuk menyisih dan membuang segera.
Selalu kata en.suami pada anak anak.
“Pandai pandailah jaga jangan sampai ibu nampak dan buang.”
Peringatan ini apabila nampak sahaja mainan yang bersepah memang saya terus buang. Anak anak juga sudah faham.
Ketika kita semua dikhabarkan anak pertama segala yang elok yang cantik yang mahal kita mahu. Sedangkan banyak yang tidak perlu. Itulah anehnya manusia, semua mahu baru yang terbaik dan banyak.
Usia anak 1 hingga 6 bulan tak banyak guna pun sebenarnya. Hasil keterujaan inilah kita membuta tuli kumpul dan banyakkan.
Lihat semula perbezaan anak pertama, kedua dan nikmat ringkas makin memudahkan kerja.
Lagi ramai anak lagi kosong barang yang kita mahu bawa. Sekarang ini saya lebih bahagian berjalan lenggang kangkung Mak Limah tanpa perlu bawa apa apa.
Lihatlah ketika anak pertama segala barang kita mahu bawa bersama.
Rupanya kita banyak simpan perkara yang tidak perlu, kita bawa bersama sehingga membebankan.
Saya penggemar bilik kosong, meja kosong. Sebuah buku bacaan, buku nota dan pen.
Kami pengamal tidak ada gajet dan juga tidak ada banyak barang. Anak anak juga sudah biasa. Hanya buku dan buku sahaja. Bersepah dengan buku tidak mengapa.
Walaupun kadangkala ada rengekan mereka bahawa kawan kawan semua ada telefon pintar. Saya diamkan sahaja.
“Ibu kenapa kami tidak boleh, sedangkan ibu boleh?”
“Ibu pun tidak mahu, tetapi sekarang ibu perlukan semua ini untuk kerja kerja ibu. Guna untuk perkara yang bermanfaat sahaja.
Fokus kepada perkara perlu bukan mahu.
Jika orang lain perlu, tidak semestinya kita perlu. Fokus apa yang kita perlu bukan mahu. Sebulan sebelum puasa tahun lepas. Saya Berjaya kosongkan 1 bilik. 20 plastik besar berjaya saya sisihkan. Datang seorang kakak yang mengutip buah kelapa. Kebetulan lorinya kosong. Saya serahkan pada beliau semua sekali.
Beliau duduk dan berdoa masa itu juga. Rupanya semua barang yang dia mahu ada dalam 10 plastik tersebut, termasuklah 2 buaian masih elok. Juga pakaian kanak kanak usia bayi hingga remaja.
Itulah tidak perlu pada kita ia sangat berguna pada orang lain. Selagi kosong, maka saya akan gembira dengan ruang lapang tanpa barang.

Cerminan kehidupan

Saya teringin mahu tulis kisah hidup. Saya pernah jumpa pakar psikiatri dan hampir bunuh diri.
-Puan N-
Kawan saya terlantar di hospital kerana tertekan dan alami masalah mental.
-Puan R-
Ini adalah mesej semalam dan hari ini masih banyak mesej bernada yang sama. Tekanan.

Cerminan kehidupan.

Tekanan bukan lagi perkara main main, ia cerminan ujian sebenar meningkah usia. Semakin kronik. Mungkin beberapa jalan keluar perlu kita mulai dari sekarang.

1. Realistik dan belajar terima hakikat.
Terima hakikat ada perkara kita tidak boleh buat, kemampuan ada batasnya. Jangan lagi dibanding prestasi kita dengan orang lain. Terima dan nikmati kehidupan kita seadanya.

2. Berhenti mengikut ‘trend’.

Salah satu penyakit tekanan apabila keadaan membanding banding kejayaan sebagai satu perkara yang tidak mampu diterima sesetengah orang.
Melihat orang lain sukses kita rasa kurang yakin dan rasa jauh di belakang.
Ada baiknya kita mulai tinggalkan media sosial ini. Cuba dahulu sehari, jika boleh setahun.
Saya pernah setahun tidak bersiaran semasa hamilkan Amni. Berehat sahaja tanpa perlu berhubung dengan sesiapa. Ia terapi paling baik.

3. Berkongsi dan berinteraksi dengan orang yang dipercayai.
Saya pun tidak tahu mengapa kalian mahu berkongsi kesakitan kalian, saya bukan kaunselor. Mohon jangan dikongsikan lagi masalah kalian. Kalau mahu belajar menulis saya terbuka. Aduhai kasihanilah saya.
Pilih orang yang terbaik dan rapat dengan kalian untuk berkongsi. Insya-Allah semoga dibukakan jalan jalan ketenangan.

4. Mulai menulis sebuah jurnal atau catatan dalam buku nota. Ia satu terapi yang baik.
Tulis sahaja dan pantulkan ia dalam penulisan positif. Kesannya sangat baik.

5. Gaya hidup sihat.
Ada banyak kumpulan sokongan kini yang boleh kita sertai antaranya kumpulan penulis, grup sokongan eat clean, grup berlari, grup kurus dan sihat, grup daki gunung.
Cari dan jejak. Keluarkan peluh dan keluarkan segala toksin dalam badan.

6. Keluarkan semua hiburan dalam rumah.
Salah satu punya yang sangat sangat berleluasa sekarang ini terlampau banyak hiburan. Bunyi bunyian yang menyakitkan telinga.
Gangguan hiburan di sana sini. Ia tidak mententeramkan jiwa malah semakin celaru dan keliru.

7. Jika ada 20 impian yang tidak munasabah, keluarkan jadikan ia 5 sahaja impian yang realistik.

Jangan lagi lihat perbandingan impian di media sosial yang membuat jiwa kita kacau bilau contoh pendapatan 20 juta sebulan, rumah 20 biji dalam masa setahun.
Inilah salah satu penyebab membuat ukuran kejayaan berdasarkan material. Akhirnya kita rebah kerana terlalu lelah.
Hidup memang tidak mudah, tetapi tidak pula kita mengaku kalah. Berehat dan berundurlah jika kalian sudah merasa sakit.