Monday, July 19, 2021

Khidmat apa lagi hari ini

 Belajar cara orang lama menyantuni tanpa kenal siapa siapa. Kita perhati, ingat dan ambil pelajaran.

Nasihat halus melalui tindakan. Kalau ke pasar kampung mesti ada deretan jualan nenek atau orang lama berjualan. Mereka berjualan bukan kerana keuntungan. Tetapi kerana kebiasaan mencari rezeki sejak dari muda.
Apabila selesai pembelian mesti ada segenggam cili padi atau sayur kampung yang lain diselit sama. Berjualan sambil bersedekah. Kita selalu teringat dan apabila minggu berikutnya kita kembali.
Waima cara berniaga semakin moden kesantunan dan cara halus ini masih boleh diteruskan.
Tambahan pula kematian demi kematian saban hari mengingatkan kembali apa bicara akhir kita hari dengan sesiapa sahaja meninggalkan kesan.
Mungkin mulai hari ini setiap mesej di inbox kita jawab dengan baik. Mungkin itulah perbincangan terakhir.
Mungkin juga dengan adik kaunter, setiap kali baki wang kita tinggalkan. Itu bayaran untuk belanja tengahari.
Atau melihat peniaga kecil jalanan yang tidak laku jualan. Beli dan habiskan. Sedekahkan pula pada jiran atau yang memerlukan.
Saya selalu teringatkan cara Kak Nuri, ketua editor kami di editorial Mingguan Wanita. Cara dan sikap yang lemah lembut. Waima kami saban waktu berkejaran dengan lambakan tugasan demi tugasan. Kerja sebagai wartawan majalah terbitan setiap minggu memang bekerja dalam suasana tekanan. Tidak ada suara keras, menyindir, mengeji. Tidak ada.
Kami bekerja dengan kasih sayang dan satu pasukan. Tidak terasa himpitan bebanan. Walaupun kadangkala rasa mahu menangis dan kepenatan. Semuanya terlerai dengan baik kerana ketua yang hemah dan penyantun.
Pesan akhir ketika saya bertukar angin. Nasihat Kak Nuri.
"Pergilah berjumpa Haji( majikan). Ucapkan terima kasih."
Lalu, apa sahaja di belakang semuanya atas nama pengalaman. Kita belajar dan mula mengerti bahawa setiap orang yang kita jumpa dan berurusan ada ilmu baru dan pengalaman baru.
Bawa adab dan terima kasih sehingga nafas akhir.

Tidak perlu wang berjuta. Berkongsi ehsan kasih sayang dengan apa di tangan.
Ia akan menjadikan hari kita penuh lapang. Khidmat apa lagi hari ini untuk kita kongsi. Agar hari hari mendatang kita lebih bersedia dan redha dengan ujian Tuhan.

Monday, July 12, 2021

Kehamilan kelapan, kelahiran ketujuh.

 Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah hari ke 43 berpantang untuk kelahiran ketujuh. Segala puji hanya pada Allah yang memberi peluang dan nikmat atas setiap perjalanan di usia ini.

Hari demi hari mendekati tarikh kematian. Semoga apa sahaja yang diusahakan pada masa lalu dan akan datang mendapat rahmat dan keberkatan dariNya.

Kesihatan sudah semakin pulih dan rasanya sudah lama tidak menulis di sini. Suasana pandemik pada waktu ini membolehkan anak anak berada di rumah.


Kali ini betul betul merasai suasana bekerja dan belajar di rumah. Tiga meja kerja untuk sekolah menengah dan tiga meja kerja lagi untuk sekolah rendah. Nikmat manakan lagi yang harus didustakan?


Belajar, bekerja dan bermain di bawah satu bumbung.